Wednesday, December 24, 2008

Taman 70 negara

TUJUH ratus spesies tumbuhan tropika dari 70 negara di seluruh dunia menghiasi landskap Taman Botani, Putrajaya untuk ditatapi pengunjung.

Pelbagai spesies tumbuhan unik seperti pokok pisang yang berbentuk ganjil dengan jantungnya mendongak iaitu Musa Ornata, palma yang hanya boleh ditemui di Perak, Johannesteijsmannia Perakesnsis dan pokok brunfelsia yang warna bunganya bertukar setiap hari iaitu hari pertama berwarna ungu sebelum bertukar merah jambu keesokannya dan lusa bertukar kepada putih turut ada di Taman Botani.

Taman yang dibuka kepada orang ramai sejak 31 Ogos 2001 itu juga mampu memukau mata pengunjung dengan keindahan Astaka Seni Bina Islam.

Astaka yang siap dibina pada Julai 2003 mempamerkan kehalusan seni bina Maghribi adalah cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di sini, pengunjung boleh menikmati hasil seni bina unik yang menggambarkan empat era kesultanan teragung di Maghribi iaitu Fez, Rabat, Marakesh dan Meknes.

Pengunjung di Taman Botani juga boleh menikmati keindahan tumbuhannya menggunakan tram atau menyewa basikal yang disediakan dengan bayaran berpatutan.

Mereka yang berkunjung ke sini perlu mencuba Titian Kanopi sepanjang 170 meter dan setinggi 10 meter dari aras tanah bagi menguji keberanian.

Bagaimanapun, percubaan ini pastinya berbaloi kerana kanopi ini membawa mereka merentasi laluan di pucuk pokok.

Selain pengalaman unik itu, pengunjung juga pasti terpikat melalui Terowong Bunga Kertas dengan himpunan pelbagai spesies bunga itu menghiasi laluan yang disediakan.

Taman seluas 90 hektar itu juga dibahagikan kepada beberapa segmen dengan pengunjung boleh menyaksikan pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan yang disediakan.

Mereka boleh menikmati keindahan koleksi Tanaman Afrika yang mempamerkan pelbagai spesis dari benua berkenaan seperti pokok semarak api dan plumbago.

Koleksi Tanaman Amerika Tropika pula menyediakan tumbuh-tumbuhan dari benua itu seperti pokok bunga merak atau Pride of Barbados dan pokok kemboja.

Koleksi Tanaman Asia Pasifik pula menyajikan pengunjung dengan pokok ara, beringin, ru, pinang raja dan bunga tapak kuda.

Bagi mereka menggemari pokok palma, 50 spesies pokok palma boleh dilihat di Bukit Palma seperti palma daun payung, palma kipas Cina dan rotan.

Bagi menghilangkan dahaga dan berehat seketika, pengunjung boleh berbuat demikian di sebuah kafe disediakan di Taman Pepanjat.

Taman Botani sememangnya sesuai untuk dinikmati bersama keluarga pada hari hujung minggu dan cuti sekolah.

Info Zoom

DARI Kuala Lumpur: Boleh menaiki bas atau teksi yang mengambil kira-kira 40 minit. Jika menggunakan Ekspres Rail Link (ERL) dari KL Sentral pula, pengunjung perlu turun di hentian Putrajaya dan menaiki teksi yang mengambil masa kira-kira 10 minit.

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pengunjung boleh menaiki ERL dari hentian KLIA dan turun di hentian Putrajaya atau menaiki teksi.

No comments: