Friday, January 27, 2012

Iktibar kisah Laut Mati

Penulis: Mohd Hassan Adli Yahya 






MENJEJAKKAN kaki di Jordan sewaktu menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) antara memori paling tidak dapat saya lupakan walaupun sudah empat tahun pengalaman itu berlalu.

Waktu itu cuti semester dan saya bersama beberapa rakan sempat melawat beberapa tempat yang sememangnya mempunyai kisah serta sejarahnya yang tersendiri di Jordan.

Antaranya, pengalaman sewaktu menjejakkan kaki di  Laut Mati yang sinonim dengan kisah Nabi Lut AS dan kaumnya. Pastinya  ramai tahu mengenai Laut Mati, iaitu pada asalnya dikenali sebagai tasik tetapi kemudian diiktiraf sebagai laut.

Terletak bersempadan dengan Jordan dan Tebing Barat (Israel), Laut Mati kawasan paling rendah di muka bumi yang tidak dilitupi ais, iaitu serendah 418 meter di bawah aras laut dengan panjang laut sejauh  67 kilometer dan lebar 18 kilometer.

Laut Mati juga terkenal sebagai tasik paling masin di dunia dengan kadar ketumpatan 30 peratus lebih masin daripada air laut biasa.

Walaupun memiliki kedalaman sehingga 330 meter, kadar ketumpatannya menyebabkan tidak ada hidupan yang boleh hidup dan sesiapa yang terjun ke dalamnya pasti tidak tenggelam.

Namun, dalam ruangan kali ini bukan mengenai sifat luar biasa laut yang ingin dicungkil, sebaliknya kisah atau sejarah Laut Mati yang boleh dijadikan panduan supaya tidak mengulangi kesilapan umat terdahulu.

Dalam kisah yang pernah disebutkan, Laut Mati dikatakan tapak kawasan bagi sebuah kota yang maju dikenali sebagai 'Sadum'.

Kisah masyarakat Sadum banyak dinyatakan dalam al-Quran di mana walaupun maju, mereka memiliki nilai moral rendah, rosak nilai intelektualnya serta menolak ajaran agama yang dibawa Nabi Lut. Mereka terbabit dengan kemungkaran apabila maksiat bermaharajalela dalam pergaulan hidup.

Bukan itu saja, masyarakat itu juga mengamalkan penindasan terhadap kaum lemah. Pendek kata, seorang pendatang tidak akan berasa selamat jika memasuki Kota Sadum.

Kerosakan akhlak masyarakat Sadum sangat teruk apabila mereka turut mengamalkan seks luar tabii (homoseksual) sesama jenis antara lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita.

Berdasarkan kisah diceritakan, seorang pendatang lelaki yang tampan paras rupanya pasti menjadi rebutan dan 'korban' oleh lelaki kaum ini, dan begitu juga jika pendatang itu seorang wanita.

Kedua-dua jenis kemungkaran ini bermaharajalela di dalam masyarakat ini hingga menjadi budaya kaum Sadum.

Amalan cinta sejenis ini mendapat kemurkaan Allah SWT di dalam al-Quran.

Malah, dalam al-Quran juga Allah merakamkan dialog antara Nabi Lut dan kaumnya melalui surah Asy-Syu'ara, ayat 165 hingga 168, yang bermaksud: "Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki daripada kalangan manusia? Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan halal) dari badan isteri kamu?

"(Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu ialah kaum yang melampaui batas! (keinginan kebanyakan haiwan). Mereka menjawab: Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar.

"Bagaimanapun, Nabi Lut menjawab: Sesungguhnya aku daripada kalangan orang yang membenci perbuatan kamu yang keji itu."

Kemuncak kisah ini apabila Allah SWT mengutuskan beberapa Malaikat-Nya menyerupai lelaki tampan ke Kota Sadum dan menumpang di rumah Nabi Lut.

Kehadiran lelaki tampan ini dihebahkan oleh isteri Nabi Lut. Maka berebut-rebutlah mereka datang ke rumah Nabi Lut untuk menggoda lelaki terbabit.

Akhirnya mereka (termasuk isteri Nabi Lut) ditimpa bencana dan azab daripada Allah. Kisah ini dinyatakan Allah dalam surah Asy-Syu'ara, ayat 172 dan 173, yang bermaksud: "Kemudian kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut). Dan kami hujani mereka dengan hujan azab (azab yang membinasakan); maka amat buruklah hujan azab yang menimpa kaum yang sudah diberi amaran."

Itu kisah mengenai masyarakat Sadum dan menyentuh mengenai hubung kait kisah ini, pasti kita sering membaca atau mendengar laporan berita mengenai gejala songsang yang berlaku di seluruh dunia, termasuk di kalangan masyarakat kita.

Siapa yang tak tahu mengenai kumpulan pengkid, tomboy dan gay? Yang pasti, mereka terjebak dengan gejala homoseksual dan berani mencabar fitrah Allah yang menjadikan manusia berpasang-pasangan antara lelaki dan perempuan.

Menyedihkan, baru-baru ini kita dikejut dengan perkahwinan sejenis antara seorang jejaka Melayu bersama 'suaminya' di luar negara.

Mungkin kerana 'perkahwinan' ini satu jenayah di negara kita, mereka melakukan perkara terlarang ini di luar negara.

Bagi sesetengah negara seperti Belanda, Ireland dan beberapa negara lain, khususnya di Eropah, perkahwinan sesama jenis dibenarkan atas alasan menjaga 'hak asasi manusia'.

Jika kita imbas peristiwa yang berlaku di negara kita, beberapa bulan lalu kita digemparkan dengan satu kes tuntutan mahkamah bagi menukar status jantina seorang lelaki dalam kad pengenalannya kepada wanita.

Lebih menyedihkan, apabila segelintir individu ini ditemuramah, mereka tanpa setitik rasa bersalah dan berdosa, menyatakan masih menganut agama Islam dan mengamalkan ajaran Islam.

Kononnya mahu meredakan kemarahan masyarakat, tetapi secara terang-terangan menunjukkan jahilnya mereka mengenai Islam. Kenyataan jahil ini juga sebenarnya boleh memesongkan pemahaman orang yang kurang arif mengenai agama Islam.

Apa guna mengaku masih Islam jika Rasulullah SAW melaknat mereka yang melakukan amalan songsang. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: "Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki." (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud, Al-Tirmizi, Ibn Majah, & Ahmad)

Dalam hadis lain pula, Rasulullah SAW bersabda: "Tiga golongan yang tidak akan masuk syurga (antaranya); perempuan yang meniru dan berkelakuan seperti lelaki." (Riwayat Ahmad).

Namun, memang pelik apabila manusia sekarang kononnya merasakan lebih bijak daripada Penciptanya dengan memperjuangkan apa yang dilarang atas tiket 'hak asasi manusia'.

Sesungguhnya Allah meninggalkan sebahagian daripada kesan bencana dan azab yang menimpa umat terdahulu seperti Laut Mati untuk menjadi iktibar kepada umat zaman sekarang.

Namun disebabkan kejahilan, ia tidak digunakan sebagai panduan hidup sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Ankabut, ayat 35, yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya kami telah (binasakan bandar itu dan telah) tinggalkan bekas-bekasnya sebagai satu tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang yang mahu memahaminya."

Sumber: Metro Ahad - Sun, Jan 22, 2012 - Ekspresi

No comments: