Wednesday, October 29, 2014

10 tips atasi peningkatan kos

Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur ingin berkongsi sedikit panduan bagaimana untuk berjimat:

1. Senaraikan dahulu barangan yang diperlukan dan berbelanja berdasarkan keperluan bukannya kehendak. Ini akan membantu anda untuk mengoptimumkan lagi penggunaan wang dan mengelakkan pembaziran.

2. Hobi membaca merupakan hobi yang bagus, namun tidak semestinya anda perlu membeli semua majalah atau buku yang diminati pada setiap bulan. Anda boleh berkongsi majalah dan bahan bacaan lain dengan rakan-rakan atau bergilir-gilir membelinya bagi menjimatkan perbelanjaan. Selain itu, anda boleh membaca buku kegemaran anda di perpustakaan.

3. Berbual di telefon sememangnya satu perkara yang mengasyikkan sehinggakan ramai yang lupa diri sehingga bil melebihi bajet yang ditetapkan. Ringkaskan perbualan anda atau berikan keutamaan pada penggunaan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Bagi anda yang mempunyai internet gunakan Yahoo! Messenger sebagai alternatif untuk berhubung bagi menggantikan telefon.

4. Jika dahulu anda gemar melancong ke luar Negara, sekarang lebih baik habiskan percutian anda di dalam negara sahaja bagi menjimatkan perbelanjaan anda, aliran wang ke luar negara juga boleh dikurangkan.

5. Pakej saluran pelbagai yang ditawarkan oleh pelbagai stesen televisyen berbayar sememangnya menarik. Tetapi fi kirkan adakah semua saluran yang ditawarkan tersebut akan ditonton oleh anda. Sebelum memilih saluran yang diinginkan, fi kirkan terlebih dahulu akan penggunaannya. Jika masa anda sering dihabiskan di luar rumah, jangan langgan pakej yang tidak anda tonton.

6. Ketika berbelanja ramai yang lupa diri sehingga tidak sedar wang yang dibawa tidak mencukupi. Justeru, kad kredit digunakan sebagai jalan penyelesaian sehingga memberi impak yang besar kepada bajet bulanan.

Oleh itu, elakkan belian secara kredit dan amalkan belian tunai. Pendek kata, ukur baju di badan sendiri.

7. Bawa bekalan dari rumah ke pejabat. Ia bukan sahaja menjimatkan malahan kebersihannya dan khasiatnya lebih terjamin. Jika mahu keluar membeli-belah pastikan anda menjamah makanan di rumah terlebih dahulu.

8. Jika dahulu anda gemar membeli barangan berjenama dan mewah, kini tumpuan pembelian anda pada barangan tempatan. Cuba kikis anggapan bahawa barangan tempatan tidak berkualiti daripada minda anda.

Barangan tempatan bukan sahaja setanding dengan produk import malahan harganya lebih murah. Ubah tabiat berbelanja daripada sekarang.

9. Amalkan menyemak kandungan bil-bil utiliti anda seperti bil telefon, air, elektrik, internet dan sebagainya pada setiap bulan.

10. Biarpun ia merupakan tanggungan bulanan anda, tetapi semak terlebih dahulu semua bil sebelum membuat pembayaran kerana dikhuatiri terdapat kesilapan atau caj yang tidak disedari.

Setiasa peka terhadap aliran wang keluar pada setiap bulan dengan merekodkan setiap perbelanjaan harian anda. Sediakan buku kecil untuk merekodkan perbelanjaan anda dan semak pada setiap hujung bulan pengaliran wang anda. Melalui cara ini, anda dapat mengenal pasti sama ada anda boros atau tidak.

* Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com dengan kerjasama KPDNKK

No comments: