Tuesday, June 4, 2013

10 destinasi pilihan cuti sekolah

Cuti sekolah datang lagi dan ibu bapa turut mengambil kesempatan bercuti bagi menghabiskan masa bersama anak-anak. Soalnya, ke mana mahu di tuju sempena cuti sekolah kali ini.

Sebenarnya, bercuti bersama anggota keluarga tidak semestinya pada musim cuti sekolah. Cuti hujung minggu atau cuti umum juga masa sesuai untuk bercuti.

Isi masa lapang

Cuma cuti sekolah mungkin masanya lebih panjang. Ramai yang buntu tidak tahu bagaimana cara yang sesuai untuk mengisi masa lapang sepanjang cuti sekolah ini.

Justeru, KEMBARA minggu ini mencadangkan beberapa destinasi yang sesuai untuk cuti sekolah.

1 Taman Tema Lost World of Tambun, Ipoh, Perak

Sedikit kelainan di bawakan taman tema ini kerana lokasinya yang sedikit jauh dari Lembah Klang. Selain itu, ia menawarkan percutian sambil bermain air di taman tema air yang turut menyajikan pengalaman melawat mini zoo. Rasai pelbagai aktiviti seperti Adventure River, Cliff Racer serta Kids Exploratory untuk kanak-kanak. Kawasan berpasir pantai dan Wave Pool juga disediakan. Bagi pencinta haiwan, lawati Petting Zoo untuk membelai haiwan di dalamnya.

2 Pulau Langkawi, Kedah

Langkawi yang terkenal dengan sejarah dan legendanya. Ibu bapa boleh mengambil peluang membeli-belah pada harga yang rendah kerana tiada cukai dikenakan jika anda menetap sekurang-kurangnya 4 hari. Antara lokasi yang wajib dikunjungi adalah Kereta Kabel Langkawi, Langkawi Oriental Village, Kota Mahsuri, Galeria Perdana, Underwater World Langkawi, Langkawi Wildlife Park, Taman Buaya, Kilim Geoforest Park dan Laman Padi. Rasai juga pengalaman mengikuti `Duck Tour' menikmati keindahan alam semula jadi serta laut Langkawi.

3 Pulau Perhentian, Terengganu

Kunjungi Pulau Perhentian terkenal dengan pantainya yang bersih berpasir putih dan air yang sangat jernih. Untuk penginapan tiada masalah kerana Pulau Perhentian Besar menempatkan penginapan yang lebih mahal manakala di Pulau Perhentian Kecil banyak chalet murah. Pengunjung juga boleh bertukar-tukar tempat bersantai antara kedua pulau dengan teksi air. Antara aktiviti popular adalah meredah hutan, melawat program pemeliharaan penyu, berkhemah, berkayak dan menyelam.

4 Taman Negara, Pahang

Mungkin sedikit lasak untuk percutian keluarga. Namun, apa salahnya mencuba jika anak-anak sudah remaja dan pandai berdikari menguruskan diri sendiri. Terdapat lebih 30 tempat menarik untuk melakukan pelbagai aktiviti perkhemahan selain mendekatkan diri dengan flora dan fauna. Antara aktiviti wajib merasai `canopy walk' sepanjang 510 meter dan 45 meter tinggi dari aras tanah dan melawat serta bermalam di gua pilihan . Boleh juga mencabar daya tahan diri dengan meredah hutan di waktu siang ataupun malam. Jangan lepaskan peluang memancing atau bersantai dengan pelayaran bot di sungai.

5 Cameron Highlands, Pahang

Jika menuju ke utara, apa kata singgah ke Cameron Highlands. Ini kerana untuk ke sana perlu melalui Simpang Pulai atau Tapah, Perak selain jalan biasa daripada Lipis di Pahang. Destinasi ini sesuai untuk mereka yang sukakan percutian dikelilingi kehijauan alam serta suasana ladang segar. Selain sayuran dan buah-buahan, jangan lupa membeli bungabunga segar. Juga boleh melawat ke ladang teh sambil itu menikmati teh pelbagai perisa. Tarikan lain termasuk ladang sayur, strawberi, ladang bunga, ladang lebah dan muzium.

6 Taiping, Perak

Menariknya, bandar yang dilabelkan bandar orang pencen ini mempunyai tiga tarikan utama iaitu zoo, muzium dan keindahan alam semula jadinya. Tinggalan sejarah perlombongan juga boleh dilihat di bandar ini. Zoo Taiping adalah acara wajib ke Taiping. Menariknya zoo ini turut menyediakan Safari Malam - melawat zoo pada malam hari. Jangan lepaskan peluang melawat Muzium Perak iaitu muzium tertua di Malaysia. Taman Paya Bakau Matang yang berusia lebih 110 tahun pula menjadi tumpuan pencinta alam kerana kepelbagaian spesies tumbuhan dan keindahan tasiknya.

7 Georgetown, Pulau Pinang

Satu lagi destinasi wajib jika ke utara adalah bandar bersejarah Georgetown yang masih mengekalkan bangunan lama. Tarikan bandar ini adalah Muzium Perang, Masjid Kapitan Keling, Tokong Ular, Fort Cornwallis, Pasar Chowrasta, Street Art, Pantai Batu Ferenggi, Padang Kota Lama dan Rumah P. Ramlee. Tidak lengkap lawatan ke Georgetown jika tidak merasai makanannya terutama nasi kandar, cendol dan rojak.

8 Kota Kinabalu, Sabah

Sekali-sekala apa kata rancang percutian ke Kota Kinabalu kerana kini untuk terbang ke sana tiada masalah dengan adanya beberapa syarikat penerbangan tambah murah. Terlalu banyak tempat menarik di Sabah, namun Kota Kinabalu sendiri sudah cukup tarikan dan aktiviti yang boleh dilakukan. Antaranya melawat Taman Marin Tunku Abdul Rahman untuk aktiviti pantai serta menyelam. Pergi ke Kundasang melihat Gunung Kinabalu atau melawat Taman Kinabalu yang menempatkan kolam air panas dan `canopy walk' selain berpeluang melihat pelbagai spesies flora dan fauna yang pelik lagi menarik.

9 Miri, Sarawak

Percutian ke Miri sesuai untuk mereka yang sukakan sejarah dan arkeologi. Di sinilah terletaknya Taman Negara Mulu yang diiktiraf sebagai antara `Warisan Dunia' UNESCO. Di Miri juga boleh pergi ke Taman Negara Niah kawasan penempatan manusia lebih 40,000 tahun dulu. Selain aktiviti berkhemah dan meneroka gua, Miri turut menawarkan percutian pantai dan menyelam. Aktiviti menyelam di Miri boleh dilakukan di Taman Negara Karang Sibuti. Selain itu boleh juga merasai mandi lumpur gunung berapi di Kampung Meritam, serta melihat kepelbagaian suku kaum Sarawak di pekan Marudi.

10 Kuala Lumpur dan Putrajaya

Lawati tinggalan sejarah, pusat interatif pendidikan, taman tema, taman bunga hingga tarikan beli-belah di pusat beli belah seperti Suria KLCC dan Pavillion. Juga boleh Petrosains, Aquaria, Taman Tema Cosmo, Menara Kuala Lumpur, Pusat Sains Nasional, Taman Burung, Taman Tasik, Planetarium dan Muzium TUDM di Kuala Lumpur. Landskap bandar raya Putrajaya pula cukup mengagumkan ditambah dengan tarikan seperti Taman Wetland, Tasik Putrajaya, Taman Warisan Pertanian, Taman Equestrian, Challenge Park dan pusat beli-belah Alamanda.

Sumber: Berita Minggu - Kembara 

No comments: