My Followers

Petua penjimatan petrol


ANDA boleh mendapat tambahan penggunaan petroleum bagi kenderaan anda jika tahu caranya.

Berikut adalah beberapa panduan mudah dan berguna untuk menjimatkan penggunaan petrol. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan, tetapi juga melindungi alam sekitar.

Pemanasan enjin

1. Elakkan membuat pemanasan enjin secara berterusan. Pemanasan selama 30 hingga 45 saat sudah memadai. Sebenarnya anda boleh terus memandu sebaik sahaja menghidupkan enjin kerana teknologi enjin pada masa ini membolehkan anda berbuat sedemikian.

2. Jangan menghidupkan dan menghentikan enjin sesuka hati. Menghidupkan enjin dalam tempoh seminit menggunakan jumlah bahan api yang sama ketika memulakan enjin.

3. Elakkan daripada menekan-nekan enjin berlebihlebihan, terutamanya sebelum mematikan enjin. Ini akan membazirkan bahan api serta menyebabkan minyak mengalir keluar daripada dinding silinder, dan seterusnya menyebabkan kehilangan tekanan minyak.

4. Jangan terus memecut kereta dengan laju. Tambah tahap kelajuan dengan perlahan-lahan apabila mula memandu. Jangan menekan pedal lebih daripada 1/4 kadar maksimum pedal. Ini membolehkan karburator berfungsi pada kecekapan yang sempurna.

Cara membeli bahan api yang jimat

1. Isi bahan api ketika suhu sejuk - Sebaik-baiknya pada waktu awal pagi atau lewat petang. Dalam keadaan suhu seperti ini, bahan api berada dalam keadaan lebih tumpat. Harus diingat - pam minyak menyukat isi padu bahan api dan bukannya ketumpatan bahan api tersebut. Anda dikenakan bayaran berdasarkan sukatan isi padu.

2. Gunakan gred minyak pelincir yang dicadangkan. Dengan menggunakan minyak pelincir yang dicadangkan oleh pengeluar kenderaan, ia boleh memperbaiki kecekapan bahan api daripada 1 peratus hingga 2 peratus. Minyak pelincir yang berkualiti boleh membantu enjin beroperasi dengan lebih cekap.

3. Elakkan daripada mengisi tangki minyak sehingga penuh. Isian yang berlebihan boleh mengakibatkan minyak berkocak dan terkeluar daripada tangki.

Memandu secara ekonomi

1. Pandu pada kelajuan yang munasabah dan memandu dengan lancar. 10 peratus peningkatandalam kelajuan menyebabkan 21 peratus heretan akibat rintangan angin dan meningkatkan jumlah penggunaan minyak.

2. Elakkan daripada mengekori kenderaan di hadapan, terutamanya jika pemandu kenderaan di hadapan tidak dapat diduga cara pemanduanya.

Ini bukan sahaja tidak selamat, malah boleh meningkatkan penggunaan petrol kerana kekerapan memandu dengan perlahan dan laju.

3. Memandu laju dengan menggunakan gear yang rendah akan menyebabkan penggunaan minyak sehingga 45 peratus. Oleh itu, tukarlah gear mengikut tahap kelajuan yang sepatutnya.

4. Tutup cermin tingkap ketika kenderaan bergerak laju di lebuh raya. Tingkap yang terbuka menyebabkan heretan angin, dan seterusnya menambah penggunaan minyak sehingga 10 peratus.

5. Berfikir sejenak sebelum anda menghampiri bukit. Jika anda ingin memecut, lakukan sebelum menaiki bukit dan bukannya ketika berada di atas bukit.

Pemeriksaan rapi

1. Penapis udara yang kotor akan menghalang pergerakan udara ke dalam enjin. Ini boleh mengganggu prestasi serta keadaan ekonomi enjin. Anda perlu menukar penapis udara bagi setiap 10,000 batu.

2. Anda perlu memastikan tekanan angin tayar pada tahap yang disyorkan. Ini kerana tayar yang kembang hanya pada 1psi sahaja boleh mengurangkan kecekapan bahan api kepada 3 peratus. Tayar yang kempis atau kembang juga mempengaruhi penggunaan petrol.

3. Keluarkan barang yang mempunyai berat berlebihan atau yang tidak diperlukan dari dalam but atau tempat duduk belakang kenderaan. Bagi setiap 45 kilogram yang dibawa, kecekapan bahan api boleh turun kepada 1 peratus hingga 2 peratus.

4. Suspensi dan casis - jika jajaran kenderaan tidak betul, roda dan gandar akan bengkok, hentakan dan pegas akan pecah. Ini akan menyebabkan heretan kepada enjin. Dengan ini, penggunaan bahan api akan meningkat.

5. Paras minyak - pastikan kereta anda diservis dengan baik dan selalu memeriksa paras minyak. Enjin yang diperiksa dengan baik boleh memberi kecekapan bahan api sehingga 4%. Oleh itu, tukar minyak pelincir berdasarkan batuan yang ditetapkan dan servis kenderaan mengikut tempoh masa yang dicadangkan pengeluar kenderaan.

Sumber: Harian Metro - 1Klassifieds
Post a Comment