Thursday, March 22, 2012

Panduan rai hari jadi anak kecil



ULANG tahun pertama anak adalah peristiwa penting dalam hidup berkeluarga. Kebanyakan ibu bapa membuat perancangan untuk mengadakan majlis secara besar-besaran bagi meraikan hari bersejarah itu sehingga ada yang meraikannya lebih meriah daripada majlis perkahwinan.


Namun, seringkali berlaku birthday boy/girl jatuh sakit selepas majlis itu kerana termakan sesuatu yang tidak sesuai untuk perutnya atau dia meragam kerana terlalu penat.

Sebenarnya kebanyakan majlis seumpama itu diadakan bagi membolehkan ibu bapa bertemu rakan mereka walaupun tumpuan sepatutnya diberikan kepada birthday boy.

Ulang tahun kelahiran pertama dalam hidup kanak-kanak adalah satu pencapaian bagi ibu bapa dan kanak-kanak itu. Kini, si kecil membuat persediaan untuk melalui tahun kedua dalam hidupnya, tempoh yang penuh dengan penemuan baru.

Secara tidak langsung itu detik permulaan bagi anak untuk belajar berdikari.

Walaupun anak mungkin tidak memahami erti sambutan hari lahirnya dan tidak kisah perancangan majlis itu, anda perlu memastikan ia menjadi kenangan paling istimewa dalam hidupnya dan tidak memenatkan si kecil.

Itulah juga masa terbaik bagi ibu bapa memulakan tradisi keluarga sendiri. Tradisi itu biasanya unik dan diharap berterusan dalam hidup anda sekeluarga dan diteruskan anak apabila mereka berkeluarga nanti.

Sebagai contoh, anda boleh menyimpan album khusus untuk sambutan hari lahir si kecil atau menanam pokok pada setiap hari lahirnya.

Berikut disediakan panduan bagi merancang sambutan hari lahir yang tidak memenatkan si kecil dan anda.

1. Rancang majlis yang sederhana.

Majlis bagi kanak-kanak kecil sepatutnya dibuat secara sederhana. Anak mungkin berasa cemas jika terlalu ramai muka baru yang tidak dikenalinya. Oleh tu, jemputlah saudara-mara dan rakan yang sudah dikenali anak.

Keselamatan kanak-kanak juga penting kerana kehadiran ramai tetamu menyukarkan anda memastikan keselamatan mereka.

2. Raikan majlis di rumah.

Anak tentu gembira jika sambutan diadakan di rumahnya, tetapi anak yang lebih dewasa mungkin tidak. Sambutan hari lahir di rumah memudahkan ibu bapa terutama apabila si kecil mengantuk. Keseronokan menghadiri majlis dan perjalanan yang jauh hanya memenatkan si kecil, jadi pilihlah tempat lebih sesuai terutama rumah anda.

3. Pastikan bilik yang diguna selamat untuk kanak-kanak.

Oleh kerana ramai kanak-kanak dijemput, pastikan ruang tamu untuk sambutan itu tidak mempunyai barang yang mudah pecah atau tidak boleh dicapai kanak-kanak.

Jangan sediakan belon kerana ada kanak-kanak takut mendengar bunyi belon meletup. Mungkin ada kanak-kanak termakan cebisan belon itu. Pastikan juga sambungan elektrik disembunyikan daripada pandangan kanak-kanak.

4. Sediakan makanan sesuai untuk kanak-kanak.

Rakyat Malaysia gemar makanan pedas dan bergoreng. Makanan yang sering dihidangkan pada majlis keraian di negara kita sebenarnya tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Anda boleh menjadi contoh bagi rakan dengan menyediakan makanan seimbang yang berkhasiat seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan ringan seperti bebola ikan ataupun daging.

Anda juga boleh menyediakan sos pedas untuk dewasa manakala bagi kanak- kanak sos kurang pedas. Dengan cara ini anda boleh memuaskan hati semua tetamu.

Elakkan menghidang makanan manis seperi coklat dan gula-gula, sebaliknya banyakkan buah-buahan kerana ia lebih berkhasiat.

5. Rancang permainan untuk pelbagai peringkat umur.

Kanak-kanak kecil suka menyanyi dan bertepuk tangan mengikut irama lagu. Ini adalah masa yang sesuai untuk rakan dan keluarga anda menyanyi beramai-ramai.

Anda juga boleh menggunakan masa ini untuk memperkenalkan lagu tradisi yang semakin dilupakan. Minta tetamu menyumbang lagu yang sering dinyanyikan ketika kecil.

Kegiatan lain yang boleh dlakukan ialah melukis, permainan yang menggunakan muzik dan juga mencari harta karun.

6. Sediakan pek hadiah.

Kebanyakan ibu bapa gemar membeli pek majlis sedia ada di pasar raya untuk tetamu. Bagi kanak-kanak, sebiji epal yang diikat dengan riben atau biskut gandum sudah memadai.

Kanak-kanak juga gembira jika diberi permainan yang mudah dipicit. Buku mewarna dengan satu kotak krayon atau bingkai gambar yang anda hias sendiri juga pasti menggembirakan si kecil.

7. Pastikan majlis itu pendek.

Majlis untuk kanak-kanak terutama berumur setahun sepatutnya tidak lebih daripada dua jam. Majlis yang mengambil masa panjang bukan hanya meletihkan tetamu, malah anak anda. Jika tetamu yang dijemput adalah rakan rapat dan saudara-mara mereka pasti memahami dan bekerjasama bagi memastkan had masa itu.
8. Jangan lupa merakam gambar birthday boy. Sediakan buku untuk tetamu menulis pendapat mereka mengenai sambutan itu. Semua ini boleh dibaca dan menjadi kenangan anak anda kelak.

9. Hadiah untuk kanak-kanak berumur setahun:

Buku bergambar; permainan bertayar seperti trak, kereta lumba dan juga kapal terbang. Anda juga boleh memilih permainan blok bagi membantu anak anda mengenali bentuk.

No comments: