Wednesday, September 3, 2014

LABEL pemakanan, juga dikenali sebagai Panel Maklumat Pemakanan (PMP), adalah jadual pada label makanan berbungkus yang menunjukkan jumlah tenaga, karbohidrat, protein dan lemak, dan ada kalanya, vitamin, mineral dan nutrien lain yang terkandung dalam sesuatu produk.

- Membaca label-label ini boleh membantu anda membuat pilihan yang lebih sihat dan bijak, serta:

- Membandingkan nilai pemakanan antara jenama berlainan bagi produk yang sama.

- Membantu anda membuat keputusan jenis makanan yang sesuai untuk perancangan makanan anda, terutamanya jika anda mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi atau paras kolesterol tinggi.

- Mengguna label sebagai satu alat untuk merancang diet yang sihat dan seimbang

MEMAHAMI PANEL MAKLUMAT PEMAKANAN

Senarai nutrien

- Senarai tenaga, karbohidrat, protein dan lemak, serta vitamin dan mineral yang terkandung dalam sesuatu produk.

Jumlah nutrien

- Jumah tenaga dan nutrient dalam setiap 100g (makanan pejal) atau 100ml (minuman).

Jumlah nutrient setiap hidangan

- Jumlah nutrient dan tenaga yang dibekalkan oleh setiap hidangan makanan.

ITEM-ITEM LAIN PADA LABEL PRODUK MAKANAN

Terdapat maklumat lain yang penting pada label makanan berbungkus yang anda harus mengambil perhatian semasa membeli produk makanan.

Senarai ramuan

- Disenaraikan dalam susunan menurun dari segi kuantiti dan berat. Penting untuk diketahui bahawa bahan-bahan yang sama mungkin mempunyai nama yang berbeza, contohnya gula juga boleh dikenali sebagai sukrosa, madu, sirap, molases, maltodekstrin dan lain-lain.

Tarikh luput

- Ditunjukkan sebagai "baik sebelum", "guna sebelum"; merujuk kepada tarikh terakhir makanan itu harus dimakan. Ini adalah kerana selepas tarikh ini, makanan tersebut tidak dijamin selamat untuk dimakan.

Berat bersih/isipadu

- Jumlah berat atau isipadu makanan berbungkus/ bertin.

Cara menyimpan

- Semak sama ada makanan atau minuman harus disimpan pada suhu bilik, disejukkan, atau dibekukan.

Arahan penggunaan

- Baca untuk mengetahui cara makanan/minuman perlu disediakan sebelum makan.

Kandungan alergen

- Semak untuk alergen, misalnya kekacang, susu dan produk tenusu, telur, gandum dan lain-lain, terutamanya jika terdapat ahli keluarga yang mempunyai alahan terhadap sesuatu bahan tertentu!

INGAT TIP-TIP INI:

- Selalu baca senarai ramuan untuk mengetahui bahan utama yang terkandung dalam produk.

- Membuat pilihan makanan/minuman berdasarkan kandungan nutrient keseluruhan sesuatu produk.

- Sentiasa membuat perbandingan dengan berdasarkan setiap 100g atau 100ml sesuatu produk.

- Penggunaan saiz hidangan mungkin tidak sesuai kerana ia berbeza antara jenama yang berlainan.

- Mengetahui saiz hidangan untuk mengelakkan makan secara berlebihan.

Sumber: Tip Gaya Hidup Sihat, Panduan Pemakanan Praktikal Untuk Keluarga, Bulan Pemakanan Malaysia, diterbitkan oleh Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

No comments: