Wednesday, June 8, 2011

Ajar anak dengan perkataan baik-baik

PROSES pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian, iaitu:

* Bagi ibu mengandung digalakkan supaya memperbanyakkan bacaan al-Quran terutama surah Yusuf, Mariam, Luqman dan At-Taubah.

* Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah supaya anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.

* Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada darah daging yang halal.

* Ibu hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan.

Faktor kesihatan amat dititikberatkan oleh Islam sehingga memberikan kelonggaran kepada ibu mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.

* Ketika mengandung, ibu perlu menyesuaikan diri dengan perubahan perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu biasa, terutama bagi ibu yang bakal melahirkan anak sulung.

Mungkin selera makannya hilang, perasaan agak terganggu (sensitif) dan hatinya boleh berdebar-debar kerana bayi dalam kandungannya itu adalah sebahagian daripada dirinya. Ketika ini suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri serta memberi dorongan yang kuat kepadanya

* Setelah anak dilahirkan, hendaklah segera diazankan telinga kanannya dan diiqamatkan telinga kirinya.

Abu Rafi meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Aku melihat sendiri Rasulullah SAW mengazankan Hasan bin Ali pada telinganya ketika dia baru dilahirkan oleh Fatimah." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

* Sebagai suapan yang pertama, sunat bayi disuapkan dengan manisan seperti madu dan kurma. Abu Musa Al Asyari dalam sebuah riwayat mengatakan: "Isteriku melahirkan seorang anak. Bayi itu ku bawa kepada Rasulullah SAW. Baginda menamakannya Ibrahim, kemudiannya disuap dengan buah kurma (yang telah dilumatkan) setelah itu Baginda mendoakan keberkatan baginya lalu bayi itu diserahkan kembali kepadaku." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

* Pada hari ketujuh kelahirannya, ibu bapa disunatkan bersedekah dengan melakukan ibadah akikah untuk anaknya.

Seekor kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki.

Rambutnya pula sunat dicukur keseluruhannya supaya kepalanya bersih, otaknya cergas dan rambut barunya tumbuh dengan subur dan sihat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Setiap anak yang baru dilahirkan bergantung kepada akikahnya. Hendaklah diakikahkan dengan menyembelih kambing pada hari ketujuh, diberi nama pada hari itu dan dicukur kepalanya." (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Nasa)

* Bagi ibu yang menyusukan anak, ia perlu makan makanan yang halal, bersih, dan berzat. Ketika menyusukan anak, hatinya hendaklah selalu mendoakan kejayaan anaknya. Ketika hendak tidur, dodoikan (lagukan) dengan kalimah memuji Allah dan Rasulnya seperti nasyid dan sebagainya.

* Apabila anak sudah mulai pandai bercakap, hendaklah membiasakannya dengan percakapan yang baik-baik seperti selawat dan zikir.

Sumber: Berita Harian - May 1, 2006 - Main Section

No comments: