Monday, October 20, 2014

Mengatur belanjawan keluarga

Belanjawan keluarga dapat membantu membina sebuah keluarga bahagia di mana ia akan membantu merancang pengagihan pendapatan bagi perkara-perkara penting seperti pendidikan, kesihatan, percutian dan perkara-perkara yang di luar dugaan dapat ditangani.

Kegagalan dalam merancang belanjawan biasanya akan menyebabkan perbelanjaan melebihi pendapatan isi rumah dan berlakunya krisis kewangan dalaman seperti kegagalan membayar bil-bil tertunggak, ansuran rumah dan memenuhi keperluan dapur.

Ini bukan salah majikan yang membayar gaji kecil tetapi ia adalah akibat sifat boros dan kesilapan perancangan kewangan kita.

Berjimat-cermat dan berbelanjalah dengan bijaksana serta rancang perbelanjaan anda dengan mengatur satu belanjawan keluarga.

Perbelanjaan harian hanya sebahagian daripada belanjawan atau bajet yang perlu diatur setiap tahun dan setiap bulan. Peruntukan-peruntukan lain perancangan masa depan perlu diambil kira.

Rancang belanjawan mengikut kemampuan kewangan dengan mengenalpasti keutamaankeutamaan seperti perbelanjaan harian yang meliputi duit dapur, duit minyak dan tambang, bayaran sewa atau ansuran rumah, ansuran kereta dan bil-bil.

Selain itu ambil kira perbelanjaan perubatan, simpanan untuk masa perlu, peruntukan untuk insuran pendidikan, kesihatan dan sedikit tabungan untuk percutian keluarga pada hujung tahun.

Lakukan kiraan sendiri dan anda dapat pastikan kemampuan anda atau sebanyak mana hendak anda peruntukkan untuk perkaraperkara berkenaan yang lazimnya meliputi 20 hingga 35 peratus dari jumlah gaji atau pendapatan isi rumah diikuti 25 peratus lagi untuk sewa atau ansuran rumah dan 15 - 20 peratus untuk ansuran kereta.

Seterusnya, teliti pula jumlah bil-bil elektrik, telefon, air dan sebagainya. Lazimnya kos bil ini tidak melebihi RM200 bagi sesebuah keluarga yang sederhana dan bijaksana dalam penggunaannya.

Buat juga peruntukan kecil untuk perbelanjaan klinik terutamanya bagi mereka yang bekerja sendiri atau pembiayaan rawatan kesihatan yang tidak dibiayai majikan. Antara RM50 - RM100 sebulan mungkin memadai. Jika tiada ahli keluarga yang sakit pada bulan berkenaan, peruntukan itu boleh dibawa ke bulan hadapan.

Dalam masa yang sama, jangan abaikan soal simpanan atau pelaburan masa depan. Jika kita tidak mampu untuk melabur di pasaran saham atau skim saham amanah, cuba cari alternatif lain.

Antara yang boleh anda pertimbangkan ialah insurans kerana ia memberi anda peluang melabur atau menabung sambil berlindung.

Antara skim insurans yang mustahak untuk anda dan anak anda ialah insurans pendidikan dan kesihatan.

Kos pembiayaan pendidikan dan kesihatan sekarang sangat tinggi. Oleh itu, anda perlu merancang dari sekarang.

Mungkin anak anda masih kecil atau baru memasuki pra-sekolah atau anda belum merasakan beban kos pendidikan berbanding ibu bapa yang mempunyai tiga atau empat anak di sekolah rendah dan menengah. Tetapi ini tidak bererti anda harus melupakan soal ini.

Anda boleh membeli insurans pendidikan sama ada dari syarikat insurans konvensional atau takaful. Ada di antara syarikat insurans ini menawarkan bayaran ansuran serendah RM20 sebulan untuk seorang anak.

Dengan tabungan serendah itu, anda memberi perlindungan yang berlipat kali ganda kepada anak anda sehingga sampai tempoh matangnya iaitu apabila berusia 18 tahun. Bila anda sudah memiliki insurans ini, sebahagian daripada masalah kos pembiayaan pendidikan masa depan telah diselesaikan.

Begitu juga dengan insurans kesihatan, anda memerlukannya walaupun hospital atau klinik kerajaan memberikan rawatan percuma.

Kita mahukan rawatan yang terbaik, oleh itu langganilah mana-mana insurans kesihatan yang membolehkan anda mendapat rawatan di hospital yang selesa dan lengkap.

Terdapat juga syarikat insurans yang menawarkan skim perlindungan dengan ansuran bulanan serendah RM25 seorang. Anda juga boleh membeli pakej keluarga jika mampu.

Peruntukkanlah kira-kira 5 - 10 peratus daripada pendapatan anda untuk tabungan ini.

Jika anda berpendapatan tinggi, mungkin anda boleh membuat peruntukan untuk melabur dalam pasaran saham atau skim saham amanah. Tetapi awas jangan terkena skim cepat kaya.

Setelah menolak semua bajet tadi, tentunya anda masih mempunyai 20 peratus. Baki ini boleh disimpan untuk kegunaan ketika kecemasan dan perbelanjaan bercuti pada hujung tahun. Bila anda sudah memiliki sejumlah wang untuk bercuti, percutian boleh dirancang dengan lebih mudah.

Perbelanjaan atau belanjawan keluarga ini boleh dilaksanakan dengan berkesan jika anda seorang yang berdisiplin. Hanya dengan disiplin yang tinggi segala peruntukan dan garis panduan itu dapat diikuti.

* Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@ hotmail.com dengan kerjasama KPDNKK

No comments: