Monday, July 27, 2015

Tip berjimat selepas menyambut hari raya

DENGAN berakhirnya cuti Hari Raya, ramai yang mengeluh kerana masih ada beberapa minggu lagi sebelum mendapat gaji. Perbelanjaan seperti petrol, servis kereta, tol, pakaian raya, kuih raya, perabot baru dan sebagainya banyak menggunakan wang.

Ini meninggalkan kesan kewangan mendalam untuk beberapa bulan akan datang, lebih-lebih lagi jika belian secara hutang. Di sini, kami mahu berkongsi tip berjimat cermat hasil temu bual dengan orang ramai yang jika diamalkan dapat membantu memulihkan kedudukan kewangan anda.

BERHENTI MEROKOK

"Langkah paling berkesan ialah berhenti merokok. Bulan puasa tahun ini saya cuba tidak merokok langsung. Sudah lebih sebulan saya tidak hisap rokok. Saya berjaya menjimatkan RM41.30 seminggu." -Mohammed, Pengawal Kredit.

Manfaat: Kesihatan diri lebih baik serta menjimatkan RM537 dalam tiga bulan. Setahun boleh jimat sampai RM2,147.

BAWA BEKAL KE TEMPAT KERJA

"Untuk berjimat, saya bawa bekal makan tengah hari ke tempat kerja tiga kali seminggu. Nasi bungkus sekarang hampir RM5. Saya berjimat kira-kira RM30 seminggu." - Razman, Akauntan.

Manfaat: Makanan enak dimasak isteri dan menjimatkan RM390 dalam tiga bulan.

Setahun berjimat RM1,560.

MENCUCI KERETA SENDIRI

"Cuci sendiri kereta pada hujung minggu. Bayaran bagi cuci kereta RM9 sekali cuci. Ini bermakna anda boleh jimat RM36 sebulan (jika anda mencuci kereta setiap minggu). Kerja mencuci juga satu senaman yang baik." -Khairi, Eksekutif Pembangunan Perniagaan.

Manfaat: Dalam setahun anda dapat berjimat RM468, cukup untuk menampung kos petrol untuk dua bulan.

BERIADAH DI RUMAH

"Saya membatalkan keahlian di gimnasium sebelum bulan puasa. Lagi pun, saya jarang pergi ke sana kerana kesibukan kerja. Sekarang, saya bersenam di rumah saja. Jumlah yang saya jimatkan ialah RM180 sebulan." -Baharom, Juruteknik IT.

Manfaat: Penjimatan selama tiga bulan ialah RM540. Setahun pula ialah RM2,160.

BAYAR BIL KAD KREDIT PADA MASANYA

"Sentiasa bayar kad kredit pada masanya untuk mengelakkan denda bayaran lewat antara RM10-RM100. Jika boleh, selesaikan baki kad kredit secepat mungkin untuk mengelakkan caj faedah tinggi." -Ahmad Kamal, Pengaturcara.

Manfaat: Membayar bil pada masanya dapat menjimatkan RM120-RM1,200 setahun.

BUAT SENARAI BARANG YANG PERLU DIBELI

"Sebelum ini, kalau nak beli barang dapur, saya beli saja yang terasa nak beli, terutama jika nampak barang ditawarkan pada harga rendah atau promosi `beli satu dapat satu' atau `beli dua, dapat hadiah percuma'. Sekarang saya lebih berhati-hati. Saya sediakan senarai barang yang nak dibeli sebelum ke pasar atau ke kedai. Banyak yang saya jimat, lebih kurang RM40.00 seminggu." -Karina, Setiausaha Syarikat.

Manfaat: Berdisiplin apabila membeli-belah boleh menjimatkan anda RM520 untuk tiga bulan atau RM2,080 setahun.

JIMAT MINYAK

"Saya ada kereta dan motosikal di rumah. Selalunya saya akan bawa kereta, walaupun ke kedai berhampiran. Kini saya kurangkan pandu kereta, tetapi menunggang motosikal. Jimat minyak, tiada tol dan tak perlu bayar untuk meletak kereta." - Alif, Pegawai Bank.

Manfaat: Jika dua kali seminggu ke kedai atau pasar raya berhampiran, anda dapat berjimat sekitar RM25 seminggu.

Penjimatan dalam tiga bulan ialah RM325 dan setahun -RM1,300.00. Jika anda mengamalkan tips di atas, anda dapat berjimat RM2,825 hingga RM3,075 dalam tiga bulan, cukup untuk membayar hutang akibat perbelanjaan berlebihan sempena menyambut raya. Jika diamalkan secara berterusan, anda dapat berjimat antara RM11,300 dan RM12,300 setahun.

Nota: Artikel disediakan Securities Industry Development Corporation (SIDC), peneraju bidang pendidikan, latihan dan sumber maklumat berkaitan pasaran modal di Asean. Sila layari laman web Pelabur Malaysia, www.min.com.my untuk mendapatkan tip pelaburan bijak.

No comments: