Sunday, October 14, 2012

Dana kecemasan



Anda mungkin pernah mendengar pepatah ini, "Apabila hujan, ia turun dengan lebat!" Ini adalah benar, lebih-lebih lagi dalam masalah kewangan kerana kesan gandaan. Oleh itu, kita dinasihatkan agar menyediakan satu Dana Kecemasan kita sendiri sebelum tsunami kewangan melanda!

Apakah yang dimaksudkan "Dana Kecemasan"?

"Dana kecemasan" biasanya adalah satu dana yang anda cipta untuk membayar perbelanjaan diluar jangkaan. Sebagai contoh:

* Tayar-tayar kereta anda perlu ditukar dengan yang baru.

* Rumah anda penuh dengan anai-anai dan memerlukan rawatan.

* Anak anda mempunyai masalah apendiks dan memerlukan pembedahan.

* Gigi geraham anda perlu dicabut.

* Tiba-tiba syarikat anda bankrap.

Senarai ini boleh berterusan panjangnya dan anda mungkin tidak mengalami hanya satu daripadanya, tetapi kesemuanya serentak! Itulah masanya "hujan lebat"!

Mengapa Saya Perlu Ada "Dana Kecemasan"?

Sepertimana yang dikatakan oleh Forrest Gump dalam filemnya "Life is like a box of chocolates... you'll never know what you'll get!" ("Hidup ini seperti sekotak coklat... anda tidak akan tahu apa yang anda akan dapat!") Kehidupan setiap orang mempunyai turun naiknya, hari cerah dan hari hujan. Apabila anda menyimpan untuk waktu kecemasan, anda melindungi diri anda dan keluarga anda. Anda bersedia untuk situasi-situasi yang tidak diduga, pasa waktu itulah anda memerlukan lonjakan tambahan "Vitamin M" (duit kecemasan).

Amat mudah untuk terperangkap dalam hutang (lebih-lebih lagi hutang kad kredit dan "Ah Long"), jika anda tidak mempunyai duit simpanan. Anda tetap mahu membayar bil dan memastikan hutang kad kredit sentiasa rendah walaupun ketika sesuatu yang tidak diduga berlaku ke atas anda.

Oleh kerana tiada siapa yang tahu masa hadapan, semua orang memerlukan dana kecemasan.

Bagaimana saya boleh menyimpan, sedangkan saya tidak mempunyai banyak duit?

Anda mungkin berfikir yang tiada baki duit yang dapat disimpan selepas membayar semua bil. Ramai orang, tidak kira berapa banyak duit yang mereka ada, mengatakan mereka tidak dapat menyimpan. Itu adalah kerana perbelanjaan biasanya meningkat sehingga ia menggunakan semua duit lebihan anda.

Namun, hanya anda sahaja yang boleh mengubah keadaan ini. Begini caranya:

* Bayar diri anda sendiri terlebih dahulu.

* Cipta satu "akaun simpanan automatik" yang membolehkan anda mengeluarkannya ketika kecemasan.

* Turunkan perbelanjaan anda dengan hidup secara bijak.

* Tetapkan beberapa syarat untuk menggunakan duit, iaitu syarat yang benar-benar ketat!

* Cuba sehingga anda berjaya tetapi jangan putusa asa!!.

Apakah yang dimaksudkan "Bayar Diri Anda Sendiri Terlebih Dahulu"? Pada kebanyakan masa apabila kita mendapat gaji, kita mula membayar untuk itu dan ini, dan kepada orang lain terlebih dahulu, hanya selepas itu kita menyimpan bakinya. Ini adalah terbalik. Ia adalah duit anda dan anda berhak menyimpan sebahagiannya untuk diri dan keluarga anda.

Jangan berputusa asa jika anda hanya dapat menyimpan sedikit. Menyimpan satu Ringgit sehari atau RM10 seminggu, mungkin tidak banyak tetapi dihujung tahun, anda akan mempunyai RM365 atau RM520. Seperti pepatah Melayu ada mengatakan,"Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit!" Adalah lebih baik untuk menyimpan sedikit setiap minggu daripada cuba menyimpan dengan banyak dan gagal.

Jadi, kuncinya ialah menjadikan tabiat menyimpan duit setiap kali mendapat gaji. Apabila anda menyimpan terlebih dahulu, anda akan dapat memastikan perbelanjaan mengikut baki duit yang ada. Jika anda tidak nampak duit, anda tidak berpeluang untuk membelanjakannya. Seperti yang dikatakan, "Out of sight, out of mind!" ("Apa yang tidak dapat dilihat, tiada dalam minda!")

Berapa banyak yang patut saya simpan?

Sebagai garis panduan, sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda. Walaubagaimanapun, ini bukanlah sesuatu yang dapat dilakukan selalu. Adalah lebih baik bermula dengan jumlah yang anda selesa dan secara perlahan-perlahan menuju ke arah matlamat itu. Sudah tentu jika anda boleh simpan lebih, itu adalah lebih baik.

Matlamat anda adalah untuk mencipta dana kecemasan yang cukup untuk tiga ke enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Anda boleh melakukannya dengan cuba menyimpan perbelanjaan seminggu, kemudian dua minggu dan secara perlahan bertambah kepada sebulan dan seterusnya.

Ingat: Mendapat tabiat meyimpan adalah lebih penting daripada berapa banyak yang anda simpan!
Di manakah saya patut menyimpan "Dana Kecemasan" saya?

Dana kecemasan anda patut disimpan dalam satu akaun yang senang untuk anda keluarkan dalam waktu-waktu kecemasan. Namun ia tidak patut menjadi terlalu senang untuk anda menggunakannya dengan sesuka hati anda. Anda mungkin memilih untuk membuka Akaun Simpanan dengan bank tetapi memilih untuk tidak memiliki kad ATM. Alternatifnya, anda juga boleh memilih untuk melabur sebahagian darinya ke dalam dana Amanah Saham kerajaan. Pilih dana yang memastikan keselamatan kepada kapital anda sementara memberikan pulangan yang berpatutan.

Apabila anda mendapat pendapatan, ingat untuk membayar diri anda sendiri terlebih dahulu. Cara yang mudah untuk melakukan ini ialah dengan berdaftar dengan skim potongan gaji. Anda boleh mengarahkan majikan anda atau bank anda untuk menyimpan sebahagian daripada gaji anda ke dalam akaun simpanan/amanah saham anda setiap bulan. Ingat bahawa akaun ini adalah untuk kecemasan sahaja dan seboleh yang mungkin, anda tidak akan menggunakannya untuk tujuan lain!

Bagaimana saya boleh tahu bila "Dana Kecemasan" dapat digunakan?

Keputusan ini bergantung pada situasi anda. Anda perlu memikirkan hal ini dengan lebih awal. Masih ingatkah perbincangan kita tentang menetapkan syarat? Buat beberapa syarat untuk situasi yang anda boleh gunakan duit ini, supaya anda tidak membazirkannya. Kemudian patuhi syarat-syarat anda sendiri!

Soalan-soalan berikut mungkin boleh membantu anda dalam menetapkan beberapa syarat:

* Adakah perbelanjaan ini satu Keperluan atau Kehendak?

* Adakah saya benar-benar perlu membelinya hari ini?

* Apa yang akan berlaku jika saya tidak membelanjakannya sekarang?

* Bolehkah saya mendapat pengganti yang lebih murah?

* Adakah cara lain untuk saya membayar perbelanjaan ini tanpa perlu berhutang?

* Jika saya menggunakan duit ini hari ini, bagaimana perasaan saya tentang keputusan saya ini pada bulan depan?

Sentiasa ingat bahawa ini adalah "Dana Kecemasan" anda dan jika ia bukan kecemasan, anda tidak akan menyentuhnya! Tiada alasan! - Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK)

No comments: