Friday, July 19, 2013

Ramadan lahirkan jiwa muttaqeen


Kedatangan Ramadan untuk kesekian kalinya membawa risalah ketakwaan supaya hubungan manusia dengan Pencipta menjadi hampir dan dekat. Al-Quran  menyatakan dengan jelas keperluan berpuasa seperti yang diamalkan oleh orang terdahulu dengan harapan   jiwa muttaqeen terbina.

Membina jiwa muttaqeen adalah  keperluan kerana ia menjadi ukuran terbaik Allah terhadap insan (inna aqramakum 'indallah hi atqa qum (Al-Hujurat :13) - karamah insan terhubung dengan orang yang bertakwa). Orang yang bertakwa  mengalami perubahan ke jalan ihsan. Ihsan digambarkan  Rasulullah SAW dalam hadisnya - dalam melakukan amal meskipun kita tidak melihat Allah tetapi yakin Allah melihat  kita.

Ramadan ialah satu madrasah yang mendidik manusia dengan agendanya yang lengkap. Ramadan tidak sekadar puasa iaitu mengekang lapar dan dahaga tetapi ia memberi pengalaman manusiawi mengawal hawa nafsu supaya wujud perasaan sabar yang tinggi dan kawalan diri yang terbaik.

Rasa lapar   menginsafkan manusia  makna kemiskinan dan nasib orang yang daif. Ia mendorong jiwa sadaqah yang tinggi supaya jiwa kemanusiaan yang tercetus daripadanya menghakis mereka yang bersifat bakhil dan haloba.

Agenda rohaniah seperti solat Tarawih  membangun jiwa rukuk dan sujud. Ia mencetuskan jiwa kehambaan yang mendidik abid (ahli ibadah) mengenai makna kepatuhan, keakuran, ketaatan dan ketundukan terhadap perintah Allah SWT. Manusia  selalu ingkar terhadap suruhan Allah, sering tidak taat akan kewajipan sebagai orang Islam, kerap tidak tunduk dengan hukum Allah dan selalu tidak akur  hikmah daripada syariat Allah. Akibatnya jiwa ingkar ini jauh daripada takwa dan kefasadan terjadi.

Ikhlas melakukan siyam

Keikhlasan melakukan siyam harus dilihat dalam konteks rohaniah dan jasmaniah yang membimbing perubahan diri terhadap amal. Tentu ada sebab siyam itu diwajibkan Allah kepada manusia dan tentu ada natijah akhir yang diharapkan terjadi. Binaan jiwa muttaqeen yang memperlihatkan kehambaan insan terhadap Penciptanya menjadi ukuran terbaik terhadap amalan siyam.

Kalau siyam hanya setakat berlapar dan dahaga saja tidak memadai. Yang menjadi fokus utama proses tazqiah an nafs atau penyucian diri ini ialah hati. Hati manusia sering dihinggap penyakit. Manusia menjadi tamak kerana harta dan kekayaan. Manusia membangun nafsu amarah atau nafsu haiwani kerana angkuh dan sombong. Manusia sering memuji diri dan suka dipuji kerana rasa riak dan takbur. Lalu nafsul mutmainnah atau nafsu manusiawi tidak kelihatan. Manusia melakukan rasuah dan salahguna amanah kerana jiwa takwanya kosong. Faktor duniawi dilihat sebagai segala-galanya. Faktor ukhrawi tidak dirasakan sama sekali, lalu kemungkaran terjadi.

Penyakit hati perlu diubati melalui proses tarbiah atau pendidikan. Arkan al Islam atau Rukun Islam menjadikan siyam salah satu yang penting dilalui dengan rasa insaf oleh manusia. Seperti juga solat, ia terkandung roh yang menghidupkan hati-hati yang mati dan keji supaya jiwa rukuk dan sujud membawa kembali manusia kepada fitrah dirinya.

Inilah asas penting apabila kita melakukan siyam supaya jiwa  perjuangan terhadap hawa nafsu yang memurnikan kembali peranan hati demi  memiliki rasa tunduk, akur dan taat terhadap suruhan dan larangan Allah SWT. Tanpa asas ini, jiwa muttaqeen tidak akan lahir. Sekolah Ramadan yang dilalui, siyam yang dijalani adalah agenda terbaik untuk membentuk dan membangun hati.

Dekatkan diri kepada al-Quran

Aspek lain dalam melalui Ramadan  ialah kedekatan kita pada al-Quran yang terkandung hikmah dan petunjuk. Tanpa hikmah, manusia kehilangan arah dalam memahami apa yang dicipta dan dikurniakan kepada manusia dan hikmah di sebaliknya. Tanpa petunjuk, manusia dikatakan berpengetahuan dan berilmu boleh  hilang kebijaksanaan untuk mencari arah tuju kehidupan yang sebenar.

Al-Quran    sumber ilmu menjadikan manusia tahu sesuatu yang nyata dan kaitannya dengan yang ghaib, serta  menjadi penyuluh mengatasi manusia daripada kesesatan. Fokus  pemahaman al-Quran tidak saja sifatnya tekstual tetapi juga kontekstual iaitu  hubungan al-Quran dengan alam dan persekitaran, peristiwa yang terjadi, cabaran yang ada supaya ia dijadikan pedoman dan sumber teladan.

Lailatulqadar adalah puncak pengharapan abid atau ahli ibadah terhadap natijah akhir perjalanan rohaniah  supaya ibadah diterima, keampunan dianugerah dan  abid menjadi insan fitrah semula dan sifat diri berubah dan kembali sebagai penyumbang kepada kesejahteraan diri dan orang lain.

Kalau ini terjadi, bayangkan kehebatan warga umat yang sifatnya sabar, penuh   kasih sayang, bukan   dendam kesumat, saling memaafkan, memiliki keupayaan merenung ke dalam diri, menghakis sifat hasad dan  ego yang dilalui sehingga sesama warga umat dijadikan musuh, musuh sebenar sebagai sahabat dan akhirnya memimpin umat ke arah perpecahan dan kehancuran.

Sumber: Berita Harian 

No comments: