My Followers

Tips penjagaan lampu



KITA tidak harus beranggapan bahawa lampu kereta hanya untuk kegunaan pada waktu malam. Ada ketikanya perjalanan pada siang hari membawa ke sebelah malam. Lampu brek, misalnya digunakan sepanjang masa. Jadi, sebelum memulakan perjalanan, lampu harus berfungsi.

Lampu kenderaan sama ada depan atau belakang perlu sentiasa berkeadaan baik bagi membolehkan anda melihat dengan jelas pada waktu malam selain memudahkan pemandu kenderaan lain melihat kereta anda.

Anda perlu faham dan sedar mengenai pentingnya semua lampu pada kenderaan diuji dan diselenggara dengan baik. Anda boleh melakukan pemeriksaan sendiri pada lampu kenderaan dengan memeriksa setiap penutupnya bagi memastikan tidak berlaku keretakan yang boleh menjejaskan pancaran lampu.

Harus diingat, setiap lampu kenderaan adalah berpasangan serta mempunyai penutup yang sama berwarna putih dan kuning. Jika satu daripada lampunya tidak berfungsi, pasangannya turut mengalami masalah.

Selain itu, anda juga perlu memeriksa pemantul cahaya yang biasanya bersalut aluminium bagi mengelakkan ia tidak terguris atau berkarat. Jika ia tercalar, seluruh pemantul perlu diganti kerana boleh menjejaskan kuantiti pancaran.

Anda boleh membersihkan pemantul itu dengan kain bersih, sabun dan air tetapi jangan sekali-kali gunakan penanggal karat, penggilap atau bahan kimia lain kerana ia boleh merosakkan salutan aluminium itu.

Untuk mengesan kerosakan lampu brek, lampu mengundur atau lampu isyarat membelok, anda perlu memeriksa belakang kenderaan dan minta bantuan rakan bagi menghidup enjin, memasang suis lampu atau menekan brek.

Sekiranya lampu masih menyala selepas brek dilepaskan, bermakna suis di bahagian pedal brek anda mengalami kerosakan tetapi jika sebaliknya, periksa lampu, pemegangnya, sambungan wayar dan fius.

Kaedah yang sama boleh dilakukan bagi memeriksa lampu lain termasuk lampu depan, lampu isyarat membelok dan lampu sorot. Anda boleh juga meminta bantuan mekanik atau pusat servis untuk memeriksa lampu dan brek berkenan. Sekiranya lampu kenderaan berkelip-kelip, anda perlu periksa sistem pendawaian elektrik, kedudukan lampu dan sambungannya kerana kerosakan pada penebat wayar menyebabkan litar pintas.

Jika satu lampu tidak menyala, anda perlu memeriksa lampu dan kedudukan kabelnya kerana kerosakan itu mungkin berpunca lampu rosak, hubungan lampu dan kabel kurang baik atau kabel terputus. Sekiranya kedua-dua lampu tidak menyala, masalah itu mungkin disebabkan fius terputus. Keluarkan fius itu daripada kotak khas dan periksalah keadaannya. Jika fius putus atau rosak, ia perlu diganti tetapi harus sama nilainya dengan yang asal kerana kekuatan fius boleh diketahui melalui tulisan pada bekasnya. Jika ketika itu anda tidak memiliki fius simpanan, gunakan fius dari bahagian lain yang tidak terlalu diperlukan.

Mengesan kerosakan dan membaiki lampu:

1. Kerosakan pada lampu brek kenderaan anda boleh berpunca daripada mentol yang terbakar, lampu tidak dipasang dengan baik, suis lampu brek tidak berfungsi atau fius putus.

2. Sekiranya hanya satu lampu brek berfungsi, ia mungkin berpunca daripada mentol yang terbakar atau hubungan antara lampu dan kedudukannya kurang baik.

3. Untuk memeriksanya, anda perlu membuka penutup bahagian yang tidak menyala dan keluarkan mentolnya. Kemudian periksa mentol berkenaan menggunakan bateri.

4. Sekiranya selepas diuji lampu masih tidak menyala, bermakna mentol terbakar dan ganti dengan yang baru tetapi sekiranya menyala, mungkin ia disebabkan hubungan antara mentol dan kedudukannya tidak sempurna.

5. Jika kedua-dua lampu brek tidak menyala, besar kemungkinan berpunca daripada fius yang terbakar atau kerosakan pada suis penyalaannya.

6. Jika fius terbakar, ganti dengan fius baru atau gunakan fius pada bahagian lain yang kurang diperlukan terlebih dulu tetapi jika suis penyalaannya rosak, anda perlu menghantar kenderaan ke bengkel untuk diperiksa.

Sumber: Berita Minggu - Sun, Jun 12, 2005 - Perspektif
Post a Comment