Thursday, March 6, 2014

Penjagaan kuku





Konsep penjagaan kuku masih agak baru di negara ini. Kuku di hujung jari tangan mahupun kaki sebenarnya perlu diselenggara dan dijaga rapi bukan hanya untuk nampak cantik dengan kuku yang dirias, sebaliknya supaya penampilan diri lebih yakin terutama ketika berdepan khalayak ramai.

Bayangkan jika bentuk potongan kuku tidak sama, dalamnya kotor dan muncul kutikel kering di celah tepi kuku, ia secara tidak langsung mencacatkan penampilan diri. Walaupun tiada siapa yang hendak membelek kuku anda, sekurang-kurangnya ada juga yang menjeling kearahnya. Oleh itu, kebersihan dan kecantikan kuku perlu sentiasa dititikberatkan.

ASET KEBERSIHAN DIRI

Barangkali ramai yang berpendapat melakukan rawatan kuku kaki dan tangan di salun umpama rawatan mewah di kalangan masyarakat berada. Bagaimanapun, tanggapan itu perlu ditangkis kerana rawatan kuku kaki dipanggil pedicure dan tangan (manicure) bagaikan satu trend pada masa kini.

Tata rias kuku di kalangan wanita Malaysia tidak sehebat beberapa negara luar seperti di Singapura, Hong Kong, Taiwan dan negara Barat, malah di Asia Barat. Wanita dan lelaki di negara berkenaan kerap menyelenggara kuku di salun kuku bagi menjaga penampilan diri lebih yakin dan selesa.

Hari ini hanya wanita terutama dalam bidang korporat saja yang mementingkan peranan kuku cantik kerana mereka berpendapat orang di sekeliling bukan saja memandang wajah ketika berbicara, malah turut menjeling ke arah kuku apabila bercakap diselangi dengan pergerakan tangan.

Penjagaan kecantikan kuku sangat penting terutama mereka yang sering berjumpa orang ramai lebih-lebih lagi pelanggan syarikat. Kuku cantik dan sihat membantu seseorang tampil lebih yakin, malah ia juga merangsang keyakinan individu yang berdepan dengan kita.

Penjagaan dan kebersihan kuku turut menunjukkan ciriciri seorang itu profesional. Ia juga menjadi pandangan dan tanggapan pertama tatkala mata memandangnya.

RAWATAN KUKU

Menyapu losen pelembut tangan tidak mencukupi kerana lebihan kutikel pada celah kuku perlu dibuang dan dibersihkan. Kutikel pada tepi celah antara kuku dengan kulit pada hujung jari dipotong kemas. Tangan digosok dengan penyental (skrub) sebelum menyapu minyak khas pelembut kuku. Langkah terakhir ialah tangan akan diurut dengan losen bersesuaian bagi melancarkan peredaran darah antara siku hingga ke hujung jari.

Rawatan kuku kaki boleh dilakukan sebulan sekali. Teknik rawatan tetap sama, tetapi ahli terapi akan memberi fokus kepada bahagian tumit dan tapak kaki yang kasar. Digosok dengan berus kasar khas, kesannya tumit dan tapak kaki menjadi lembut seperti kulit bayi.

Rawatan kuku kaki dan tangan bukan saja ingin nampak kemas dan cantik, malah bagi mengekalkan kuku sihat tanpa sebarang kerosakan. Bagi menggalakkan masyarakat menjaga penampilan dan kecantikan kuku, tidak mustahil, banyak salun kecantikan kuku tumbuh bagaikan cendawan di pasaran dengan menawarkan pelbagai jenis pakej rawatan.

Sumber: Berita Harian -  1Klassifieds

No comments: