My Followers

Keunikan Cameron Highlands

KEINDAHAN alam semula jadi dengan udara sejuk dan nyaman menjadikan Cameron Highlands lokasi pelancongan tanah tinggi terkenal ke serata dunia.

Tarikan lain yang terdapat di kawasan tanah tinggi itu ialah keindahan aktiviti perladangan sayur-sayuran, bunga, teh dan strawberi.

Keunikan Gunung Lumut, Taman Flora dan Hutan Lipur Parit Falls yang mempunyai pelbagai spesis tumbuhan seperti orkid liar dan periuk kera menjadi pelengkap kepada keistimewaan Cameron Highlands.

Pelancong boleh menyusuri trek disediakan sambil mendapat penerangan lanjut daripada pemandu pelancong.

Beberapa penempatan Orang Asli di Cameron Highlands juga boleh dilawati sambil mencuba peralatan memburu seperti sumpit yang digunakan kaum pribumi itu.

Industri madu lebah turut menjadi antara produk sampingan yang kini semakin terkenal di kalangan pelancong tempatan.

Pusat penyelidikan Mardi di Tanah Rata juga menjadi tumpuan pelancong yang mahu melihat lebih dekat hasil kajian membabitkan bunga, anggur, sayuran dan strawberi.

Cameron Highlands yang terletak pada ketinggian 1,500 meter dari paras laut mempunyai 31,800 penduduk yang dibahagikan kepada beberapa pekan kecil seperti Ringlet, Tanah Rata, Brinchang dan Kampung Raja.

Brinchang menjadi pusat pentadbiran selain pekan peranginan terkenal yang mempunyai pelbagai kemudahan seperti hotel, premis perniagaan, gerai makan dan pusat pengeluaran sayur dan bunga.

Bagi golongan elit yang mahu membuktikan kemahiran bermain golf di kawasan tanah tinggi, mereka boleh beraksi di padang golf 18 lubang di Tanah Rata.

Bagi mendapatkan barangan cendermata untuk dibawa pulang, pengunjung bukan sahaja boleh terus mengunjungi ladang, tetapi turut berpeluang membelinya di beberapa gerai terbuka selain pasar malam yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad di Tanah Rata.

Selain dapat memilih pelbagai sayuran dan buah-buahan segar yang dipetik terus dari ladang, pelancong juga berupaya membeli pada harga yang berpatutan.

Kunjungan ke Cameron Highlands pasti tidak lengkap jika tidak ke ladang dan kilang memproses teh yang menjadi identiti pusat pelancongan tanah tinggi berkenaan.

Bagi mereka yang mahu bermalam, boleh menginap di hotel bertaraf lima bintang selain hotel bajet yang banyak terdapat di semua pekan manakala kemudahan homestay juga boleh didapati di Tanah Rata.

Cameron Highlands diuruskan Pejabat Daerah Cameron Highlands yang mengurus dan mentadbir pusat peranginan itu bagi memastikan pusat pelancongan tanah tinggi itu terus kekal.

Sokongan padu agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan Pahang yang turut sama menyediakan lokasi pelancongan seperti taman flora di Tanah Rata yang menempatkan pelbagai spesis tumbuhan gunung menjadi satu lagi daya tarikan.

Keputusan kerajaan negeri yang tidak membenarkan lagi pembangunan di tanah tinggi itu akan menjamin masa depan Cameron Highlands sebagai pusat pelancongan terbaik di negara ini selepas Genting Highlands dan Bukit Fraser.

>Info Zoom

UNTUK sampai ke Cameron Highlands, pelancong boleh melalui jalan Gua Musang di Kelantan ke Kampung Raja. Bagi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan anda boleh melalui susur keluar Tapah atau terbaru melalui Plaza Tol Simpang Pulai.

Post a Comment