My Followers

Kemasan meja dapur



BAGAIMANA dikatakan dapur praktikal? Sesetengah orang berpendapat ruang dapur kecil dan bersifat kompak itu praktikal kerana mengurangkan langkah pergerakan. Namun, kekurangannya ialah tidak menyediakan permukaan meja yang besar sekali gus mengehadkan jumlah peletakan barang di situ.

Selain itu, pemilihan bahan kemasan perlu sesuai kerana berupaya menentukan keberkesanan fungsi meja kerja. Meskipun, di pasaran disediakan pelbagai pilihan namun memilih yang menepati fungsi serta selera ada ketikanya merumitkan. Asasnya, meja kerja berfungsi sebagai permukaan bagi meletakkan peralatan memasak yang berat dan kadangkala panas.

Malangnya, ia sering disalah guna, mudah rosak selain jarang dapat bertahan lama.

Justeru, pemilihan bahan tepat dan penjagaan sempurna diperlukan selain tidak mengabaikan keperluannya. Berikut panduannya:

Keperluan kemasan meja kerja

PASTIKAN kemasan digunakan sesuai untuk susun atur segi tiga meja kerja meliputi sinki, tempat memasak dan peti sejuk. Ini penting untuk anda bekerja dengan selesa.

Permukaan meja perlu lapang dengan kemasannya sentiasa bersih bagi memudahkan anda bekerja serta bergerak tanpa halangan. Pelbagaikan ketinggian permukaan meja bekerja itu.

Bagi aktiviti memerlukan tenaga seperti menguli roti, ia lebih sesuai dilakukan di permukaan rendah dan bukannya di meja yang memerlukan koordinasi mata dan tangan khusus aktiviti memotong sayur dan herba.

Ketinggian biasa permukaan meja kerja ialah 900 milimeter (36 inci) dan ia sesuai bagi tugasan menyediakan makanan ringan. Para dan rak dengan ukuran tinggi 1,800 milimeter (72 inci) menyenangkan anda menjangkau barang. Barang yang jarang digunakan eloklah ditempatkan pada rak lebih tinggi.

Kemasan biasa adalah kayu, jubin, keluli tahan karat, granit atau lapisan berlamina plastik bagi kabinet unit dasar dan gantung.

Kayu

Cantik dipandang terutama ira permukaan dibarnis. Namun, kelemahannya tidak kalis kotoran, mudah dilekat tanda, senang terbakar, retak selain berpotensi membiakkan bakteria. Cara menjaganya hanya dilap menggunakan kain lembap dan bahan pencuci lembut. Meja yang sentiasa dibarnis serta dikeringkan mampu bertahan sehingga 20 tahun.

Granit dan marmar

Berciri lebih halus, rata, bermutu dan tahan lama. Bagaimanapun, marmar lebih lembut, mudah calar serta pudar berbanding granit sekali gus memerlukan penjagaan teliti. Granit pula mudah retak akibat tindak balas semula jadi kandungan kimia dalam batu berkenaan.

Jubin seramik

Pilihan paling popular, namun elakkan jubin berkilat kerana lapisan digunakan berkemungkinan mengandungi bahan beracun. Justeru, anda dinasihatkan menggunakan papan pemotong setiap kali melakukan kerja memotong kerana ia berpotensi pecah akibat hentakan.

Permukaan padu

Diperbuat daripada campuran bahan kimia polyester dan bahan galian. Material terbaik dan harganya juga mahal namun ia senang dibersihkan, tahan calar serta kalis panas dan bakar. Ada pelbagai warna selain hanya perlu dibersihkan dengan kain basah bersama bahan pencuci lembut. kelebihannya adalah meja kerja boleh dibuat dalam pelbagai bentuk tanpa membabitkan penyambungan menggunakan teknik acuan.

Lamina getah tiruan dan plastik

Murah dan dijual dalam pelbagai warna serta corak termasuk menyerupai kemasan marmar, granit, besi dan sebagainya. Lamina bahan tahan lasak dan mudah diselenggarakan namun kelemahannya sukar dibaiki dan mudah rosak apabila terkena bahan panas. Paling utama, pastikan air tidak masuk di celah-celah lapisannya.

Besi tahan karat

Sesuai bagi dapur industri seperti restoran dan hotel serta menampilkan gaya moden dan minimum. Lazimnya, dibina berasingan dan mudah diselenggarakan kerana berciri tahan calar. Kelebihan besi tahan karat membolehkan diletakkan periuk panas di atasnya.

Kaca

Menawan dan sesuai bagi penduduk bandar yang mahukan reka bentuk dapur berinovasi. Hadir dalam pelbagai warna menarik namun mahal harganya. Mudah dibersihkan, tidak menyerap air serta tahan kotoran. Permukaan kaca mampu bertahan panas periuk. kelemahannya meninggalkan kesan jari dan tumpahan air nampak jelas dan perlu sering dilap.

Info


Tip penjagaan

* Jika bajet rendah, namun mahukan pelbagai pilihan reka bentuk menarik, disyorkan memilih kemasan lamina berciri beragam corak serta warna.

* Bagi tugasan masak lasak, elok memilih kemasan logam tahan karat, marmar atau jubin seramik.

* Apa juga jenis bahan permukaan dinding dapur, pastikan ia berciri kalis api dan berjarak sekurangkurangnya 200 milimeter dari dapur.

* Biarpun permukaan meja kerja tahan lasak, jangan ambil mudah perkara remeh seperti, meletak periuk yang mampu merosakkan meja. Gunakan pelapik atau alas tahan panas.

* Elak bahan pencuci kasar bagi kemasan keras seperti batu marmar atau granit. Permukaan itu boleh rosak. Sebaliknya, gunakan sabun PH neutral apabila mencuci.

* Permukaan meja berlamina sebaiknya dilap menggunakan sabun bersama air suam.

Sumber: Berita Minggu - Sun, Nov 13, 2011 - 010 - Rona - Oleh Hamidon Abdullah

1 comment:

heder satilan said...

UBAHSUAI RUMAH area kajang, bangi, cheras, serdang, puchong, subang, shah alam, kepong, nilai, ampang, gombak (Selangor/KL) Sambung dapur, parking, ikat batu, pasang tile, mengecat, plaster, plaster siling, kayu, meja dapur/table top, paip DLL. Hubungi: 0182233854 khaidir click → FACEBOOK atau → BLOGGER