Monday, May 19, 2014

Bercucuk tanam di rumah


PENANAMAN sayuran di rumah merupakan hobi kepada kebanyakan orang. Sebenarnya penanaman sayuran di rumah boleh membawa banyak faedah seperti kita tidak perlu membeli sayur-sayuran dari pasar raya. Selain itu, kita juga dapat menikmati sayur-sayuran yang segar lagi sihat kerana sayur-sayuran yang ditanam di rumah tidak menggunakan sebarang bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan kita. Oleh itu, adalah digalakkan untuk melakukan penanaman sayuran di rumah. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil dalam penanaman sayuran di rumah:

Penyediaan Tanah

Tanah yang berbeza mempunyai keperluan penyiraman air yang berbeza. Anda tidak perlu menjadi saintis tanah untuk mengetahui jenis tanah. Tips berikut boleh membantu:

- Tanah yang berbutir cepat menyerap air dan nutrien: Gunakan 2cm hingga 4cm lapisan lindungan dengan serat (daun-daun, serat tumbuhan, rumput kering) di atas kawasan akar. Ini mengurangkan kehilangan air dari tanah.

- Tanah liat: tambahkan kompos atau gambut kepada tanah ini dan kacau sebati, ini dapat membantu pengudaraan tanah. Tanah liat lambat menyerap air, jadi kita hanya boleh menyiram mengikut kadar serapan air.

- Tanah pasir: Tambahkan bahan organik kepada tanah ini. Ini untuk mengelak air mengalir dengan cepat dalam tanah pasir. Kandungan bahan organik dapat membantu tumbuhan menyerap air.

- Tanah gambut: Tanah yang sesuai untuk bercucuk tanam. Tanah ini menyerap air dan menyimpannya, ini membantu tumbuhan menyerapnya.

Penyediaan batas

Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15-20 cm. Sediakan batas berukuran 1.2 m lebar, 0.15-0.20 cm tinggi. Jarak antara batas ialah 0.3 m.

Semaian

Taburkan biji benih dengan campuran pasir halus (1:1), tabur selapis pasir halus bagi menutup biji benih dan letakkan sungkupan dari rumput ke atas batas. Siram batas setiap hari. Anak benih kelihatan selepas 3-4 minggu.

Penanaman benih

Anak benih yang sihat ditanam dua baris sebatas. Jarak tanaman ialah 60 cm antara pokok dan 60 cm antara barisan.

Pembajaan

Penggunaan baja organik adalah perlu untuk kesuburan tanah. Baja ditabur di sekeliling pokok dan digaul ke dalam tanah.

Baja organik boleh digantikan dengan baja kompos iaitu campuran bahan-bahan buangan atau sisa pertanian yang mereput serta terurai melalui proses penguraian bakteria yang seterusnya menjadi baja semula jadi yang baik.Pembuatan baja kompos selalunya amat menjimatkan jika berbanding dengan baja organik.

Penyiraman

Siram dua kali sehari. Pada peringkat awal pertumbuhan sayuran, air banyak diperlukan untuk tumbesaran. Selepas 2-3 minggu, siram sekali sehari adalah mencukupi.

Pengawalan Rumpai

Kawalan rumpai perlu dilakukan sepanjang masa, sama ada secara manual (dengan tangan atau cangkul) atau secara sungkupan.

Pengawalan Serangga Perosak

Antara tumbuhan yang boleh mengelakkan serangga perosak adalah, bawang merah, bawang putih, halia, pudina, dan beberapa tumbuhan herba yang lain.

Jenis sayuran yang boleh ditanam dengan senang adalah: Sawi, cili, terung bulat, terung panjang, kacang panjang, kacang tanah, jagung, kangkung, bendi, ubi kayu, tomato, dan banyak lagi. - Buletin Pengguna

1 comment:

Cikgu Abah said...

memang banyak kebaikannya...sayuran dipasaran kebanyakannya ada racun serangga..kalau kreatif..boleh buat lanskap yg cantik..