Saturday, August 27, 2011

Kawalan & penjagaan kamera

Tip penjagaan

1 Kamera hendaklah dipegang dengan cermat dan berhatihati kerana kesan gegaran, ketukan dan hentakan yang kuat akan merosakkan kamera dan lensa yang digunakan. Gegaran kuat pada lensa akan menyebabkan kedudukan kanta dalam lensa menjadi tidak stabil. akibatnya imej yang dirakam tidak lagi menjadi tajam (sharp) di bahagian tertentu sama ada di tengah, kiri atau kanan imej yang dirakam.

2 Elakkan kamera terdedah kepada sinaran cahaya matahari secara berpanjangan, begitu juga daripada habuk dan debu. pancaran matahari secara terus ke panel LCD menyebabkan ia akan gagal berfungsi dengan baik dan tulisan di dalamnya akan bertukar menjadi kabur. Untuk menghilangkan habuk atau kotoran yang melekat pada lensa pula gunakan berus pembersih (blower brush), kain lembut atau cecair pembersih yang dibuat khas untuk peralatan kamera.

3 Elakkan terkena hujan atau memegang kamera dengan tangan basah bagi mengelakkan litar pintas (short circuit) pada panel penting yang ada pada bahagian badan kamera.

4 Apabila tidak menggunakan kamera atau lampu denyar (flash) dalam jangka waktu agak lama, keluarkan bateri yang ada di dalamnya untuk mengelakkan kerosakan pada sistem peranti elektroniknya.

5 Elakkan kesan jari (finger print) pada cermin lensa. Kesan cap jari mengandungi unsur minyak yang boleh merosakkan lapisan coating atas cermin lensa yang begitu sensitif. Untuk mengelakkan risiko kecacatan lapisan coating, gunakan filter (penuras) bagi mencegah calar (scratch) pada permukaan cermin hadapan lensa. Selalunya penuras yang digunakan ialah UV (Ultra Violet), skylight atau penuras jenis 1a atau 1B.

6 Kedudukan badan yang stabil akan memastikan kesempurnaan dan mutu gambar yang dirakamkan. posisi tangan dan kaki boleh mengurangkan gegaran atau goncangan pada kamera, begitu juga teknik menahan nafas sebelum menekan butang shutter.

7 Gunakan tangan kiri untuk memegang kamera atau pergelangan lensa, tangan kanan untuk mengawal setting atau menekan butang shutter. Kedua-dua siku dirapatkan ke badan untuk menguatkan lagi keseimbangan kamera yang dipegang. (Gambar 1)

8 Pastikan tangan tidak mengepak ketika mengambil gambar, memegang kamera dengan sebelah tangan atau meletakkan tangan kiri di atas lensa kerana cara ini boleh menambahkan lagi bebanan kamera dan mengakibatkan kamera yang dipegang menjadi tidak stabil, boleh bergoyang atau bergegar. (Gambar 2)

9 Ketika mengambil gambar, pastikan juga tali kamera disangkut ke leher kita dan dililit sedikit pada tangan bagi mengelak kemungkinan kamera terjatuh.

10 Jika mengambil gambar cara berdiri, kaki kiri diunjurkan sedikit ke hadapan, seolah-olah memasang kuda-kuda supaya imbangan badan menjadi lebih stabil dan kita tidak mudah tumbang ketika mengambil gambar.

No comments: