Saturday, October 6, 2012

Asas penting pembinaan keluarga bahagia


SETIAP pasangan suami isteri inginkan keluarga bahagia. Kebahagiaan tidak datang sendiri, tetapi perlu dicari secara bersungguh-sungguh dan berterusan. Mewujudkan keluarga bahagia amat penting kerana ia akan melahirkan masyarakat bahagia.

Antara asas ke arah pembinaan keluarga bahagia ialah:

* Beriman - Keluarga yang inginkan kebahagiaan dibentuk atas dasar ketuhanan dan ketakwaan kepada Allah. Tanpa asas ini, keluarga porak- peranda. Di sini, fungsi agama sangat penting. Niat kita perlu betul untuk mencari keredaan Allah bukan sekadar memenuhi tuntutan nafsu syahwat.

Kemantapan iman menjadi benteng kepada kejahatan serta cabaran hidup berkeluarga. Apabila beriman, terbentuklah akhlak terpuji. Iman juga dapat menentu dan menggerakkan sikap jujur iaitu mematuhi cara hidup dikehendaki Allah.

Dalam kehidupan berumah tangga, kita mungkin menghadapi gelombang atau masalah dalaman dan luaran. Dengan kekuatan iman, kita bersandar kepada Allah untuk berharap dan mengadu, dan akan wujud ikatan hati dengan Allah. Melalui ibadat solat, kita berhubung terus dengan Allah. Kerana itu, amat digalakkan solat berjemaah bersama keluarga.

Keluarga bahagia dan cemerlang adalah mereka yang mengamalkan perkara wajib seperti solat dan amalan sunat serta melakukan amalan kebajikan dan menjauhi larangannya bagi mencapai manhaj atau peringkat keredaan Allah di dunia dan akhirat. Iman akan terbit dari rasa cinta dan rindu kepada Allah.

* Bertanggungjawab dan berpengetahuan - Ibu bapa perlu memahami Islam dan ilmu keibubapaan iaitu cara mendidik anak yang berkesan supaya mereka membesar mengikut syariat Islam. Seorang isteri perlu memahami tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak, begitu juga suami sebagai pemimpin keluarga. Sebaik-baiknya setiap pasangan yang ingin berkahwin perlu membuat persediaan ilmu dan amal Islam.

Lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai perkahwinan termasuk sosial, emosi dan perhubungan. Tanpa ilmu, masing-masing akan mengalami kejutan apabila berlaku pergaduhan dan tekanan perasaan. Misalnya, apabila si isteri tertekan dan tidak dapat mengendalikan rumah tangga, si suamilah yang harus membantu menenangkan perasaan dan memberi semangat kepadanya.

Seelok-eloknya sebelum berkahwin, kenalilah pasangan seperti asal- usulnya, kesesuaian serta memahami jiwa dan tingkah laku supaya tidak terkejut apabila melihat perangainya selepas berkahwin. Kemahiran berkomunikasi juga amat penting untuk kebahagiaan keluarga. Ia boleh diibaratkan minyak yang boleh melicinkan organisasi keluarga dan ejen yang menggerakkan semua perhubungan. Komunikasi berkesan dapat mewujudkan persefahaman dan keharmonian rumah tangga.

Di samping itu, suami isteri hendaklah mempunyai pengetahuan agama dan sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan serta kefahaman mengenainya. Kita perlu menambah ilmu dan belajar untuk berjaya dalam mendidik anak- anak menjadi insan yang baik. Dalam konteks membina keluarga bahagia, perlu ada kesedaran pentingnya ilmu pengetahuan. Ibu bapa selaku ketua keluarga mempunyai peranan besar mencorakkan anak-anaknya.

Sejak bayi malah dalam kandungan lagi, sehingga remaja dan seterusnya dewasa, pendidikan perlu diberikan secara berterusan. Ibu bapa perlu menerima anak sebagai individu yang unik dan berpotensi berkembang menjadi individu sihat, berakhlak mulia, produktif, berdikari dan taat agama. Ibu bapa adalah contoh kepada anak.

Selain itu, suami isteri mestilah sentiasa mengamalkan bacaan al-Quran di dalam kehidupan seharian kerana amalan ini boleh mengukuhkan keimanan seseorang dan mendekatkan diri kepada Allah serta memberikan ketenangan kepada hati dan jiwa.

* Sekufu - Pilihlah pasangan mengikut ciri dianjurkan Islam agar dapat mewujudkan persefahaman dan keserasian menempuh kehidupan berumah tangga. Tersalah pilih mungkin menimbulkan perbalahan dan membawa kepada perceraian. Pilihan terbaik untuk diri kita adalah jalan ke arah kebahagiaan. Apabila si isteri berpangkat dan bergaji besar, manakala si suami berpendapatan kecil dan hanya memiliki motosikal, ia mungkin menimbulkan kesan negatif dari segi psikologi suami dan ego pada isteri. Oleh itu, carilah pasangan bersesuaian dengan diri kita agar tidak berlaku masalah.

Setiap masalah ada penawarnya. Masalah tidak timbul jika bertanya kepada diri, mengapa dan apa yang diharap daripada perkahwinan dan amalan menuju bahagia? Dikaji dari sudut Islam, perkahwinan bagi menjaga kesucian diri daripada perbuatan diharamkan dan mendapatkan zuriat. Ia juga satu cara mendapat pengampunan Allah, peningkatan darjah dan istiqamah. Perkahwinan adalah perjuangan melawan nafsu dan dapat melatih jiwa supaya memenuhi kewajipan terhadap keluarga, sabar dan tabah menghadapi pasangan masing- masing. Sebenarnya, perkahwinan memerlukan amalan membabitkan kedua belah pihak. Mengikut psikologi keluarga, suami isteri mahu menjaga dan mengambil berat satu sama lain, bijak mengatur kehidupan, pekerjaan, masa lapang dan hubungan seks. Pasangan mestilah tahu cara yang betul berkomunikasi menggunakan bahasa yang mudah serta disenangi. Paling penting, gunakan bahasa dan gaya yang dapat melembutkan pasangan dalam apa jua keadaan. Amalan berbual di samping bergurau-senda dapat menyuburkan lagi ikatan suami isteri.

* Saling menyayangi - Ia perlu ada pada pasangan suami isteri, selain bertimbang rasa, saling mengerti, bertolak ansur dan tolong-menolong. Islam amat menjaga ketenteraman pergaulan suami isteri bagi melayarkan bahtera penghidupan dengan lancar dan selamat. Ketenteraman adalah asas penting dalam pelbagai hal, baik dalam rumah tangga mahupun pergaulan masyarakat.

Kehidupan tidak dapat lari daripada masalah. Sebagai insan dewasa dan matang, suami isteri harus menggunakan fikiran dengan bijaksana. Mengambil tindakan terakhir tanpa menimbang perasaan kemanusiaan dan tidak mempedulikan erti kasih sayang, pasti merugikan kehidupan bersama.

Kasih sayang sebenar tidak menuntut kepuasan dan kesenangan bagi diri sendiri, sebaliknya apabila seseorang dapat memberi kepuasan dan kesenangan kepada pihak lain. Kasih sayang yang patut dipelajari ialah pengorbanan dan pengabdian diri bagi orang lain, misalnya dalam hubungan suami isteri atau ibu bapa dengan anak. Ibu bapa yang kasih sayang akan mencipta suasana rumah yang aman dan memberikan perasaan terlindung bagi anggota keluarga.

* Berkepemimpinan - Sebagai pemimpin keluarga, suami perlu menghiasi diri dengan sifat kepemimpinan sehingga dapat ditaati dan diteladani isteri dan anak-anak. Dia harus mampu memimpin dan mendidik dirinya sendiri, baru ada kekuatan wibawa untuk memimpin dan mendidik ahli keluarganya. Suami harus menunjukkan akhlak terpuji sebagai model dalam membentuk peribadi keluarga. Oleh itu, elakkan diri daripada melakukan kekerasan terhadap isteri kerana ini turut memberi kesan didikan serta teladan tidak baik terhadap anak.

Ketua keluarga harus memiliki ciri pemimpin dan pendidik yang baik bagi memelihara, menyara, mencorak, membimbing dan mendidik isteri serta anak dengan baik dan berkesan. Ketua keluarga perlu memiliki kelebihan dari sudut kerajinan, ibadah, kesungguhan mendalami ilmu, sabar, disiplin diri dan lain-lain, yang perlu diterapkan kepada isteri dan anak-anak.

Kepemimpinan dalam rumah tangga kurang menyerlah disebabkan kurangnya ilmu. Hari ini, ramai pasangan kurang kemahiran keibubapaan. Dalam rumah tangga, kesilapan ketua keluarga boleh melemahkan institusi keluarga dan mencacatkan hubungan suami isteri dan anak.

* Bijak berbelanja - Suami bertanggungjawab memberi nafkah zahir seperti keperluan asasi kehidupan iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pasangan suami isteri mesti bijak berbelanja bagi menyara anak dengan rezeki halal kerana pembentukan sahsiah peribadi seseorang itu terbentuk daripada pemakanan.

Seorang suami mesti menunaikan tanggungjawabnya dengan berusaha mencari pendapatan yang halal dan terjamin agar dapat menyediakan keperluan harian rumah tangga serta dapat memberikan pendidikan kepada anak.

Ini perlu supaya hidup mereka terbimbing. Apabila sesebuah keluarga itu mantap ekonominya, ia akan membantu menguatkan kedudukan bangsa dan negaranya.

* Ada masa bersama keluarga - Bagi membentuk keluarga bahagia suami isteri perlu ada masa lapang bersama keluarga. Pasangan tidak boleh mudah jemu, bosan, kecewa dan menyalahkan pasangan masing-masing, kerana ini akan merosakkan hubungan dan kemesraan.

Perkahwinan adalah tanggung jawab dan amanah yang sangat berat iaitu untuk membahagiakan anak dan isteri di dunia dan akhirat. Ia adalah suatu ibadah yang mana sesuap nasi diberikan suami kepada isterinya mendapat balasan pahala daripada Allah. Malah, lelaki dan wanita yang berniat berkahwin kerana ingin menjaga kesucian diri daripada melakukan zina dan meramaikan jumlah umat Nabi Muhammad saw dengan melahirkan anak soleh akan mendapat pahala besar daripada Allah swt.

Perkahwinan menuntut kesabaran yang sangat tinggi. Semua orang ada kekurangan diri, kerana itu, sama-samalah memperbaikinya dan apa juga kelebihan diri, perlu ditonjolkan dengan niat membantu orang lain yang memerlukan.

Penulis adalah Pensyarah Keibubapaan & Kanak-kanak, Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga UPM.

Sumber: Berita Harian - Oleh Adiweyatu Rafeah Suddin dan Mohd Sharani Ahmad - 1233

No comments: