Thursday, December 6, 2012

Tukar penyerap hentak setiap lima tahun



KEDUDUKAN tersembunyi menyebabkan penyerap hentak atau lebih dikenali `shock absorber' kerap diabaikan sebagai sebahagian sistem suspensi.

Biar pun tempoh hayatnya antara lima hingga 10 tahun, penyerap hentak sukar diketahui sama ada mengalami kerosakan atau tidak.

Apabila ia diganti baru barulah anda dapat mengetahui bahawa yang sebelum ini sebenarnya sudah rosak.

Kereta lebih stabil ketika mengambil selekoh dan anda pula dapat rasakan keselesaan dalam perjalanan selepas menukar penyerap hentak baru.

Penyerap hentak yang tidak berfungsi dengan sempurna boleh mengakibatkan kenderaan hilang imbangan ketika melalui jalan kurang elok dan boleh membahayakan ketika mengambil selekoh.

Cara mudah untuk menguji sama ada penyerap hentak berfungsi atau sebaliknya ialah dengan menekan bahagian depan dan belakang kereta.

Sekiranya badan kereta melantun lebih sekali seperti spring, ini bermakna penyerap hentak sudah tidak berfungsi dengan baik dan menukarkannya dengan yang baru adalah paling selamat.

Selain memeriksa keadaan penyerap hentak, anda perlu juga memeriksa setiap bahagian yang menyambung kepada hujung kedua-dua bahagian penyerap hentak sekurang-kurangnya dua kali setahun supaya sebarang kerosakan dapat dikesan lebih awal.

Langkah itu dapat mengelak berlakunya kemalangan yang tidak diingini ketika kereta dipandu laju dan mengambil selekoh tajam.

Terdapat pelbagai jenama penyerap hentak dalam pasaran masa kini dan terpulanglah untuk memilih jenama yang disukai asalkan ia sesuai dengan kereta anda.

Mekanik boleh membantu mengesyorkan jenama paling sesuai. Biarlah harganya mahal sedikit asalkan berguna bagi kereta anda.

Penyerap hentak daripada kualiti yang baik memberi keselesaan bagi perjalanan malah ia mungkin jadi penyelamat di waktu tertentu.

Penyerap hentak biasanya boleh tahan hingga 10 tahun tetapi dinasihatkan menukarnya setiap lima tahun meskipun diketahui tiada kerosakan besar atau kebocoran (bagi penyerap hentak jenis minyak).

Pengikat nat dan bol serta getah pelapik penyerap hentak berkenaan juga perlu diperiksa.

Nat longgar mesti diketatkan sementara getah yang pecah atau terlalu keras perlu ditukar.

Jangan sekali-kali mengalas dengan pelapik getah sementara kerana ia boleh menyebabkan gegaran kuat ketika pemanduan bahkan kereta juga boleh rosak.

Sumber: Harian Metro - Tue, Dec 4, 2012 - Variasi 

No comments: