My Followers

Panduan penggunaan Kosmetik



KEBANYAKAN barangan kosmetik mekap muka mengandungi bahan-bahan yang tidak merbahaya dan dijual dalam kuantiti yang kecil. Barangan ini bolehlah dianggap tidak beracun. Namun begitu, sekiranya tertelan, air atau susu perlu diminum untuk mencairkan bahan kimia yang terdapat di dalam perut.

PENSIL ALAS MATA

Pencil alis mata biasanya mengandungi beberapa jenis bahan kimia antaranya lampblack, petrolatum dan parafin, kadangkala aluminium silikat dan asid stirat. Penggunaannya di bawah kelopak mata tidak digalakkan oleh pakar perubatan kerana boleh menyebabkan pigmentasi pada lapisan mukosa pada mata, mata menjadi merah, radang, berair dan pandangan menjadi kabur. Parafin tulin adalah merbahaya pada kulit. Kehadiran yang tidak tulin boleh menyebabkan kerengsaan dan ekzema. Walaupun pada amnya kandungan petrolatum adalah tidak toksik, tetapi bahan ini boleh menyebabkan alahan pada kulit.

PEMBAYANG MATA

Pembayang mata mengandungi lanolin, beeswax, seresin, kalsium karbonat, minyak mineral, sorbitan oleate dan bedak. Bedak boleh menyebabkan gangguan paru-paru jika terdedah secara berpanjangan.

MASKARA

Maskara mengandungi garam asid stearik berserta pigmen, lanolin, parafin dan lilin carnauba. Sejak penggunaannya selama beberapa tahun, terdapat beberapa kes seperti melecur, mata berair dan kerengsaan mata ke atas penggunanya.

GINCU

Gincu juga dianggap tidak berbahaya. Ia biasanya mengandungi minyak galian atau sayuran, lilin dan pewarna. Lain-lain bahan yang ditambah termasuklah bahan pelembap, pewangi, pengawet, antioksida dan mungkin juga perasa. Jika ditelan, ia tidak meninggalkan sebarang kesan.

PENGILAT KUKU

Bahan ini terdiri daripada pelarut seperti xylena, toluena, aseton, etil asetat, etanol atau metanol dan plasticizer (seperti butilasetat, dibutil phthalate, kamfor) bersama nitroselulosa atau lain-lain resin. Sesetengah daripada bahan-bahan kimia ini, jika ditelan dengan banyak boleh mengakibatkan rasa mual, muntah dan mungkin menganggu fungsi otak. Mangsa keracunan perlu dibawa ke hospital dengan segera sekiranya didapati tertelan pengilat kuku. Pembersih pengilat kuku pula boleh membahayakan diri. Kesannya adalah sama sepeti keracunan alkohol.

BARANGAN BEDAK

Barangan bedak termasuk bedak debu dan bedak badan. Bedak mengandungi bahan-bahan seperti talkum, kanji atau kedua-duanya sekali serta dengan karbonat inorganik, zink stearat, kaolin, pewangi dan mungkin juga pengawet. Secara amnya, bedak jenis ini dianggap tidak berbahaya.

Namun begitu jika dihidu dengan banyak boleh menyempitkan saluran pernafasan.

BARANGAN KOLON

Barangan kolon serta minyak wangi amnya adalah larutan hidroalkohol yang dicampurkan dengan sedikit pewangi. Barangan ini mempunyai kandungan alkohol setinggi 50 hingga 90 peratus. Jika ditelan, ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami rasa mengantuk dan penekanan fungsi otak.

Selain daripada barangan yang disebutkan di atas, terdapat juga barangan lain yang biasa digunakan dan disimpan di rumah. Walaupun ia tidak dinyatakan, ini tidaklah bermakna yang ia langsung tidak merbahaya. - KPDNKK
Post a Comment