Wednesday, April 9, 2014

Lima asas memastikan doa mustajab


SEBAGAI umat Islam, kita tentunya yakin dengan segala hidayah dan nikmat Allah swt. Lantaran itu, apabila kita dihadapkan dengan sesuatu keinginan, keperluan, kesulitan dan pelbagai bentuk dugaan, maka kita dengan rasa rendah diri akan segera menadah tangan, memohon kurniaan Tuhan bagi menangani segala kepayahan dan permintaan kita melalui doa.

Doa adalah suatu cabang ibadat kepada Allah dan senjata kesejahteraan hidup umat mukmin sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran dan sunnah.

Di dalam surah al-Mukmin, ayat 60 umpamanya, Allah berfirman yang bermaksud: "Berkata Tuhanmu: Mintalah kepada-Ku, nescaya aku kabulkan doamu itu. Sesungguhnya orang yang sombong hingga tidak mahu beribadah kepada-Ku. Sesungguhnya mereka itu akan masuk neraka dalam keadaan hina- dina."

Dalam sebuah kitab Hikam pula ada dijelaskan mengenai konsep doa. Menurut kitab berkenaan, apabila Allah melepaskan lidah manusia untuk memohon, ketahuilah bahawa Allah ingin memberikan pertolongan mengikut apa yang dimohon.

Oleh yang demikian, berdasarkan doa itu sendiri yang berperanan sebagai jiwa ibadat, maka proses doa itu adalah permohonan yang diatur dalam bentuk ayat yang menyatakan suara hati seseorang hamba.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 186 pula, Allah berfirman yang bermaksud: "Dan seandainya hamba-hamba-Ku bertanya Aku kepada-Mu, maka sesungguhnya Aku ini maha dekat. Aku akan mengabulkan permohonan daripada orang yang berdoa jika dia berdoa kepada-Ku."

Ketenangan pasti akan diperolehi sekiranya Allah melepas dan meleraikan segala kesulitan dan kekusutan yang membelit jiwa dan hati kita. Permohonan yang dilakukan melalui ibadah doa itu sebenarnya adalah suatu susunan kalimat yang begitu kudus dan mulus.

Kerana itulah, ia perlu diiringi dengan ketulusan hati dan keinginan yang kuat dengan merendahkan diri dengan serendah-rendahnya kepada Allah swt, sesuai dengan kejadian diri manusia itu sendiri yang sentiasa memerlukan kekuatan dan petunjuk serta kesejahteraan daripada Allah Yang Maha Agung.

Bertepatan dengan konsep doa itu sendiri yang berperanan sebagai perantara yang membabitkan suatu ruang dan keadaan yang tiada had waktu dan masa, maka Allah sendiri menyuruh hamba-Nya berdoa tanpa mengira keadaan, tempat dan waktu tertentu.

Asalkan ia menjurus kepada kebaikan dan memohon kesejahteraan untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan umat mukmin sejagat, maka jika diiringi dengan kesungguhan dan keyakinan serta keikhlasan, pasti Allah akan mengkabulkannya.

Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin doanya dikabulkan Allah dalam bahaya dan kesusahan, hendaklah dia banyak berdoa dalam kesenangan." (Riwayat Tarmizi)

Diriwayatkan pula oleh Tarmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah bahawa Nabi saw juga bersabda yang bermaksud: "Tiada satu pun yang lebih dihargai oleh Allah selain daripada doa."

Perlu diingatkan juga bahawa Islam amat melarang umatnya berdoa kepada Allah dengan tujuan yang tidak baik, umpamanya meminta Allah mencabut nyawanya lantaran seseorang individu itu tidak sanggup lagi menghadapi kesulitan dan kepayahan hidup di dunia ini sedangkan dia masih mempunyai kudrat dari urat dan tulangnya untuk melakukan perubahan terhadap kehidupannya seharian.

Rasulullah saw sendiri, walaupun begitu banyak dan kerap menerima ancaman, cemuhan dan herdikan yang membawa kepada penderitaan hidup baginda sendiri, namun tidak pernah sekali-kali memanjatkan doa kepada Allah agar menurunkan bala kepada orang yang memusuhi baginda, sebaliknya memohon agar Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada mereka.

Mengambil tindakan drastik yang boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling adalah suatu tindakan yang kurang bijaksana.

Lantaran itulah, Islam menggalakkan umatnya berusaha, berdoa dan bertawakal. Ruang hidup sebenarnya cukup luas untuk kita bertindak. Seseorang yang gagal dalam bidang yang diceburi, umpamanya, sekiranya kegagalan yang berulang kali terus menimpa diri, maka sesekali perlulah beralih ke bidang lain, dengan harapan Allah menyediakan rahmat dan kurniaannya di dalam bidang yang baru itu.

Namun, tidak hanya cukup dengan mengharap, kita juga haruslah meningkatkan keazaman, kuatkan semangat dan sentiasa menadah tangan ke hadrat Allah agar kenikmatan hidup akan dapat dirasai.

Keutamaan berdoa amat tinggi nilai dan impaknya dalam Islam sehingga Rasulullah sendiri pernah menyatakan bahawa doa adalah senjata terakhir yang paling berkesan bagi seluruh mukmin.

Doa juga sebenarnya mampu mengubah qada' Tuhan sebagaimana maksud sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi: "Tidak dapat menolak qada' kecuali doa dan tidak boleh menambah umur kecuali kebajikan."

Bagi memperolehi keberkatan dalam berdoa, maka Islam telah menganjurkan adab-adab tertentu pula. Adab ini penting bagi memastikan doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah itu didengari, diberi pertimbangan dan seterusnya dimakbulkan oleh-Nya sebagaimana kita harapkan.

Antaranya ialah:

Sentiasa menjaga pemakanan harian

Ada segelintir mukmin yang tidak begitu memberi penekanan dalam soal pemakanan. Kehalalan dalam pemakanan kita sebenarnya berpunca daripada sumber rezeki yang diperolehi.

Soal kebersihannya pula hendaklah mencakupi kebersihan dari kesihatan dan syariat. Ini kerana apa yang akan masuk ke dalam perut itulah juga yang akan menjadi darah dan daging kita sebagai sumber tenaga untuk beribadat kepada Allah.

Justeru, berwaspadalah ketika mengambil sebarang jenis makanan kerana pada mutakhir ini, begitu banyak makanan, terutama yang ada di pasaran, yang sentiasa diragui kehalalannya.

Walaupun banyak produk yang berlabel halal, ada ketikanya ia disalahgunakan oleh pihak tertentu, semata-mata ingin mengaut keuntungan daripada pengguna.

Begitu juga dengan pemakanan yang disyaki (syubhah) sama ada halal atau haramnya, maka hendaklah seboleh-bolehnya ditinggalkan agar doa kita tidak terhijab.

Diriwayatkan oleh Hafiz bin Mardawaih dari Ibnu Abbas katanya: "Saya membaca ayat ini di depan Nabi saw. Wahai manusia, makanlah barang halal lagi baik yang terdapat di muka bumi."

Tiba-tiba berdirilah Saad bin Abi Waqas, lalu berkata: "Ya Rasulullah, tolonglah doakan kepada Allah agar saya dijadikan orang yang selalu dikabulkan doanya."

Nabi bersabda: "Wahai Saad, jagalah soal makan minummu, tentu engkau akan menjadi orang yang dimakbulkan doanya. Demi Tuhan yang nyawa Muhammad berada dalam genggamannya, jika seorang lelaki memasukkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima doanya selama 40 hari, dan sesiapa juga hambanya yang dagingnya tumbuh dari makanan haram atau riba, maka neraka lebih layak untuk melayaninya."

Berdoa pada masa-masa yang utama

Doa sebenarnya boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa ada batasnya asalkan bukan di tempat yang dilarang agama.

Namun, terdapat beberapa waktu utama yang disarankan oleh Rasulullah untuk berdoa sebagaimana hadis baginda yang bermaksud: "Seseorang bertanya: Ya Rasulullah, doa manakah yang lebih didengar Allah? Sabda Nabi: Doa pada tengah akhir malam dan ketika selesai solat fardu." (Hadis riwayat Tarmizi)

Satu hadis lain yang diriwayatkan Muslim pula menyebut Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Jarak yang paling dekat antara hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sedang sujud. Maka perbanyakkanlah doa ketika itu kerana besar kemungkinan akan dikabulkan-Nya."

Justeru, doa ketika sujud adalah digalakkan, maka berdoalah pada sujud terakhir sebelum tahiyyat akhir. Ia hendaklah dibaca dalam hati tanpa menggerakkan bibir.

Mengangkat tangan setentang bahu

Hadis Nabi saw diriwayatkan Abu Daud dan Ibnu Abbas bermaksud: "Jika kamu meminta doa, hendaklah dengan mengangkat kedua-dua tanganmu setentang dengan kedua-dua bahumu atau kira-kira setentangnya dan jika berdoa dengan melepas semua jemari tangan."

Dimulakan doa dengan memuji Allah dan berselawat ke atas junjungan Muhammad saw.

Sebuah hadis diriwayatkan Abu Daud dan an-Nasa'l bermaksud: "Bahawa Rasulullah saw mendengar seorang lelaki berdoa setelah selesai sembahyang, tanpa membesarkan Allah dan mengucapkan selawat ke atas Nabi, maka sabda baginda: Orang ini terlalu tergesa-gesa."

Baginda telah memanggil lelaki tersebut dan berkata kepadanya dan orang lain. "Jika salah seorang antara kamu berdoa, hendaklah dimulai dengan membesarkan Tuhannya Yang Maha Agung dan Maha Mulia serta menyanjungi-Nya lalu mengucapkan selawat ke atas Nabi saw serta setelah itu baru dia berdoa meminta apa yang diingininya."

Memohon dengan keyakinan

Keyakinan dan keikhlasan amat penting sewaktu melafazkan doa ke hadrat Allah. Gunakanlah suara yang perlahan dan merendah diri kepada Allah dan jangan sekali-kali meninggi dan mengeraskan suara ketika berdoa.

Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 55 bermaksud: "Bermohonlah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan tidak mengeraskan suara. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas."

Rasulullah saw pula bersabda: "Hati itu gudang simpanan. Sebahagiannya lebih tahan lagi simpanannya (ingatannya) daripada yang lain. Maka, jika kamu memohon kepada Allah, maka mohonlah dengan hati yang yakin kerana Allah tidak akan mengkabulkan doa daripada hamba-Nya yang hatinya kosong daripada ingatan dan perhatian."

Imam al-Ghazali juga menyenaraikan waktu terbaik untuk berdoa berserta beberapa adab sebagaimana yang tercatat di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin, jilid 1, halaman 306-309:

* Pada hari Arafah, bulan Ramadan, hari Jumaat dan waktu sahur;

* Dalam keadaan khusyuk seperti sujud;

* Menghadap kiblat dan mengangkat tangan sampai garis ketiak dan bukan atas lutut;

* Merendahkan suara, hanya sekadar dapat didengar oleh orang yang berada di sisi kita;

* Tidak perlu menggunakan kata-kata bersajak, cukuplah dengan kata-kata yang sederhana serta merendahkan diri, tidak perlu berirama, namun diutamakan doa yang berasal dari Rasulullah dan sahabat;

* Mempercayai dan meyakini bahawa doa itu akan dimakbulkan Allah.

Bertaubat sebelum berdoa

Kita sebagai hamba Allah adalah maha kerdil dan hina, setiap hari melakukan dosa dan noda. Justeru, selayaknya kita memohon keampunan Allah setiap masa, semoga segala dosa dan noda kita akan diampuninya. Insya- Allah.

Sumber: Berita Harian - Oleh Wan Marzuki Wan Ramli 

No comments: