Wednesday, October 16, 2013

Penjelasan mengenai caj perkhidmatan, cukai perkhidmatan & cukai kerajaan

AKHIR-AKHIR ini terdapat beberapa aduan daripada orang ramai mengenai caj perkhidmatan, cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan. Oleh itu, bagi menjelaskan kekeliruan orang ramai mengenai perkara tersebut, berikut dinyatakan perbezaannya.

Caj Perkhidmatan (Service Charge)

Caj ini dikenakan oleh sesuatu perniagaan di dalam bil / inbois selain daripada kos barangan atau perkhidmatan. Ini adalah amalan yang dipraktikkan dalam industri hospitaliti dan kadar biasa yang dikenakan adalah 10%. Caj ini dikumpulkan oleh majikan sebagai dana untuk diagihkan kepada pekerja.

Caj ini boleh menggantikan tip walaupun tidak semestinya.

Cukai perkhidmatan / Cukai Kerajaan (Service Tax / Government Tax) Secara undang-undang dikenakan dengan kadar sebanyak 6% (mulai Januari 2011) cukai perkhidmatan atau juga dikenali sebagai cukai kerajaan yang dikenakan di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 1975 ke atas kategori perniagaan dalam industri hospitaliti, seperti hotel, restoran, kelab-kelab dan spa di bawah lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Lesen cukai perkhidmatan mengandungi nama, alamat dan nombor lesen yang dipamerkan di premis yang berlesen. Cukai perkhidmatan yang dikutip ini akan dibayar kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi tempoh dua (2) bulan sekali.

Cukai perkhidmatan tidak dikenakan ke atas caj perkhidmatan, tetapi atas barangan atau perkhidmatan yang dibekalkan sahaja.

Contoh

Harga makanan segera - RM10.00

Caj perkhidmatan 10% - RM 1.00

Cukai perkhidmatan 6% atas harga makanan segera - RM 0.60

Jumlah keseluruhan perlu dibayar oleh pengguna - RM11.60

Jenis perniagaan dan jenis perkhidmatan yang tertakluk kepada pelesenan dan pengenaan cukai perkhidmatan disenaraikan dalam Jadual Kedua Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 1975 seperti berikut:

KUMPULAN - JENIS PERKHIDMATAN

Kumpulan A - Hotel

Kumpulan B1 - Restoran terletak dalam hotel yang mempunyai lebih daripada 25 bilik.

Kumpulan B2 - Restoran terletak dalam hotel yang mempunyai 25 bilik atau kurang.

Kumpulan C - Restoran terletak di luar.

Kumpulan D - Kelab malam, Dewan tari, Kabaret, Pusat Kesihatan, Rumah urut, Rumah awam dan Rumah bir.

Kumpulan E - Kelab Persendirian

Kumpulan E1 - Padang Golf dan Lapangan Sasar Golf selain daripada dalam Kumpulan A dan E

Kumpulan F - Hospital persendirian

Kumpulan G - Penyedia Perkhidmatan Lain.

Sumber: Bahagian Cukai Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

No comments: