Thursday, February 14, 2013

Rancang bajet percutian



DIBELENGGU masalah kewangan selepas pulang daripada bercuti sering berlaku terutama mereka yang berbelanja lebih daripada kemampuan.

Situasi itu merosakkan tujuan asal percutian iaitu untuk merehatkan diri dan minda tetapi dibelenggu pula dengan masalah kewangan selepas pulang ke tanah air.

Sebanyak manapun wang yang dibawa, ia pasti tidak mencukupi jika tiada perancangan terperinci dalam perbelanjaan.

Justeru, tip melancong kali ini mungkin dapat membantu supaya anda boleh bercuti dengan tenang tanpa di belenggu masalah kewangan.

MENABUNG

Ke manapun juga anda ingin pergi atau sebelum merancang untuk bercuti, mulalah menabung dengan mengasingkan duit ke tabung khas.

Dengan wang yang disimpan itu, ia dapat membantu meringankan bebanan ketika melancong, sekali gus menjadikan percutian anda lebih bermakna.

PERANCANGAN TELITI

Pemilihan destinasi percutian sangat penting. Justeru, pilihlah negara, bandar atau lokasi peranginan yang sesuai ketika tempoh percutian itu.

Untuk menjimatkan masa, tenaga dan perbelanjaan, rancang lokasi yang menarik untuk dikunjungi sebaik mungkin.

Anda mungkin boleh berkunjung ke tiga atau empat tempat menarik yang berdekatan dalam masa sehari.

Dengan perancangan yang teliti itu, anda boleh mengetahui jenis pengangkutan ke lokasi pilihan, bayaran yang dikenakan dan sudah pasti masa yang berbaki itu membolehkan anda merancang sesuatu yang lain pula.

PERBELANJAAN HARIAN

Sepanjang bercuti, cuba buat bajet harian termasuk kos penginapan, makan, kenderaan di tempat yang dituju dan oleh-oleh yang akan dibeli untuk diri sendiri atau keluarga.

Dengan adanya bajet itu, anda dapat menjimatkan wang, sekali gus tidak dibelenggu masalah kewangan selepas bercuti dengan kebijaksanaan anda menguruskan kewangan.

SEDIAKAN PETA

Jangan lupa membeli peta sebelum bercuti atau ketika sampai di destinasi. Ada yang berpendapat melihat peta sangat merimaskan dan ada kalanya boleh menyebabkan anda tersesat.

Namun dengan adanya peta, ia memudahkan anda dalam banyak hal terutama melihat senarai pengangkutan yang boleh digunakan sepanjang berada di destinasi ketika bercuti.

GUNAKAN WANG TUNAI

Membawa wang tunai dengan jumlah yang banyak ketika melancong sememangnya tidak digalakkan bagi mengelakkan daripada sebarang masalah.

Walau bagaimanapun, penggunaan wang tunai untuk berbelanja lebih baik terutama ketika bercuti di luar negara.

Ini kerana, anda akan dikenakan caj perkhidmatan atau bunga yang tinggi apabila menggunakan kad kredit.

DUIT KECEMASAN

Malang tidak berbau. Pelbagai hal boleh terjadi ketika bercuti tanpa dirancang seperti demam, kecederaan kecil dan sebagainya.

Justeru, simpan 25 peratus daripada perbelanjaan bercuti untuk perkara kecemasan. Peruntukan itu mungkin boleh disimpan dengan mengurangkan bayaran terlebih berat bagasi atau perbelanjaan berlebihan ketika membelibelah ataupun membeli oleh-oleh.

MANFAATKAN SARAPAN PAGI

Setiap hotel akan menyediakan sarapan pagi secara percuma. Oleh itu, manfaatkan sarapan pagi itu sebaiknya dan makanlah sehingga kenyang terutama ketika bercuti di Eropah.

Ini kerana, harga makanan di sana mahal selain sukar untuk mendapatkan makanan halal bagi yang beragama Islam.

BUAH TANGAN MURAH

Di mana juga kita melancong, pelbagai barangan yang bersesuaian untuk dijadikan oleh-oleh. Untuk lebih menjimatkan, belilah oleh-oleh dengan harga yang lebih murah dan semua itu boleh didapati di mana-mana tempat terutama di pasar malam seperti di Pasar Malam Shilin, Taipei, Taiwan.

Bagi menjimatkan perbelanjaan, beli oleh-oleh seperlunya.

Catatkan semua nama ahli keluarga atau rakan yang akan dibelikan oleh-oleh itu. Senaraikan juga barang yang akan dibeli supaya anda tidak membeli oleh-oleh secara berlebihan.

Sumber:  Harian Metro - Variasi - Oleh Suliati Asri

No comments: