Friday, September 19, 2014

Gores dan menang!

PERHATIAN:  Gores dan Menang telah diharamkan oleh Kerajaan!!!

KEGIATAN Gores dan Menang masih giat dijalankan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab walaupun ianya telah diharamkan pada 3 Disember 2007 oleh Kerajaan.

Aktiviti 'Gores dan Menang' yang berselindung dengan pelbagai helah dan taktik licik yang sentiasa berubah-ubah serta teknik pemasaran yang sangat meyakinkan pengguna menyebabkan ianya sukar dikesan dan dibanteras oleh pihak berkuasa.

Banyak aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) yang mengaitkan syarikat-syarikat jualan langsung ataupun orang perseorangan yang giat menjalankan aktiviti 'Gores dan Menang' di mana mangsa mengalami kerugian melebihi puluhan ribu ringgit.

Di bawah Seksyen 14(1) (a) & (b) Akta Pelindungan Pengguna 1999, tiada seseorang yang boleh menawarkan apa-apa pemberian hadiah atau benda percuma tanpa niat untuk melaksanakannya. Manakala di bawah Seksyen 10(1)(a)-(l), tiada sesiapa yang boleh membuat perwakilan palsu atau mengelirukan kepada orang awam berkenaan dengan barangan atau perkhidmatan.

Kini, bukan sahaja syarikat-syarikat jualan langsung yang menjalankan kegiatan ini malahan juga orang perseorangan turut terlibat dan ini merumitkan lagi tugas pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan ini.

Aduan-aduan yang diterima mendapati kini sikap tamak pengguna bukan menjadi punca utama tetapi lebih kepada helah dan taktik yang menggunakan remaja lepasan sekolah sebagai umpan untuk meraih simpati mangsa ke premis operasi mereka.

Setiba di premis operasi, pengguna sering gagal menepis gesaan, paksaan dan helah yang kononnya untuk menyemak baki akaun kad kredit atau kad ATM, seterusnya berakhir dengan caj yang dikenakan keatas kad kredit. Setelah bayaran dibuat, pihak tersebut akan memaksa mangsa untuk membawa balik barangan yang tidak bermutu dan tidak sepadan dengan harga yang dibayar. Apabila mangsa enggan menerima barangan yang diberikan, barulah mangsa diberitahu bahawa bayaran telahpun dicaj melalui kad kredit atau ATM yang diserahkan kepada mereka.

Sehubungan itu, pihak Bank Negara Malaysia telah mengambil tindakan membatalkan kemudahan mesin transaksi kad pihak-pihak yang didapati mengendalikan kegiatan tidak bertanggungjawab.

Kawalan kemudahan ini telah sedikit sebanyak mengurangkan aktiviti Gores dan Menang daripada terus memperdayakan pengguna.

Pengguna yang dipaksa menyerahkan kad kredit ataupun kad ATM, perlulah segera menghubungi pihak bank untuk membatalkan transaksi berkenaan dengan serta merta. Pengguna juga harus membuat laporan kepada pihak polis dan pihak berkenaan seperti bank, KPDNHEP, Bank Negara dan NCCC untuk membolehkan tindakan pembanterasan dilakukan.

Selain dari wang yang boleh dikembalikan kepada pengguna, laporan ini juga akan membantu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan berdasarkan undang-undang yang sedia ada.

Dipercayai masih ramai mangsa yang tidak tampil untuk memberikan keterangan dan menjadi saksi bagi tindakan pendakwaan.

Keadaan yang sedemikian akan mengagalkan tindakan penyiasatan dan pendakwaan ke atas pihak-pihak yang akan disabit kesalahan.

Semua pengguna harus sedar bahawa secara realitinya, TIADA barangan yang akan diberikan secara PERCUMA oleh mana-mana pihak tanpa sebab-sebab tertentu.

Kita harus BERHATI-HATI dan JANGAN MUDAH PERCAYA dengan tawaran produk-produk percuma seperti baucer, rawatan kesihatan, tiket penerbangan, pakej pelancongan, pakej pelangsingan dan sebagainya. Oleh itu dinasihatkan agar pengguna tidak mengunjungi premis-premis yang menawarkan hadiah percuma secara bersendirian bagi mengelakkan diri daripada terpedaya dengan taktik jualan secara paksaan.

Sumber: Harian Metro

No comments: