MEMBELI pakaian baru memang menyeronokkan, apatah lagi ia memenuhi selera serta menepati fesyen terkini. Namun, dalam keghairahan itu, pernahkah kita terfikir cara untuk memastikan pakaian tahan lama?
Penjagaan pakaian perlu diberi penelitian terperinci. Sekadar menjaga aspek pembersihan atau kaedah mencuci bagi mengelak pudar, tidak mencukupi.
Seperkara lagi, tidak semua pakaian boleh dicuci mesin. Sebaliknya, ada banyak `pantang larang' yang harus dititikberatkan dalam aspek penyimpanan, jenis cucian dan faktor suhu. Haba persekitaran boleh menjadi faktor untuk pakaian tahan lama.
Ditambah lagi, jenis fabrik yang pelbagai seperti kain kapas, nilon, sutera dan shifon memerlukan perhatian lebih dari segi penjagaan. Justeru, dilampirkan lima tip untuk menjaga pakaian sekali gus memastikan material koleksi pakaian kesayangan bertahan lama.
1 MENCUCI
SELEPAS membasuh dan mengeringkan pakaian, jangan biarkan ia dibiar terperap lama dalam mesin, sebaliknya teruslah dijemur di bawah cahaya matahari.
Pakaian yang dibiar terperap dipercayai menyumbang kepada pertumbuhan bakteria. Selain fabrik mudah mereput, baju yang dibiar terperap akan berbau hapak dan lembap. Teliti juga soal penggunaan pencuci pakaian yang secara tidak langsung memberi kesan kepada warna fabrik.
2 JEMUR.
RAJIN-RAJINLAH menjemur pakaian terutama di ruang terbuka. Seeloknya biarlah pakaian dijemur di bawah cahaya matahari yang dipercayai dapat memberi pakaian `bernafas' dan kering sepenuhnya.
Pakaian yang tidak kering sepenuhnya secara tidak langsung memberi kesan jangka panjang kepada fabriknya.
3 LIPAT.
USAH biarkan pakaian berlonggok tanpa dilipat. Dengan melonggokkan saja pakaian, ia akan akan menambahkan renyuk dan lebih sukar untuk digosok. Apabila pakaian dilipat, kuranglah kerja-kerja menggosok yang sukar.
Andai malas untuk melipat, lebih baik gantungkan pakaian supaya tugas menggosok lebih mudah.
4 GOSOK.
ELAK menggosok pakaian dalam keadaan lembap atau belum cukup kering kerana ia memberi kesan kepada fabrik. Selain pakaian terdedah kepada suhu panas melampau, warna dan kualiti pakaian mudah terjejas jika dilakukan berulang kali.
5 `REHATKAN' BAJU.
KEDENGARAN agak lucu tetapi lebih baik jika pakaian tidak disarung berulang kali bagi mengelak ia cepat rosak atau mungkin kenalan perasan anda mengenakan baju sama. Kitaran dua atau tiga minggu untuk persalinan dipakai semula mungkin baik diamalkan terutama pakaian pejabat.
Sumber: Berita Harian - Sat, Mar 10, 2012 - Inspirasi
1 comment:
alamak..sy selalu spray ngan air time iron...konon2 nak licn hehee
Post a Comment