My Followers

Usah benci makan sayur


KHASIAT sayur-sayuran memang diakui dapat membantu mengekalkan kesihatan tubuh badan. Namun, masih ramai yang membenci sumber penting ini untuk diamalkan dalam diet seharian.

Alasannya, pahit, pelik dan tidak enak lantas mereka lebih rela mengasingkannya daripada hidangan sebelum hilang selera. Apapun, mereka harus menerima hakikat bahawa tubuh badan sememangnya memerlukan sayur untuk hidup sihat.

Jenis sayuran dan khasiatnya

Sayuran boleh dikelaskan ke dalam kumpulan atau keluarga biologi yang dibahagikan kepada enam iaitu menjalar, akar, cruciferous, berdaun hijau, batang dan bebawang.

Sayuran menjalar seperti timun, labu dan zucchini enak dinikmati apabila ia masih muda dan biasanya dimakan begitu saja atau dimasak. Ia mempunyai rasa manis dan pedas apabila dimakan.

Misalnya, zucchini ialah sumber serat yang baik bagi membantu mengurangkan sembelit dan memberi perlindungan daripada kanser kolon.

Zucchini mengandungi folat yang penting dalam pembahagian sel dan sintesis asid deoksiribonukleik (DNA). Selain itu, ia membantu mencegah kecacatan pada tiub saraf janin jika diambil sebelum mengandung.

Labu pula ialah sumber vitamin C dan A selain mengandungi flavanoid yang membantu melancarkan peredaran darah ke seluruh tubuh serta mencegah terjadinya penyumbatan pembuluh darah.

Ia berfungsi sebagai antioksidan dan membantu mengurangkan rasa sakit jika terjadi pendarahan atau bengkak pada tubuh badan. Biasanya, labu direbus dan ada juga yang gemar menjadikannya pencuci mulut.

Sayuran daripada keluarga akar seperti kentang, keladi dan keledek berbeza daripada kepekatan dan keseimbangan antara gula, kanji dan karbohidrat lain.

Jenis sayuran berkanji ini biasanya menjadi makanan ruji sebagai sumber karbohidrat di sesetengah negara seperti Afrika Barat atau kawasan tropika yang biasanya direbus dan dilenyek untuk membuat hidangan dinamakan fufu atau poi.

Kategori sayuran daripada keluarga cruciferous pula seperti kubis, brokoli serta kubis bunga berpotensi menghalang pembentukan hormon kelenjar tiroid di kalangan mereka yang kekurangan iodin menerusi kandungan goitrogen.

Jika dimasak lebih 30 minit tanpa henti, ia boleh mengurangkan jumlah sebatian goitrogen yang terkandung di dalam sumber berkenaan secara semula jadi.

Misalnya, sebanyak satu pertiga kandungan goitrogen akan dinyahaktifkan apabila brokoli direbus justeru, bagi memastikan sumber khasiatnya kekal di dalam sajian yang dimakan, ia perlu dimasak secara stim.

Sayuran hijau seperti kubis daun, bayam dan salad mengandungi zeaxantin. Bayam mengandungi vitamin C, zat besi, kalsium dan serat.

Kandungan asid folik dan serat yang tinggi baik untuk mengekalkan kesihatan. Bayam kaya dengan zat mineral seperti kalsium, zat besi dan kalium serta beta karotena.

Bayam dipercayai memberi khasiat kepada kanak-kanak, ibu yang menyusu dan mereka yang menghidap demam panas, kurang darah, mengalami pendarahan dan masalah ginjal.

Bayam tua yang direbus dan diminum dapat membantu memperbaiki kualiti penglihatan dan memperkuatkan fungsi hati.

Sayur berbatang seperti asparagus dan saderi mempunyai khasiat tersendiri. Misalnya, asparagus ialah sumber sayuran yang rendah kalori dan natrium.

Ia juga sumber vitamin B6, kalsium, magnesium dan zink yang baik selain mengandungi serat, protein, vitamin A, vitamin C, vitamin E, asid folik, besi, fosforus dan kalium.

Selain itu, asparagus adalah sumber mineral yang baik untuk membantu meningkatkan keupayaan insulin yang membawa glukosa dari sel darah.

Biasanya, asparagus dijadikan pembuka selera atau ulam. Ia boleh dihidang melalui masakan Asia yang digoreng bersama makanan laut, dipanggang atau dimakan mentah dan dicampur ke dalam hidangan salad.

Bebawang seperti bawang, bawang merah dan bawang putih juga mengandungi khasiat tersendiri dalam menjaga kesihatan tubuh badan.

Misalnya, bawang merah mengandungi vitamin C, potassium, serat, asid folik, kalsium, zat besi dan protein yang tinggi.

Penyelidikan mengenai khasiat bawang merah kepada kesihatan mendapati, ia mengandungi dua sebatian utama iaitu sulfur seperti allyl propyl disulfide dan flavonoid. Flavonoid dipercayai dapat membantu mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung dan kencing manis.

Memakan bawang merah setiap hari juga boleh membantu pertumbuhan tisu tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis selain kandungan sulfur yang boleh membantu kulit kelihatan muda.

Perbezaan warna sayuran

Satu cara mudah mengklasifikasikan sayuran berwarna adalah melalui warnanya. Warna pada sayur-sayuran mempunyai manfaat tertentu untuk kesihatan kerana bahan kimia di dalamnya yang menghasilkan warna terbabit.

Sayuran putih mengandungi sulforaphane iaitu sebatian organosulfur yang boleh menjadi antikanser yang didapati secara semula jadi daripada sumber brokoli, kubis Brussel atau kubis.

Bagi kubis merah dan biru serta sayuran berwarna ungu seperti terung, ia mengandungi sumber antosianin yang membantu melindungi tubuh manusia daripada kanser, memperbaiki fungsi minda dan membantu menjaga jantung yang sihat.

Jangan takut untuk menikmati sayur-sayuran berwarna merah seperti tomato kerana ia mengandungi sumber lycopene yang boleh membantu mengurangkan risiko mendapat kanser paru-paru, prostat dan perut.

Sumber: Harian Metro - Mon, Nov 26, 2012 - Oleh Hajahfarhana Tarmudi 
Post a Comment