Wednesday, November 27, 2013

Atasi kebosanan di tempat kerja


Sebagai manusia kita pasti akan merasai pelbagai perasaan seperti bersemangat, senang, bahagia, sedih, bosan dan sebagainya. Namun begitu, setiap manusia punya perasaan yang berbeza. Tidak dapat dinafikan, ketika seseorang berada dalam kesedihan, bosan atau tidak bersemangat, tubuh badan juga secara tidak langsung akan terasa lemah, mengantuk dan tidak bermaya.

Keadaan ini sekaligus membuatkan aktiviti harian kita turut terganggu. Namun begitu, perasaan negatif ini tidak harus dibiarkan dalam diri kita. Untuk itu, jalan penyelesaiannya perlu dicari seberapa segera agar prestasi dan tumpuan terhadap kerja tidak terganggu.

Penyebab - Dengan mengetahui punca dan penyebab `bad mood', kita akan mudah mengatasinya. Sebagai contoh, kita `bad mood' sewaktu melihat meja atau ruang kerja yang berselerak. Bagi meredakan perasaan `bad mood' yang dialami, ambil sedikit masa untuk mengemas meja kerja.

Atur Keutamaan - Sebaikbaiknya, kita perlu mempunyai perancangan dan menentukan prioriti sesuatu tugas yang diberikan. Tentukan yang mana lebih perlu disiapkan terlebih dahulu dan yang mana boleh disiapkan kemudian. Jika perlu sediakan 'checklist' harian, mingguan dan bulanan anda.

Disiplin - Sentiasa tentukan tarikh akhir sesuatu tugas yang perlu disiapkan agar segala perancangan berjalan lancar.

Hindari Penyebabnya - Ketika kita mengenal pasti `bad mood', sebaiknya kita hindari hal-hal tersebut sebelum memulakan kerja. Alangkah baik sekiranya penyebab itu dapat diselesaikan sebelum bebanan tugas menjadi semakin banyak.

Usahakan agar kita mampu mengawal perasaan agar apa yang dilakukan pada hari ini lebih baik daripada semalam.

Cara atasi kebosanan

1 Tetapkan tujuan agar apa yang dilakukan mampu membuahkan hasil. Selain itu, pastikan juga sebarang perancangan yang dibuat dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

2 Meluangkan masa untuk diri sendiri mampu meredakan perasaan `bad mood'. Untuk itu, sebaiknya setiap pagi luangkan sedikit waktu untuk melakukan aktiviti bermanfaat seperti minum kopi sambil membaca surat khabar atau mendengar muzik kegemaran yang mampu menenangkan jiwa.

3 Lakukan perubahan dengan menukar ganti `screen saver' komputer. Disarankan agar memilih gambar yang lucu. Melihatnya pasti akan membuatkan anda ketawa sendiri.

4 Cari aktiviti selepas pulang dari pejabat seperti bermain bola sepak, badminton, berenang atau aktiviti-aktiviti menarik yang lain.

5 `Penderitaan' selama bekerja di pejabat mampu dibalas dengan membeli sesuatu yang berharga untuk diri sendiri seperti buku, pakaian dan sebagainya. Sesekali tiada salahnya untuk berbelanja demi kepuasan diri sendiri.

6 Mempertahankan prestasi kerja anda adalah sesuatu yang penting. Meskipun bosan, jangan biarkan prestasi anda menurun. Sebaliknya motivasikan diri untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin.

* Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com dengan kerjasama KPDNKK

No comments: