Saturday, September 29, 2012

Mengelak kemalangan menimpa kanak-kanak


KEMALANGAN boleh menimpa anak-anak kecil bila-bila masa sahaja. Salah satu sikap kepenggunaan yang baik ialah tugas kita mendidik anak-anak untuk mencegah kemalangan dari berlaku. Ia seelok-eloknya baik jika diterapkan di dalam diri seawal peringkat kanakkanak lagi.

Kebelakangan ini kes-kes seperti kanak-kanak mati dilanggar oleh ahli keluarga sendiri di laman rumah, kejadian lemas di dalam bilik air rumah serta maut ketika melintas jalan raya di hadapan rumah semakin membimbangkan.

Kesemua nahas ini, dalam kebanyakkan waktu boleh dielakkan jika anak-anak dididik untuk mengenal pasti sesuatu perkara, situasi mahupun tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan. Walaupun ia takdir dan ketentuan tuhan, namun sebagai ibu bapa, anda wajar mendidik anak-anak mengenai soal keselamatan terutama di rumah.

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh satu laman web Amerika Syarikat, ia mengenal pasti 10 jenis kemalangan paling popular yang kerap menimpa kanak-kanak ketika berada di rumah. Kemalangan paling utama ialah lemas, terbakar atau melecur, terjatuh dari tempat tinggi, terkena kejutan elektrik, patah tulang, keracunan makanan, kecederaan kepala, tertembak, luka terkena senjata tajam dan tercekik.

Selain faktor kecuaian ibu bapa mahupun penjaga, kegagalan untuk mendidik anak-anak mengenai aspek keselamatan menyebabkan kanak-kanak mudah mengalami kemalangan. Justeru, adalah penting bagi setiap ibu dan bapa mendidik anak-anak sejak dari usia bayi mengenai ilmu-ilmu kemahiran hidup untuk berdikari dan menyelamatkan diri.

Sebagai ibu bapa yang baik, menjadi tugas anda tanpa gagal untuk mendidik si kecil mengenai:

* Bahaya api atau benda panas - Jelaskan kepada anak-anak, kenapa mereka tidak boleh bermain api atau memegang benda yang panas seperti dapur, cerek, air panas, periuk dan sebagainya. Hadkan pergerakan agar mereka tidak mendekati semua benda ini ataupun bermain di ruang dapur. Sediakan bekas minuman dan makanan di tempat selamat agar si kecil tidak mencarinya di dapur atau bekas air panas.

* Barang elektrik - Senaraikan semua barangan elektrik terutama seterika serta plag tidak boleh disentuh oleh mereka. Usah biasakan anak-anak yang masih kecil memasang plag televisyen sendiri sebaliknya minta mereka guna bantuan anda setiap kali ingin menonton televisyen atau menggunakan komputer. Cara terbaik, pastikan plag terlindung dan tidak tercapai oleh kanak-kanak. Terangkan tangan yang basah tidak boleh menyentuh peralatan elektrik.

* Barangan tajam dan mudah pecah - Pastikan barangan yang tajam seperti pisau, garpu, gunting dan sebagainya diletakkan di tempat yang tinggi atau ruang berkunci yang tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak. Begitu juga dengan barangan yang mudah pecah seperti pinggan, mangkuk, gelas, cawan dan sebagainya.

* Ancaman di bilik air - Bilik air adalah zon kegemaran si kecil. Jadi jangan sesekali abaikan aspek keselamatan di bilik air terutama bayi yang berusia setahun hingga tiga tahun. Dalam usia ini, anak kecil perlu dipantau setiap kali ke bilik air. Elak sama sekali menyimpan air biarpun hanya sejengkal di dalam baldi atau besen. Anak kecil terutama bayi yang bertatih boleh lemas hanya dengan kuantiti air yang sedikit di dalam baldi. Pastikan bilik air sentiasa ditutup rapat dan dikunci dari luar agar si kecil tidak merayap tanpa anda sedari.

* Pintu utama dan pagar rumah - Kecuaian yang kerap dilakukan ibu bapa ataupun penjaga ialah tidak menyedari si kecil yang berusia setahun hingga tiga tahun keluar dari rumah dan bermain di belakang kereta. Adalah tidak wajar membiarkan mereka keluar bermain di laman rumah tanpa kehadiran anda. Terangkan kepada anak-anak kenapa mereka tidak boleh duduk bermain di bahagian belakang kereta. Jadikan ia kawasan larangan.

* Tangga atau tempat tinggi - Adakala kes kemalangan seperti jatuh tangga ataupun ketika memanjat meja boleh menyebabkan kecederaan yang serius seperti patah tangan, kaki ataupun mencederakan otak si kecil. Selain menyediakan pagar penghadang keselamatan di tangga, anda boleh mengajar anak-anak yang baru belajar berjalan cara turun tangga yang betul. Latih mereka turun dalam posisi yang selamat iaitu sambil memegang tangga dan menghulurkan kaki.

* Rumah tinggi - Bagi mereka yang tinggal di rumah yang tinggi seperti rumah pangsa, pangsapuri dan kodominium, pastikan rumah anda dipasang jeriji. Begitu juga di ruang beranda.

* Bahaya di jalan raya - Kemalangan jalan raya boleh dielakkan dan dikurangkan sekiranya anak-anak kecil dididik cara melintas dengan betul serta dilatih dengan sikap berhati-hati. Buat peraturan pada usia berapa mereka boleh melintas sendiri. Jangan biarkan kanak-kanak berusia dari sekitar lima tahun hingga lapan tahun melintas jalan raya sendirian ataupun ke kedai sendirian. Ini kerana jarak penglihatan kanakkanak amat terhad malah sikap peka mereka juga masih kurang.

Ibu bapa, penjaga, pengasuh dan guru juga boleh mengajar mengenai pembinaan kecerdasan emosi yang mana ia menjadi aspek penting dalam keselamatan diri. Kecerdasan emosi bermakna anak-anak diajar perbezaan di antara sikap pasif, tegas dan bertindak tegas.

Anak-anak perlu diberitahu bahawa tindakan pasif bermakna apabila orang lain mendapat sesuatu dengan mencerobohi hak mereka manakala agresif apabila mendapatkan sesuatu dengan mencerobohi hak orang lain manakala tegas menjaga kanakkanak memperoleh sesuatu tanpa mengenepikan hak orang lain. - Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com

No comments: