Wednesday, October 2, 2013

Fesyen untuk gadis rendah

Panduan fesyen untuk gadis rendah boleh merangkumi apa juga topik, sama ada warna, gaya pakaian yang patut dielak dan pelbagai lagi.

Walaupun ramai mengatakan berfesyen memerlukan keyakinan, ada helah tertentu yang dapat membantu menyembunyikan kekurangan pada ketinggian dan seterusnya menampakkan ilusi tubuh tinggi.

1 Monokrom Pakai satu atau dua tona warna dari kepala ke kaki boleh memberikan bayangan tubuh lampai. Gabungan warna yang banyak dalam satu persalinan boleh `memotong' ketinggian dan seterusnya membuatkan anda rendah.

2 Kasut tumit tinggi Ini panduan paling klise. Jika tidak ada keberanian mengenakan stiletto, pilih saja kasut baji.

3 Gaya pinggang tinggi (high waisted) Mencipta ilusi untuk kelihatan tinggi adalah pembahagian tubuh. Sebenarnya mengenakan celana atau skirt berpinggang tinggi boleh mencipta ilusi tinggi. Lebih tinggi bahagian pinggang menampakkan kaki lebih panjang.

4 Boleh pakai gaun labuh Ramai gadis yang bertubuh rendah takut hendak mengenakan skirt atau gaun labuh. Skirt berkedut penuh ada kebarangkalian menenggelamkan tubuh rendah, tip mudah bagi anda adalah gaun atau skirt ringkas tanpa perincian sarat.

5 Seluar untuk anda Seluar sendat yang tidak gedoboh. Tapi percaya atau tidak, seluar jeans potongan boot atau sedikit kembang boleh menampakkan anda tinggi. Tapi elakkan seluar yang terlalu kembang pada kaki dan terlalu beralun.

6 Elakkan seluar singkat Ia perlu dielakkan kerana seluar yang dipakai pendek (atas kasut) menampakkan kaki tebal dan pendek kerana bagi pemilik tubuh rendah, seluar yang dipakai labuh menutupi kasut boleh menampakkan anda tinggi.

7 Berhati-hati dengan saiz baju Teliti saiz baju sebelum memakainya kerana baju yang terlalu gedoboh atau beralun ada potensi menenggelamkan diri anda.

8 Pilih tali pinggang nipis dan kecil Tahukah anda, pilihan tali pinggang yang tidak menepati gaya bertubuh rendah boleh merosakkan penampilan. Tali pinggang boleh membahagikan bentuk tubuh kepada dua bahagian dan boleh menyebabkan anda nampak lebih pendek. Jika ingin mengenakan tali pinggang, pilih yang halus dan tipis, itu sudah memadai.

9 Pakai warna gelap Warna gelap boleh menampakkan anda kemas dan berketerampilan kerana itu ada teori memberitahu hitam menampakkan ilusi ramping. Pemakaian warna gelap mencipta bayangan memanjang pada tubuh rendah.

10 Ubah suai Jangan takut untuk ubah suai pakaian supaya bersesuaian saiz tubuh anda.Memendekkan atau memanjangkan boleh menampakkan ia padan dengan tubuh. Itu tip utama bagi pemilik tubuh rendah.

11 Elakkan tas tangan besar Pemilihan aksesori yang tepat boleh memberikan impak besar kepada keseluruhan penampilan.Bagaimanapun, gadis bertubuh rendah kena menggayakan beg kecil kerana beg besar boleh menyebabkan anda nampak lagi rendah.

12 Pakai garis menegak Sekian lama kita mendengar pakar fesyen berkata yang garis melintang menampakkan tubuh lebar dan gemuk. Jadi, berdasarkan garis panduan itu, tentunya garis menegak memberikan efek sebaliknya.  Tidak perlulah semuanya bergaris, kerana satu garis menegak juga memberikan efek sama.

13 Pilih seluar yang betul Seluar bercorak menjadi kegilaan ketika ini. Anda juga boleh tapi elakkan memakai corak yang besar dan sebaiknya pilih jalur atau motif memanjang ke bawah.

14 Kasut leper bertumit Walaupun tumit yang rendah tapi ia membantu menampakkan tubuh anda tinggi. Ini alternatif terbaik untuk mereka yang gemar memakai kasut leper.

15 Elakkan kasut dengan tali di pergelangan kaki (ankle straps) Tali itu boleh memotong ilusi kaki menyebabkan ia tampak pendek.

16 Bentuk leher baju Bentuk V atau U, itu adalah bentuk leher baju yang dapat memberikan ilusi tinggi kepada gadis rendah dan kecil. Ia lebih baik berbanding baju berleher tinggi dan berkolar.

17 Yakin Tidak kira sama ada rendah atau tinggi, tetap kelihatan hebat dengan gaya dan diri anda sendiri. Paling penting dalam bergaya adalah keyakinan.

Sumber: Berita Harian - Famili - Oleh Siti Nur Almizan Aripin

No comments: