BAJET untuk penginapan dan pengangkutan adalah antara yang dititikberatkan ketika membuat bajet sebelum melancong.
Namun, ramai tidak menyedari bajet untuk makanan sepanjang melancong juga perlu disediakan.
Ini kerana, tanpa bajet untuk makanan, ia boleh menjejaskan perbelanjaan anda sepanjang bercuti.
Jika menginap di hotel, sarapan pagi sudah tersedia dan anda hanya perlu mengeluarkan belanja untuk makan tengah hari dan makan malam.
Ke mana pun destinasi yang dituju, berasa keenakan hidangan tempatan adalah sesuatu yang tidak dapat ditolak dan tanpa disedari perbelanjaan anda sudah terjejas.
Oleh itu, tip melancong kali ini mungkin dapat membantu anda menjimatkan perbelanjaan makan selama bercuti tetapi tetap dapat menikmati hidangan yang enak di mana pun anda bercuti.
* Tetapkan Harga
Tetapkan perbelanjaan yang anda keluarkan. Anda boleh menetapkan perbelanjaan makan anda setiap hari.
Sebagai contoh, RM50 sepanjang hari. Dengan bersarapan di hotel, makan tengah hari di gerai makan anda sudah boleh makan di restoran mewah untuk makan malam asal bajet tidak melebihi apa yang diperuntukkan.
Sediakan juga bajet untuk membeli makanan ringan di antara sarapan pagi dengan makan tengah hari dan makan malam.
* Wang Tunai
Sediakan wang tunai sesuai dengan bajet harian bagi mengatur kewangan anda setiap hari untuk makan.
Ketahui harga makanan yang ingin di nikmati. Adalah lebih baik anda mengetahui purata harga makanan dan minuman di tempat yang anda tuju.
Dengan itu, anda boleh memperuntukkan bajet makan dan minum seharian tanpa mengganggu bajet untuk perkara lain.
* Minuman
Pastikan juga anda punya bajet untuk minuman selama bercuti. Jika anda penggemar kopi, sudah pasti minum kopi di mana saja anda berada menjadi keperluan.
Selain menikmati kopi di restoran atau kafé di sekitar destinasi percutian anda, membawa kopi dalam pakej adalah antara jalan terbaik untuk anda penggemar kopi.
Selain dapat menikmati kopi kegemaran anda, perbelanjaan anda juga sudah boleh dijimatkan.
* Bekal
Kita sedia maklum makanan di lapangan terbang sedikit mahal berbanding di luar. Begitu juga dengan harga makanan di dalam penerbangan.
Penerbangan tambang rendah biasanya tidak menyediakan makanan di dalam penerbangan dan anda harus membeli jika ingin makan.
Oleh itu, sebelum berangkat ke destinasi yang dituju, adalah lebih baik anda membeli bekalan makanan untuk menjadi bekalan anda sementara menunggu penerbangan, di dalam pesawat dan mungkin juga bekalan sepanjang berada di destinasi percutian.
Secara tidak langsung, anda dapat menjimatkan belanja anda dan tidak perlu membeli makanan yang mahal.
* Makan Mewah?
Tidak salah menikmati hidangan yang enak dengan harga yang sedikit mahal ketika bercuti. Lebih-lebih bercuti bersama insan tersayang.
Dengan suasana restoran mewah yang lebih romantik, ia pasti meninggalkan kenangan indah buat anda dan pasangan.
Namun, bajet untuk makan perlu diteliti. Sekali dua itu mungkin tetapi bukannya setiap hari.
* Keperluan yang tidak diduga
Tambahkan 10 peratus daripada jumlah bajet anda untuk makanan.
Tambahan ini untuk keperluan membeli makanan jika ada masalah yang tidak dapat dielakkan.
Sebagai contoh, anda bangun lambat dan tidak sempat untuk bersarapan di hotel. Selain itu, anda juga mungkin terpaksa makan malam di restoran mewah tetapi bajet yang diperuntukkan tidak mencukupi.
Sumber: Harian Metro - Thu, Dec 13, 2012 - Variasi - Oleh Suliati Asri
No comments:
Post a Comment