Tuesday, March 4, 2014

Tanam pokok hijaukan bumi





SESIAPA saja boleh menanam pokok. Bagaimanapun, ramai tidak tahu bagaimana mahu memastikan pokok yang ditanam terus hidup dan subur.

Bagi kebanyakan kes, ramai yang tidak menjaga pokok yang ditanam, termasuk menyelenggara, memangkas dan menggalakkan pertumbuhan pokok dan menjejaskan pertumbuhannya.

Tidak kurang yang beranggapan, memadailah untuk menyuburkan pokok dengan meletakkan baja yang bersesuaian, selain air dan sinaran matahari yang mencukupi mengikut kesesuaian pokok.

Hakikatnya, ada banyak masalah lain yang menyebabkan pokok tidak subur atau mampu hidup lama. Kebiasaannya, masalah yang sering dihadapi pokok yang menyebabkannya tidak subur ialah kehadiran rumput rumpai yang tidak diingini, iaitu pokok terpaksa bersaing untuk mendapatkan nutrien dengan rumput berkenaan.

Selain itu, timbul masalah penyusutan media tanaman menyebabkan akar kurang produktif dan seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan pokok.

Dalam sesetengah kes pula, tanah menjadi terlalu padat dan menjadi keras. Ini menyebabkan berlaku takungan air serta masalah pengudaraan. Jika tandatanda berkenaan wujud, maka pokok akan kekurangan nutrien dan memerlukan proses membaikpulih tanah.

Salah satu cara mudah membaik pulih tanah ialah dengan menggunakan penyubur tanah berasaskan gambut. Caranya adalah seperti berikut:

1 Cabut rumput rampai pada sekeliling pokok. Seeloknya lakukan pemangkasan terlebih dulu. Pangkas dahan mati dan yang berpenyakit.

2 Taburkan penyubur tanah berasaskan gambut setebal 2.54 hingga 5.08 sentimeter (satu hingga dua inci). Jangan bimbang jika ia terlebih kerana ia seratus peratus organik dan tidak mengandungi sebarang najis binatang.

3 Gemburkan saja atau sekadar gaulkan. Pastikan tidak mencederakan akar. Seterusnya siram air secukupnya.

FAKTA TANAH GAMBUT

* Di Malaysia, kebanyakan tanah gambut mengandungi 90 peratus bahan organik di dalamnya seperti sisa pereputan kayu, daun, akar dan batang pokok, selain mengandungi mineral yang biasa dijumpai dalam tanah lain.

* Tanah gambut juga dikatakan mampu menyerap, menapis air dan ia dikatakan menjadi takungan karbon yang amat besar kuantitinya serta mempunyai kepentingan ekonomi untuk sektor pertanian dan penanaman pokok hiasan.

* Dalam keadaan semula jadi, tanah gambut di negara ini mengandungi bahan pereputan kayu, dari akar, daun hingga ranting pokok. Ini menyebabkan air sentiasa bertakung di permukaan tanah dan melambatkan pereputan.

* Bagi petani, tanah gambut digelar sebagai tanah hitam kerana warnanya lebih hitam dan berbeza dengan jenis tanah lainnya. Tanah gambut umumnya dalam bidang botani disebut peat, namun ia mempunyai pelbagai gelaran lain mengikut negara.

* Di Amerika Utara, gambut disebut sebagai fen, manakala di Kanada dikenali sebagai musked. Di Russia dan Amerika Syarikat pula dirujuk sebagai bog, Finland (mire) dan di Jerman (moor).

Sumber : www.peatorganic.com

No comments: