Tuesday, February 14, 2012

Sepuluh tabiat mudah menabung

Berhenti Merokok

"Saya berhenti merokok sejak pengumuman harga baru rokok. Saya berjaya menjimatkan RM20 seminggu."

Usia lebih panjang dan dapat menjimatkan RM1,040 setahun!

Bawa bekalan ke tempat kerja

"Biasanya saya bawa bekalan makan tengah hari ke tempat kerja tiga kali seminggu. Saya dapat berjimat kira-kira RM30 seminggu." Bawa bekalan makan tengah hari dari rumah dan anda boleh menyimpan RM1,560 di bank tahun depan!
Cuci kereta sendiri

"Mengapa hantar kereta untuk dicuci jika anda ada masa untuk melakukannya sendiri pada hujung minggu? Pengusaha tempat cuci kereta mengenakan bayaran RM9 sekali cuci - ini bermakna anda boleh menjimatkan RM36 sebulan dengan mencuci sendiri kereta anda. Kerja mencuci itu pun satu riadah juga dan untuk senaman yang lebih baik lagi, cubalah kilatkan sendiri kereta." Mencuci dan mengilatkan sendiri kereta anda membolehkan anda menabung RM1,872 setahun yang lama kelamaan menjadi lebih banyak.

Beriadah di rumah

"Saya telah membatalkan keahlian saya di sebuah kelab kesihatan. Saya jarang pergi ke sana untuk beriadah. Saya sudah mula bersenam di rumah. Sebagai sebahagian daripada kegiatan riadah, saya berjalan di sekitar kawasan perumahan saya selama 30 minit sehari. Jumlah yang dapat dijimatkan? RM180 sebulan." RM180 sebulan selama 12 bulan - akaun simpanan anda bertambah kukuh dalam masa setahun. Anda akan ada RM2,160 dalam akaun itu.

Bayar bil kredit kad pada masanya

"Sentiasa bayar kad kredit anda pada masanya untuk mengelakkan membayar denda RM5 kerana pembayaran lewat. Kalau boleh, selesaikan baki kad kredit secepat mungkin untuk mengelakkan caj faedah yang tinggi." Siapa cepat dia dapat. Membayar bil pada masanya dapat menjimatkan RM60 setahun.

Ajar anak anda sendiri

"Saya mempunyai tiga orang anak yang sedang bersekolah, berusia antara tujuh hingga 11 tahun. Saya ajar mereka sendiri daripada menghantar mereka ke pusat tuisyen. Saya dapat jimatkan kira-kira RM360 sebulan." Sambil menyelam minum air. Ajar anak anda sambil habiskan masa berkualiti bersamamereka dan anda dapat menabung RM4,320 setahun untuk perbelanjaan mereka dikolej nanti.

Lepak di gerai teh tarik dari daripada di restoran yang mahal

"Dulu saya dan kawan-kawan saya suka melepak di restoran yang trendy pada hujung minggu dan kami menghabiskan hampir RM50 setiap minggu. Sekarang, kami lepak di gerai teh tarik dan membelanjakan hanya RM10 seminggu.

Belilah barangan tempatan dan jimatkan RM2,080 setahun.

Kurangkan penggunaan elektrik

"Keluarga saya sentiasa cuba mengurangkan penggunaan elektrik di rumah kami. Kami gunakan jangka masa untuk alat hawa dingin dan matikan lampu dan barangan elektrik jika tidak digunakan. Kami berjaya mengurangkan bil elektrik daripada RM230 kepada RM120 sebulan." Gunakan bahan tenaga dengan lebih cekap dan tambah simpanan anda kepada RM1,320 setahun.

Rancang pembelian barangan dapur

"Apabila saya membeli barangan dapur, saya sentiasa berbelanja melebihi jumlah yang diperuntukkan dengan membeli keropok, minuman dalam tin dan gula-gula. Tahun ini, saya berusaha untuk mengikut senarai yang saya buat dan berjaya menjimatkan RM80 sebulan." Ikut senarai beli-belah yang anda buat dan jimatkan RM960 setahun.

Jelaskan bil anda menggunakan kemudahan dalam talian

"Saya bayar hampir kesemua bil saya menggunakan kemudahan Internet. Saya dapat menjimatkan RM5 duit pos, RM65 bayaran letak kereta dan minyak sebulan." Gunakan kemudahan membayar bil dalam talian dan jimatkan RM840 setahun. Tetapi berhati-hati ketika menggunakan Internet. 

Mengurangkan perbelanjaan boleh membantu meningkatkan tabungan anda. Mulakan berdikit-dikit dan bersabarlah. Berikan masa selama 12 bulan dan lihatlah hasilnya. Ketika itu nanti, anda akan memiliki simpanan yang cukup untuk melabur di pasaran modal!

Sumber: Pelabur Malaysia (www.min.com.my)

No comments: