Wednesday, November 16, 2011

Rumpun `aluminium'



BAGI dunia flora, ada pelbagai tanaman hiasan yang nama, gelaran atau jolokan yang pelik, unik dan menarik. Salah satu daripadanya ialah spesies Pilea cardierei yang tergolong dalam famili tumbuhan Urticaceae.

Yang pelik, unik, cantik dan menariknya mengenai tanaman hiasan ini kerana paparan corak berwarna perak di atas daunnya yang menggelembung seakan-akan diselaputi cat berwarna perak yang menyerupai logam aluminium.

Corak ini terbentuk disebabkan wujudnya kantung udara di lapisan atas daunnya. Sebab itu jugalah ia digelar sebagai pokok aluminium (Aluminium plant).

Corak unik ini tersusun memanjang di sisi kiri dan kanan daunnya yang berbentuk bujur telur dan berwarna hijau tua. Pokoknya yang matang mengeluarkan bunga berwarna putih kehijauan.

Pokok yang dikatakan berasal dari Vietnam ini senang ditanam dan tidak cerewet dari segi penjagaannya, memang sesuai untuk mereka yang baru berjinak dengan seni taman.

Di dalam keadaan biasa pokoknya tumbuh menegak tetapi dalam keadaan tertentu pokok ini juga boleh tumbuh menjalar. Ada juga jenis atau varieti yang tumbuh mencecah ketinggian satu kaki, namun ada juga varieti yang bersaiz kecil atau kerdil yang comel, hanya tumbuh pada ketinggian 6 inci.

Pembiakannya sangat senang kerana menggunakan kaedah keratan batang atau keratan hujung batang berdaun. Untuk menanamnya ikuti langkah seperti berikut:

Untuk menanamnya gunakan medium tanaman yang mana air siraman senang mengalir keluar. Medium tanaman untuk pokok berpasu dalam campuran 3:2:1 (Tanah peroi: Bahan organik/tanah gambut: Pasir sungai) paling sesuai.

Penjagaan:

1) Pilea cadierei memerlukan dedahan kepada banyak cahaya matahari bagi mengekalkan kecantikan daunnya yang berwarna hijau tua berkilat dengan corak aluminiumnya yang menyerlah itu. Namun, elakkan dedahan daunnya kepada cahaya matahari yang terik berpanjangan kerana ini akan menyebabkannya cepat kecut dan melecur.

2) Pokok ini memerlukan siraman air dua kali sehari hari musim panas dan siram bila perlu saja pada hari hujan. Ia sukakan kepada kelembapan yang tinggi di persekitarannya.

Oleh itu, semburkan air ke daunnya terutama pada hari panas untuk menggalakkan pertumbuhan pokoknya yang lebih subur.

3) Ia memerlukan pembajaan seminggu sekali bagi pertumbuhan daun yang subur dan juga daun baru. Baja yang disyorkan boleh digunakan ialah baja kimia seperti jenis cecair, baja garam larutan dan juga baja organik seperti najis ayam diproses dan sebagainya.

TIP

* Pembajaan dan pemotongan hujung ranting boleh menggalakkan pertumbuhan ranting baru, juga merimbun dan memadatkan pokok.

* Bunganya boleh menyebabkan pokok menjadi cepat tua, mengeluarkan daun kecil dan batang yang pendek. Ini membuatkannya nampak kurang subur dan tidak menarik dari segi penampilannya. Oleh itu potong bunganya.

* Tukar pasu dan medium tanamannya dengan yang baru jika didapati ia sudah tidak hidup subur walaupun diberikan penjagaan sepatutnya seperti di atas

Idea Pameran:

* Ia sesuai ditanam dan dipamerkan sebagai pokok spesimen di dalam pelbagai pasu yang bersaiz kecil dan cantik bagi menyerlah lagi penampilannya.

* Pokok yang bersaiz kerdil sangat sesuai ditanam dalam bekas kaca atau balang terrarium kerana ada kelembapan di persekitarannya yang tinggi.

* Ia juga sesuai ditanam sebagai pokok campuran dengan pokok lain bercorak menarik dalam landskap atau untuk taman mini atau gubahan dalam pasu atau bekas tanaman lain.

Sumber: Berita Minggu - Sun, Nov 13, 2011 - 014 - Rona

No comments: