Friday, June 13, 2014

Islam dan kepenggunaan


Islam merupakan agama yang dianuti oleh majoriti rakyat di negara ini dan menjadi panduan hidup dalam pelbagai aspek oleh para penganutnya.

Sebagai agama yang syumul, Islam turut juga membawakan pengajaran yang boleh diguna pakai dalam konteks kepenggunaan moden di mana ia dapat membantu mewujudkan persekitran kepenggunaan yang lestari.

Islam mengaturkan proses kepenggunaan ke arah pencapaian matlamatnya, iaitu memberi kebajikan dalam rangka melahirkan pengguna yang sempurna, mempunyai prinsipprinsip tertentu terhadap dua faktor yang terlibat iaitu pengguna dan barangan dan perkhidmatan.

Prinsip percaya kepada Alam Akhirat, konsep kejayaan dan konsep kekayaan yang dibawa oleh Islam jika diteliti boleh dijadikan paksi dalam membentuk kumpulan pengguna yang yang bijak kerana ia mencakupi aspek kemanusian dan korahanian.

Percaya Alam Akhirat

Percaya kepada alam akhirat memberi pengertian bahawa manusia wujud di dunia untuk sementara waktu sahaja dan kewujudan manusia yang hakiki adalah di alam akhirat. Ini bererti, kehidupan manusia akan berterusan hingga di alam akhirat.

Konsep ini membawa kefahaman bahawa kehidupan di dunia mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan alam akhirat yang mana ia merupakan konsep yang akan memberi kesan-kesan yang mendalam kepada gelagat pengguna.

Contohnya, aktiviti kepenggunaan akan dipengaruhi di mana pengguna-pengguna akan menilai tindak tanduknya dari sudut kesan yang ia perolehi sekarang dan seterusnya yang akan diperolehi di alam akhirat.

Setiap pilihan perbelanjaan dan penjualan yang dibuat masing-masing oleh pengguna dan peniaga Muslim akan dibuat berdasarkan timbal balik yang akan dinikmati khususnya di alam akhirat hasil dari tindakan yang dipilih.

Kejayaan Dalam Islam

Konsep kejayaan dalam Islam memberi pengertian yang sangat mendalam dan sudah tentu mempengaruhi aktiviti kepenggunaan umat Islam. Kejayaan dalam Islam ditakrifkan sebagai mendapat keredhaan dari Allah s.w.t. yang mana ia berbeza dengan takrifan yang di bawa oleh kapitalisme (mengumpul kekayaan).

Dalam Islam, pengabdian mutlak kepada Allah menjadi kunci dalam mencapai keredhaan-Nya, oleh itu, segala urusan kehidupan manusia termasuk kepenggunaan mestilah berada dalam konteks ini.

Kesimpulannya, dengan memenuhi objektif ini umat Islam akan dapat menyelamatkan manusia secara keseluruhannya daripada malapetaka dan masalah dalam kehidupannya.

Justeru dengan menjalankan aktiviti kepenggunaan berdasarkan konsep ini akan bermakna, manusia sudah tentu akan diusahakan ke arah kejayaan ini, iaitu membelanjakan ke atas barangan dan perkhidmatan dalam hubungan mencapai keredhaan Allah s.w.t.

Kekayaan Dalam Islam

Islam melihat kekayaan sebagai kurniaan dari Allah s.w.t. dan alat ke arah mencapai keredhaan-Nya. Kefahaman dan keyakinan terhadap konsep ini, akan mendorong pengguna Muslim membelanjakan kekayaan kurniaan Allah s.w.t. untuk mencapai kejayaan, iaitu mendapat keredhaan. Hasilnya, seseorang pengguna akan membelanjakan kekayaannya terhadap barangan dan perkhidmatan semoga ia memperolehi restu Allah s.w.t. untuk kejayaan.

Kesan Ketiga-tiga Konsep

Keyakinan dan kefahaman terhadap ketiga-tiga prinsip yang dinyatakan akan mendorong pengguna Muslim kepada matlamat untuk memaksimakan kejayaan mencapai keredhaaan Allah s.w.t. Pengguna Muslim akan membelanjakan permintaan kepada barangan dan perkhidmatan dalam lingkungan yang direstui oleh Allah s.w.t. agar dirinya akan mendapat faedah di dunia dan akhirat.

Selain menyediakan garis panduan yang dapat mempengaruhi gelagat pengguna, Islam juga mempunyai peraturan tertentu terhadap barangan dan perkhidmatan yang akan dihasilkan dalam negara.

Barangan dan perkhidmatan yang disediakan semestinya dapat memberi manfaat kepada pengguna-pengguna semoga dalam proses kepenggunaan barangan dan perkhidmatan tersebut, keperibadian Islam dapat dilahirkan di mana produk yang menjejaskan keperibadian pengguna dari segi kesihatan, nilai akhlak dan ajaran agama tidak diiktiraf sebagai barangan dan perkhidmatan.

Islam juga menyediakan garis panduan tentang pengeluaran barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah negara. Jenis barangan dan perkhidmatan yang sekarang ini dihasilkan boleh dikategorikan sebagai keperluan asas, kesenangan atau kemewahan.

Dalam negara Islam perhatian yang utama akan diberi kepada pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang menjadi keperluan asasi, diikuti dengan pengeluaran barangan kesenangan. Barangan mewah dianggap sebagai mambazir dan bertentangan dengan Islam.

Ajaran Islam berhubung dengan proses kepenggunaan adalah diasaskan kepada matlamat untuk mencapai kejayaan, iaitu mencapai keredhaan Allah. Segala tindakan manusia termasuk kepenggunaan sewajibnya di dalam lingkungan Islam.

Oleh kerana proses pembentukan keperibadian Islam dapat diujudkan dalam masyarakat yang beramal dengan Islam, gelagat pengguna Islam akan dipengaruhi oleh tujuan mencapai keredhaan Illahi.

Tambahan lagi barangan dan perkhidmatan yang dihasil dan ditawarkan oleh pengeluar adalah mengikut keutamaan dalam Islam yang mana ia mewujudkan proses kepenggunaan yang sederhana.

Akhlak kegiatan ekonomi mengikut Islam adalah berhasrat untuk mengurangkan keperluan kebendaan yang melampaui dalam rangka membebaskan tenaga manusia ke arah pembentukan manusia yang berkerohanian tinggi.

Dengan menyakini dan beramal dengan anjuran Islam dalam amalan kepenggunaan, umat manusia akan lebih bahagia dan kurang tertekan dengan cabaran kos sara hidup yang makin meninggi. Suasana semasa sepatutnya membuka pintu hati manusia untuk berfikir sejenak dan mengambil langkah sesuai untuk menyelamat diri dan masyarakat dari kongkongan hidup hasil dari pembikinan manusia.

*** Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com dengan kerjasama KPDNKK

No comments: