Monday, June 23, 2014

Penggunaan ubat yang betul


Ambil tahu semua ubat yang diberikan

Ibu bapa hendaklah mengetahui nama ubat dan tujuan ubat diambil serta dos yang sepatutnya diberikan. Jika berlaku sebarang kesan sampingan atau alahan ubat, maka ibu bapa dapat mengenalpasti ubat yang diambil dan memaklumkan kepada doktor dengan segera.

Gunakan penyukat ubat yang betul

Penggunaan sudu untuk pemberian ubat dalam bentuk cecair tidak digalakkan kerana ia tidak memberikan sukatan yang sebenar. Gunakan penyukat ubat yang bersesuaian dengan dos yang diperlukan agar anak anda mendapat dos ubat yang betul dan mencukupi. Ketahuilah singkatan ubat seperti milligram (mg), milliliter (ml) dan ounce (oz).

Baca dan fahami label ubat

Penting bagi ibubapa untuk membaca dan memahami label pada bekas ubat. Maklumat yang boleh diperolehi daripada label ubat adalah:

* Nama ubat

* Kekuatan ubat

* Arahan pengambilan ubat

* Cara penyimpanan

* Perhatian/Amaran (Contoh: Ubat ini boleh menyebabkan mengantuk)

* Tarikh luput

Jangan berkongsi ubat-ubatan

Semua jenis ubat yang diberikan oleh doktor tidak dibenarkan untuk dikongsi dengan semua anak-anak. Ibubapa perlu memahami bahawa dos bagi setiap ubat adalah bergantung kepada umur dan berat badan individu. Selain itu, tidak semua ubat adalah sesuai untuk diambil oleh semua individu.

Tumpukan perhatian kepada arahan

Pegawai Farmasi ketika mengambil ubat Ibu bapa hendaklah memberi perhatian kepada penerangan Pegawai Farmasi yang merangkumi kegunaan ubat, dos yang patut diambil, kekerapan pengambilan dan tempoh penggunaan. Jika terdapat sebarang soalan, jangan malu bertanya kepada Pegawai Farmasi.

Pastikan ubat disimpan di tempat yang betul dan jauhi daripada kanak-kanak

Ubat mesti disimpan di tempat yang sesuai dan tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak seperti di atas rak, di dalam bekas yang ketat dan tidak mudah dibuka. Bekas simpanan ubat untuk dimakan perlu diasingkan dengan bekas ubat untuk kegunaan luar. Ubat yang perlu disimpan di peti sejuk hendaklah diletakkan di sudut atas bahagian dalam peti sejuk.

Maklumkan kepada doktor atau Pegawai Farmasi jika anak mempunyai alahan

Alahan menunjukkan ubat tersebut tidak sesuai untuk anak anda.Ibu bapa perlu memaklumkan kepada doktor atau Pegawai Farmasi jika anak anda pernah mengalami sebarang alahan terhadap ubat / makanan. Alahan yang sering berlaku adalah seperti ruam-ruam dan kemerahan pada badan dan bengkak pada mata.

*** www knowyourmedicine.

No comments: