Wednesday, December 24, 2008

Lembah Danum janji ketenangan

BERCUTI ke Sabah tidak lengkap jika tidak mengunjungi Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, terletak 83 kilometer (km) ke barat daya Lahad Datu atau kira-kira 500km dari Kota Kinabalu.

Kawasan itu yang terletak dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu dengan keluasan 43,000 hektar, dilimpahi pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan menakjubkan.

Bukan itu saja, lebih menarik ia menjadi habitat semula jadi lima hingga tujuh badak Sumatera dan ada 12 kubang haiwan liar itu di situ.

Kawasan tadahan yang luas ini kediaman bagi spesies yang jarang ditemui dan terancam seperti badak sumbu Sumatera, orang utan, tembadau, gajah, harimau dahan, monyet bangkatan, beruang dan kancil.

Malah, 20 spesies burung direkodkan di kawasan itu yang terkenal di seluruh dunia sebagai kawasan pemuliharaan. Ia Hutan Simpan Kelas 1 di bawah Kawasan Pengurusan Hutan Yayasan Sabah.

Pusat Luar Lembah Danum (DVFC) yang ditubuhkan pada 1985 oleh Yayasan Sabah juga menyediakan kemudahan penyelidikan hutan, pendidikan alam semula jadi dan rekreasi hutan rimba.

Ia terletak di Kawasan Konsesi Yayasan Sabah iaitu di pinggir Kawasan Konservasi Lembah Danum (kawasan pamah dara terbesar di Sabah) dengan keluasan 438km persegi.

Malah, sebuah tempat penginapan yang sangat selesa di pusat lapangan itu serta kemudahan asrama dan tapak perkhemahan untuk pilihan pelawat disediakan.

Lembah Danum juga mempunyai sebuah eko-resort yang pertama di Sabah iaitu Borneo Rainforest Lodge (BRL).

Resort ini mempunyai sebuah restoran, bar, serta chalet selesa dengan pemandangan Sungai Danum.

BRL Lembah Danum menyediakan penginapan dalam rimba yang menjanjikan ketenangan kepada pengunjung. Bagaimanapun, setiap kediaman eksklusif di situ hanya sesuai didiami dua pengunjung pada satu masa.

Di kawasan BRL ini juga, pengunjung boleh menikmati pemandangan indah Lembah Danum dengan menaiki titi gantung sepanjang 100 meter di atas pokok yang mencecah ketinggian 40 meter di hutan Lembah Danum yang menjanjikan pengalaman indah.

Di pertengahan laluan, pengunjung terpaksa mendaki pokok balak dianggarkan berusia lebih 100 tahun yang dilengkapi tangga besi setinggi lima meter, sebelum perjalanan di atas titi diteruskan.

Perjalanan di atas titi dan pusat maklumat berkenaan sebahagian daripada pakej pelancongan disediakan BRL Lembah Danum milik Kumpulan Yayasan Sabah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Selain itu, Lembah Danum turut mempunyai Pusat Maklumat Alam Semula Jadi dan Pendidikan Alam Sekitar Shell Malaysia.

Di situ, pengunjung berpeluang memperoleh maklumat mengenai flora dan fauna Hutan Simpan Ulu Segama Malua, termasuk spesies Badak Sumatera yang berhadapan dengan kepupusan yang menjadikan hutan itu sebagai habitatnya.

Justeru, Lembah Danum bukan saja menjadi habitat semula jadi hidupan liar hampir pupus, tetapi yang mampu pasti meninggalkan nostalgia indah yang sukar dilupakan.

> Cara ke sana

* Pengunjung boleh menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Tawau, seterusnya menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Lembah Danum, Lahad Datu pada jarak 228 km.

* Ada penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Lahad Datu menggunakan pesawat Fokker MasWing atau dari KKIA ke Lapangan Terbang Tawau.

* Bagi mereka yang memilih menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Kota Kinabalu, perjalanan sejauh 500 kilometer mengambil masa kira-kira 10 jam.

* Laluan sejauh 77 kilometer dari persimpangan Jalan Lahad Datu-Tawau-Kota Kinabalu ke BRL adalah batu kelikir dan jalan balak.

> Info Zoom

* Hutan Simpan Ulu Segama Malua yang menempatkan BRL Lembah Danum adalah hutan simpan kerajaan negeri berstatus Kelas Satu dilindungi daripada kegiatan pembalakan.

* Kediaman eksklusif di BRL pernah memenangi `Anugerah Destinasi Pelancongan Baru Asia' pada 1996.

* Lembah Danum menyediakan pakej lengkap bukan saja dari segi pelancongan, malah bagi mereka yang berminat dalam penyelidikan.

* `The Global Atmosphere Watch Station' atau Stesen Pemantauan Atmosfera Global Bukit Atur setinggi 100 meter terletak kira-kira 10 km dari DVFC dan ia menara milik Jabatan Meteorologi.

* Antara aktiviti yang ditawarkan disini ialah menikmati pemandangan indah Lembah Danum dengan melalui titi gantung setinggi 40 meter, menjejaki laluan trek dalam hutan, bermandi di sungai, memerhati burung, meninjau hutan pada waktu malam dan lawatan ke tapak pembalakan dan kilang kayu yang berdekatan.

No comments: