DULU namanya Lake Garden. Kemudian bertukar kepada Taman Tasik Perdana yang terus menjadi tarikan pelancong dan sesiapa saja yang melawat Kuala Lumpur.
Sejak dibangunkan oleh A R Venning pada 1888 hingga sekarang, taman tertua di Kuala Lumpur ini sememangnya menjadi tempat warga ibu kota menghabiskan hujung minggu mereka bersantai dan menghirup udara segar bersama keluarga dan teman.
Bukan saja aktiviti beriadah, malah pelbagai konsert dipersembahkan di Panggung Aniversari di tengah taman tasik buatan yang indah sekali gus memberi peluang pengunjung menikmati persembahan muzik selain menikmati keindahan alam semula jadi.
Mereka yang gemar beriadah boleh memilih sama ada berjoging mengikut trek tersedia, berlari anak naik dan turun anak tangga di pinggir bukit atau berbasikal.
Bagi kanak-kanak disediakan beberapa taman permainan berwarna-warni yang pasti menyeronokkan. Malah perkhidmatan bot juga disediakan bagi mereka yang mahu menikmati pemandangan alam dari tasik yang luas itu.
Selain tarikan kehijauan dan keindahan tasiknya, pengunjung juga boleh mendalami pengetahuan dengan meninjau ke Taman Herba, melawat sangkar burung terbesar di Taman Burung, Taman Rama- Rama yang cantik memukau, Taman Bunga Raya yang dibuat seperti taman ala Inggeris, Taman Orkid, Taman Rusa dan Kijang yang berada di sekitarnya.
Pengunjung juga boleh membuat lawatan bersejarah ke Memorial Tun Abdul Razak, Muzium Polis, Muzium Kesenian Islam, Tugu Negara dan Planetarium Negara yang letaknya berhampiran Taman Tasik Perdana.
Taman Burung seluas 16.8 hektar menempatkan lebih 3,000 burung daripada 200 spesies tempatan dan luar negara.
Di Taman Rama-Rama pula, pelawat boleh melihat 120 spesies rama-rama antaranya seperti Rajah Brooke, Bird Wing, Malay Lacewing, Smaller Birdwing, Indian Leaf, Blue Bottle dan Monark (Australia) yang cantik memukau.
Di Taman Orkid pula menyajikan himpunan antara 700 hingga 800 jenis orkid dari seluruh dunia yang dianggarkan berjumlah di antara 22,000 dan 55,000.
Taman Herba pula menyediakan kira-kira 200 spesies herba dan tanaman yang memberi sumbangan kepada sektor perubatan.
Mereka yang gemarkan suasana ala Inggeris, berkunjunglah ke Taman Bunga Raya yang berhias cantik dan sejuk mata memandang.
Selepas puas melihat kecantikan alam ciptaan Tuhan, jangan lupa melawat Muzium Polis, Muzium Kesenian Islam, Memorial Tun Abdul Razak dan Tugu Negara bagi mengenang dan mengimbau sejarah silam. Bagi yang gemarkan sains angkasa, Planetarium Negara adalah tempat paling sesuai.
Info Zoom
UNTUK keselesaan pelancong dan pengunjung yang tidak menggunakan kenderaan sendiri, mereka boleh menaiki perkhidmatan bas shuttle dua tingkat Hop On Hop Off Kuala Lumpur yang melalui kawasan taman ini pada setiap jam.
Selain itu, Bas Rapid KL 115 dari Kotaraya ke Jalan Parlimen dan perkhidmatan komuter dari Stesen Kereta Api Kuala Lumpur berhampiran Masjid Negara turut boleh dinaiki.
No comments:
Post a Comment