Tuesday, January 27, 2015

Cuci tangki air elak radiotor berkarat

RADIATOR antara komponen yang mudah dilihat pada bahagian enjin dan ia berperanan sebagai sistem penyejukan.

Tugas utamanya ialah untuk meminimumkan suhu panas enjin kenderaan ketika ia berfungsi. Jika mengalami kerosakan ia boleh menyebabkan enjin kenderaan anda mudah panas dan terbakar.

Sebagai pemilik kenderaan, anda perlu memastikan paras air dalam tangki radiator sentiasa mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Kebanyakan radiator dipasang pada bahagian depan enjin. Kedudukannya sudah diuji dan sesuai kerana mudah menyejukkan enjin dengan tolakan angin ketika kenderaan bergerak.

Bagaimanapun, ada sesetengah model kenderaan menempatkan radiatornya di bahagian sebelah enjin sama ada kiri atau kanan.

Sistem itu mungkin dianggap kurang berkesan tetapi angin masih mampu mengalir di sebelah jejaring radiator berbanding jenis yang dipasang di bahagian depan enjin.

Radiator mengandungi tiga bahagian utama iaitu atas, jaring radiator dan tangki bawah. Jaring radiator mempunyai ratusan lubang kecil yang berfungsi sebagai penyerap air yang mengalir dari atas ke bawah tangki.

Pengaliran itu berlaku mengikut pusingan bahagian penyejuk pada bahagian enjin berkenaan. Jadi, setiap kali air mengalir ke lubang berkenaan menghasilkan air sejuk dengan bantuan angin ketika kenderaan bergerak.

Bagi sesetengah kenderaan, ia menggunakan radiator jenis pengaliran melintang iaitu sejenis sistem yang dianggap memberi manafaat kepada enjin yang melakukan kerja atau tugasan berat.

Cara radiator berfungsi ialah menerusi pusingan air dari tangki ke kedua saluran tiub yang dipasang ke bahagian atas dan bawah tangki enjin.

Kegagalan pusingan itu berfungsi menyebabkan enjin menjadi panas. Kebiasaannya, ada beberapa sebab masalah itu berlaku.

Antaranya tangki tersumbat oleh kepingan logam atau tangki berkarat kerana jarang dibersih dan dicuci.

Oleh itu, sebagai pemilik kenderaan dan bagi memastikan radiator sentiasa berfungsi dengan baik, anda dinasihatkan supaya mencuci tangki dari semasa ke semasa bagi mengelakkan terjadi karat pada bahagian berkenaan.

Kekaratan itu bukan saja boleh menyebabkan pengaliran air dari bahagian tangki ke bahagian enjin tersumbat, malah boleh berlaku kebocoran sama ada pada tangki sendiri atau dua tiub getah yang bersambung ke tangki itu.

Satu cara mengelak berlakunya karat ialah mencampurkan bahan kimia disyorkan kedai aksesori kenderaan.

Selain itu, ada juga sesetengah pemilik kenderaan yang mencampurkan bahan penyejuk (coolant) ke tangki supaya dapat mengurangkan suhu panas ketika enjin bergerak.

Bagi kenderaan model baru, ia biasanya dilengkapi dengan tangki tambahan yang diletakkan bersebelahan.

Tangki itu berfungsi sebagai air simpanan bagi menampung bekalan air ketika tangki kekurangan air.

No comments: