Tuesday, April 2, 2013

Menuntut Wang Simpanan Ahli KWSP Yang Meninggal Dunia




Kematian adalah perkara yang menyayat hati. Walau bagaimanapun, ahli keluarga perlu meneruskan kehidupan sungguhpun sukar untuk melalui detik duka ini. Bagi membantu ahli keluarga yang masih hidup, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja telah memperkenal Pengeluaran Kematian untuk membolehkan simpanan ahli KWSP dikeluarkan oleh penama ataupun waris terdekat sekiranya ahli meninggal dunia.

Siapakah yang layak untuk memohon pengeluaran ini sekiranya ahli meninggal dunia?

Sekiranya ahli telah membuat penamaan semasa beliau masih hidup, penama yang telah dinamakan merupakan individu yang layak bagi memohon pengeluaran ini dengan syarat penama kepada ahli itu mesti berumur tidak kurang daripada 18 tahun.

Terdapat juga kes yang melibatkan ahli meninggal dunia tanpa membuat penamaan. Sekiranya ini berlaku, waris terdekat ataupun Pentadbir Pusaka ahli adalah layak untuk memohon bagi mengeluarkan simpanan ahli KWSP. Bagaimanapun, KWSP menyeru agar ahli membuat penamaan terhadap simpanan KWSP mereka bagi memastikan simpanan tersebut dibayar kepada waris yang benarbenar layak.

Berapakah jumlah yang boleh dikeluarkan?

Semua simpanan ahli KWSP yang meninggal dunia boleh dikeluarkan.

Apa akan terjadi sekiranya penama berumur kurang daripada 18 tahun?

KWSP hanya akan membuat pembayaran kepada penama apabila penama mencecah umur 18 tahun. Bagaimanapun, penjaga penama yang sah boleh memohon untuk mengeluarkan simpanan ahli bagi membiayai kehidupan penama. Kelulusan adalah tertakluk kepada budi bicara KWSP yang memerlukan penjaga membuktikan bahawa beliau adalah penjaga yang sah.

Bagaimana situasinya bagi ahli yang beragama islam?

Jika ahli beragama Islam, penama hanya bertindak sebagai pentadbir (Wasi) yang bertanggungjawab untuk mengagihkan simpanan ahli KWSP yang meninggal dunia mengikut Hukum Faraid.

Sekiranya penamaan telah dibuat, bagaimanakah prosedur untuk membuat Pengeluaran Kematian?

Penamaan yang dibuat dapat menjamin kelancaran proses pengeluaran. Penama boleh memohon Pengeluaran Kematian dengan hanya mengisi Borang 9KM KWSP (AHL) dan mengemukakannya beserta dokumen-dokumen berikut:

* Sijil Kematian Ahli

* Kad Pengenalan waris/pemohon

* Buku Bank Akaun Simpanan Peribadi ataupun salinan asal Penyata Akaun Simpanan Semasa.

Dokumen sokongan lain yang diperlukan apabila memohon ialah:

* Borang 22 KWSP perlu dilengkapkan oleh penjaga kepada penama yang belum mencecah usia 18 tahun. Penjaga juga perlu mengemukakan satu salinan Sijil Surat Beranak penama tersebut.

* Borang 10A KWSP perlu dilengkapkan oleh waris terdekat penama yang meninggal dunia selepas kematian ahli. Pemohon juga diperlukan mengemukakan sijil kematian penama.

KWSP hanya akan membuat pembayaran simpanan ahli kepada penama dalam jangka masa dua minggu dengan syarat borang dan dokumen yang diserahkan adalah lengkap.

Apa akan terjadi kepada simpanan KWSP ahli sekiranya ahli gagal untuk membuat Penamaan?

Tanpa penamaan, proses untuk mengeluarkan simpanan ahli KWSP akan pasti menjadi rumit dan perlu melalui beberapa proses yang membebankan. Sekiranya tiada Penamaan dibuat, KWSP akan membuat pembayaran kepada waris terdekat ahli yang difikirkan sebagai individu yang berhak untuk menerima simpanan ahli KWSP. Waris perlu mengemukakan dokumen-dokumen tersebut apabila memohon untuk Pengeluaran Kematian ahli.

* Sijil Kematian Ahli

* Kad Pengenalan pemohon

* Surat Kuasa Mentadbir atau Surat Probet atau Perintah Pembahagian

* Salinan dokumen yang menyatakan dan mengesahkan ikatan pemohon dengan ahli

* Sijil Perkahwinan

* Sijil Kelahiran Anak (sekiranya ada)

* Buku Akaun Simpanan Peribadi atau salinan asal Penyata Akaun Simpanan Semasa

Sumber: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

No comments: