Monday, July 25, 2011

Tangani ngilu gigi sensitif

ANTARA perkara yang boleh mengurangkan nikmat makan adalah masalah gigi sensitif. Gigi sensitif bermakna gigi akan terasa sakit dan ngilu apabila mengambil makanan yang sangat sejuk, panas, manis dan masam. Bagaimanapun, kesakitan ini hanya beberapa saat saja dan apabila punca rangsangan dialihkan, kesakitan akan hilang.

Gejala gigi sensitif boleh berlaku pada semua peringkat umur tetapi kebanyakan kes dialami lingkungan usia 20 hingga 40 tahun. Dalam kebanyakan kes, masalah gigi sensitif disebabkan tabiat makan yang tidak sihat iaitu banyak mengambil makanan dan minuman ringan.

Masalah ini juga boleh disebabkan peningkatan penggunaan bahan pemutih gigi (untuk tujuan kosmetik) dan kekerapan menjalani rawatan pembersihan gigi. Bagi wanita, perubahan kitaran hormon terutama ketika hamil, juga boleh menyebabkan mereka lebih mudah mengalami penyakit gusi dan gigi sensitif.

Menurut Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia, Dr Muhamad Muzafar, satu dalam tiga penduduk Malaysia mengalami masalah gigi sensitif tetapi tidak ramai yang tahu rasa ngilu ini adalah tanda kepekaan.

Hampir 60 peratus yang mengalami masalah gigi sensitif tidak menghiraukan rasa ngilu atau sakit. Mereka hanya cuba menghindar makanan yang boleh mendatangkan rasa yang tidak selesa ini.

Bagaimana masalah gigi sensitif berlaku? Gigi kita mempunyai dua lapisan iaitu enamel (lapisan luar yang keras) dan dentin (lapisan dalam bersifat poros dan lembut). Gigi sensitif berlaku apabila lapisan dentin terdedah.

Enamel adalah tisu paling kuat dalam badan dan hanya berkembang ketika gigi terbentuk iaitu ketika usia beberapa hari hingga 12 tahun. Lapisan ini hanya terbentuk sekali seumur hidup dan tidak boleh diperbaharui atau digantikan jika rosak.

Walaupun lapisan enamel ini kuat, ia boleh terlarut akibat hakisan asid (daripada makanan atau asid pencernaan yang tertolak naik ke mulut apabila muntah) yang menyebabkan enamel ini menjadi semakin nipis dan akhirnya mendedahkan lapisan dentin di bawahnya.

"Dentin ialah struktur berliang terdiri daripada berjuta-juta alur halus dinamakan tubul yang menganjur menerusi gigi hingga ke bahagian tengah yang mengandungi saraf. Lapisan dentin juga boleh terdedah jika memberus gigi dengan kasar dan kuat atau jika gusi menyusut.

"Makanan atau minuman sejuk yang terkena lapisan dentin akan memberi rangsangan kepada akar gigi dan ini yang menyebabkan kesakitan.

"Apabila terdedah, perubahan suhu disebabkan makanan dan minuman panas dan sejuk boleh mengakibatkan bendalir dalam liang halus ini mengembang dan mengecut. Proses ini boleh merengsakan saraf dan menyebabkan gigi sensitif mengalami rasa tusukan yang tajam.

"Rasa tusukan ini boleh berupa ngilu halus atau rasa tusukan yang amat sangat," katanya pada pelancaran ubat gigi Sensodyne Repair and Protect.

Hadir sama, bekas Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia, Datuk Dr How Kim Chuan, Naib Presiden GlaxoSmithKline Consumer Healthcare International Asia Tenggara, Akhil Chandra dan Perunding Pergigian, Dr Haja Badrudeen.

Antara langkah yang boleh diambil bagi mencegah masalah gigi sensitif:

* Kurangkan pengambilan makanan dan minuman ringan serta berasid.

* Minum menggunakan straw yang dihala ke belakang mulut bagi mengurangkan minuman daripada terkena gigi.

* Jangan kemam jeruk, buah-buahan masam atau gula-gula. Lebih baik elak mengambil makanan dalam kumpulan ini.

* Bersihkan gigi (berus gigi) atau sekurang-kurangnya berkumur dengan air setiap kali selepas makan untuk mencairkan gula atau asid dalam mulut.

* Sesetengah cecair kumur mempunyai pH rendah. Ia juga boleh menipiskan lapisan enamel. Justeru, pilih cecair kumur yang dikhususkan untuk gigi sensitif.

* Gunakan berus gigi yang lembut.

* Belajar memberus gigi dengan cara betul bagi mengelak kerosakan gigi dan gusi.

* Jangan mencungkil sisa makanan yang terlekat di celah gigi selepas makan. Ia membuatkan masalah anda bertambah buruk. Cara terbaik untuk mengeluarkan sisa makanan dalam mulut ialah dengan memberus gigi.

* Individu yang mengetap gigi ketika tidur disaran memakai pelindung gigi (sarung gigi bagi mengelakkan berlakunya penipisan lapisan enamel).

* Bagaimanapun, bagi mereka yang sudah ada masalah ini, jangan bimbang kerana kini ada kaedah baru dan mudah untuk mengatasi masalah anda. Ubat gigi Sensodyne Repair and Protect yang mengandungi NovaMin, suatu formula unik yang berakarumbikan teknologi dicipta untuk membantu merangsang penjanaan semula tulang.


Sumber: Harian Metro - Jul 18, 2011
Oleh: Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

No comments: