Thursday, July 24, 2014

Jangan cari padah di jalan raya

Sepanjang musim cuti Aidilfitri minggu depan, kita pasti jalan raya akan sesak dengan kenderaan.

Tidak kiralah sama ada mengambil cuti pendek atau panjang, tetapi lebuh raya atau jalan persekutuan, malahan jalan perbandaran sesak dengan kenderaan.

Ia adalah pemandangan lazim pada setiap musim cuti perayaan utama negara. Bagi orang Islam, mereka berpusupusu balik kampung untuk beraya dengan keluarga.

Kepada bukan Islam, tempoh cuti yang panjang adalah kesempatan untuk mereka membawa keluarga bercuti ke destinasi pilihan.

Pendek kata, setiap orang mempunyai tujuan dan destinasi masingmasing setiap kali tiba musim cuti yang panjang ini.

Memandu di jalan raya juga adalah satu pengembaraan yang sebenarnya turut mencabar mental dan fizikal, terutama bagi mereka yang menempuh perjalanan jarak jauh.

Hilang sabar

Tekanan mental ini menyebabkan ada yang hilang sabar kerana keadaan fizikal atau badan kita yang letih, lesu dan mengantuk.

Sama ada pada musim raya atau tidak, hakikatnya sikap pemandu negara ini sebenarnya memang ada luar biasa. Kebanyakan pemandu menjadi 'liar' apabila memegang stereng tatkala sedang memandu.

Tidak kira di lebuh raya atau jalan raya biasa, kita sering melihat ramai yang bersikap gelojoh, tidak berhemah dan mementingkan diri sendiri.

Ini termasuklah mengekori kereta hadapan dengan rapat, seolah-olah memaksa pemandu ke tepi bagi memberi laluan seolah-olah hanya dirinya sahaja yang mahu sampai cepat ke destinasi dituju.

Andaikan tiba-tiba kereta hadapan berhenti mengejut kerana mengelak sesuatu, pastinya akan berlaku kemalangan yang tak dapat dielakkan.

Ada juga pemandu yang berhemah atau berdisiplin tidak kena pada tempat, seperti memandu pada kelajuan perlahan di lorong tengah lebuh raya atau paling kiri di jalan raya biasa.

Memandu juga turut mengubah karakter individu. Seseorang yang kelihatan berdisiplin, berhemah dan bertolak ansur boleh bertukar menjadi kasar, mementingkan diri sendiri sehingga tidak mempedulikan keselamatan orang lain.

Tak hirau keselamatan keluarga

Mereka yang dilihat penyabar dan alim, boleh berubah menjadi pemandu gelojoh, tidak berdisiplin seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan anggota keluarga yang berada dalam kenderaan yang dipandunya.

Tidak hairanlah kita sering membaca atau mendengar laporan berita kemalangan jalan raya membabitkan satu keluarga seramai empat hingga enam orang sekali gus.

Ini membuatkan kita terfikir apakah memandu di jalan raya di Malaysia dianggap tidak selamat? Kita sudah mengambil langkah berjaga-jaga ketika memandu, tetapi belum selamat kerana pada bilabila masa boleh dilanggar oleh pemandu lain yang cuai.

Sehubungan itu, pada musim perayaan ini, sama ada kita memandu hendak balik kampung atau bercuti, sebelum memulakan perjalanan mungkin boleh bertanya pada diri sendiri, berapa lama boleh sampai ke destinasi yang dituju.

Bagi penulis, apabila memandu balik kampung kebiasaannya mengambil masa sekitar dua jam 40 minit, tetapi bagi musim raya, tempoh masa perjalanan dianggarkan sekitar tiga jam 30 minit atau empat jam. Ini menjadikan penulis tidak berasa 'tertekan' untuk sampai kampung dengan cepat.

Paling menakutkan apabila memandu di jalan persekutuan atau dikenali juga jalan biasa pada musim perayaan ini. Jalan tidak rata, agak sempit selain tidak ada bahu jalan yang sempurna serta banyak simpang dan lampu isyarat, manakala kalau waktu malam pula gelap-gelita.

Dalam keadaan begini, masih ada juga yang memandu dengan laju, memotong sesuka hati walaupun pada lorong berkembar atau mengekori kenderaan hadapan dengan rapat. Lebih menggerunkan apabila ia membabitkan pemandu bas dan lori. Bayangkan kalau tiba-tiba kenderaan berat yang dipandu laju ini tiba-tiba hilang kawalan kerana masalah mekanikal seperti brek tidak berfungsi?

Berita mengenai kemalangan ngeri sehingga me-ngorbankan banyak nyawa seperti dilaporkan oleh akhbar dan TV, seolah-olah sedikit pun tidak menggerunkan orang ramai.

Harus ambil iktibar

Ramai di antara kita yang tidak pernah mengambil iktibar dengan kemalangan yang meragut banyak nyawa ini dengan menganggap seolah-olah itu semua sebagai perkara biasa, sedangkan pada hakikatnya tragedi itu boleh dielakkan.

Etika memandu secara beradab ini tidak seharusnya diamalkan pada musim perayaan sahaja. Ia sewajarnya jadi amalan pada setiap hari ketika berada di jalan raya, Jangan jadi hipokrit apabila memandu, iaitu pemandu yang cermat dan berhatihati disebabkan ada pengawasan daripada pihak berkuasa.

Jangan pentingkan diri sendiri apabila berada di jalan raya. Hari ini kita seperti `membuli' orang lain, tetapi percayalah pada hari lain pula, ada orang lain akan membuli kita pula. Dalam erti kata lain, usaha fikir kita saja nak cepat sampai. Orang lain pun, kalau boleh hendak cepat sampai juga. Jangan fikir keselamatan sendiri saja, tetapi fikirkan juga keselamatan orang lain.

Bayangkan keluarga yang anda sayangi ketika sedang memandu.

Sumber: Berita Minggu - Kembara - Oleh Zainuri Misfar

No comments: