Monday, October 15, 2012

Mahu Bebas Cengkaman Hutang? Ini Caranya...


"Orang yang berhutang sebenarnya menjadi hamba" - Ahli falsafah kurun ke-19 Amerika Syarikat, Ralph Waldo Emerson.

Elakkan Hutang Remeh

- Jangan jadikan rakan-rakan anda bank untuk mendapatkan barangan yang dihajati, segeralah berubah. Perbuatan gemar meminjam seterusnya berhutang hanya akan menjerat anda kepada masalah kewangan yang lebih serius. Jika tidak mampu melangsaikannya, anda bukan sahaja kehilangan rakan, malahan tiada siapa lagi yang akan membantu anda.

Elak Hutang - Jadikan hutang sebagai pilihan terakhir anda.

Jika menginginkan sesuatu perkara, cuba cari ikhtiar atau jalan terbaik menjadi sumber kewangan. Namun, jika sumber kewangan yang sedia ada tidak mencukupi, anda mungkin boleh mempertimbangkan semula untuk berhutang.

Bagaimanapun, pilih sumber hutang yang terbaik dan tidak mempunyai kadar faedah yang tinggi.

Tangguhkan Berhutang - Sebelum menandatangani surat perjanjian pinjaman, fikir dengan mendalam. Cuba bayangkan, apa yang akan berlaku pada diri anda dan keluarga sekiranya hutang ini tidak mampu anda langsaikan.

Anda mungkin akan kehilangan rumah, kereta, harta benda dan berkemungkinan akan diisytiharkan muflis. Barangan anda terpaksa digadaikan demi melangsaikan hutang. Jika semua ini anda fikirkan, pasti anda akan menangguhkan pengambilan hutang tersebut.

Elakkan Kad Kredit - Fikirkan secara mendalam jika anda berhasrat untuk memilki kad kredit. Adakah anda benar-benar memerlukannya, apakah tujuannya, adakah anda seorang yang boros, mampukah anda berdisiplin dan bolehkah anda menggunakanya secara bijak?

Jika jawapannya negatif, maka lupakan sahaja niat anda untuk memilki kad kredit. Lebih baik berbelanja secara tunai daripada berhutang menerusi kad kredit.

Tunai Lebih Baik - Tidak perlu rasanya untuk menggunakan kad kredit jika pembelian tersebut dalam jumlah kecil atau sederhana, misalnya membeli barangan keperluan harian.

Jika berhasrat membeli barangan kelengkapan rumah, jangan beli secara serentak jika anda tidak berkemampuan. Berbelanja mengikut tahap kemampuan. Kemampuan membeli seseorang adalah setakat jumlah tunai yang sanggup dibayar.

Menabung - Jangan tergesa-gesa untuk mendapatkan barangan impian anda. Jika anda berhajat untuk memiliki sesuatu barangan seperti kamera SLR tetapi masih belum mempunyai kewangan yang cukup, cubalah untuk bersabar.

Kumpulkan kewangan anda secara bulanan misalnya RM300 sebulan, sehinggalah jumlah tersebut mencukupi untuk membeli kamera yang anda idamkan. Masalah hutang pasti tidak akan timbul.

Oleh Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com

No comments: