Monday, January 10, 2011
Pengganti beg plastik
NAMA Furoshiki sememangnya asing bagi kita, tetapi inilah jawapan atau antara alternatif penggunaan beg plastik di negara kita, lebih-lebih lagi selepas kerajaan mengumumkan Hari Tanpa Beg Plastik bagi seluruh negara, berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Furoshiki adalah jenis kain pembungkus tradisional Jepun yang digunakan untuk mengisi pakaian, membungkus hadiah dan pelbagai barangan lain.
Sejak kebelakangan ini, timbul suatu minat baru rakyat Jepun memelihara alam sekitar termasuk kempen mengurangkan penggunaan plastik serta kitar semula.
Furoshiki kembali mendapat tempat di hati rakyat Jepun tetapi penggunaannya masih belum meluas berbanding zaman kegemilangannya dan kini banyak digunakan di tempat makan siang (bento) dan alas meja makan.
Pada 6 Mac 2006, Menteri Alam Sekitar Jepun, Yuriko Koike, mempromosikan furoshiki untuk digunakan dalam dunia moden sekali gus meningkatkan penggunanya sehingga ke hari ini.
Penggunaan Furoshiki dikatakan bermula pada zaman Nara (710 hingga 794 Selepas Masihi) tetapi orang ramai memanggilnya dengan gelaran Furoshiki semasa zaman Muromachi (dari 1336 hingga 1573 Sebelum Masihi).
Sebelum itu, furoshiki pernah dikenali sebagai lipatan Hirazutsumi sebelum ia berkembang dan digunakan peniaga untuk mengangkut barang dagangan atau melindungi keperluan serta membungkus hadiah.
Ia boleh digunakan untuk membalut pelbagai jenis barang dengan pelbagai bentuk menggunakan teknik ikatan riben dan punca kain yang hadir dalam pelbagai corak dan warna pada kain. Corak paling popular ialah Araiso (ombak dan ikan) yang melambangkan kemakmuran, kejayaan dan kehidupan abadi manakala corak Asanoha (bentuk daun ganja) pula adalag simbol kesihatan yang bagus kerana ia adakah lambang perkembangan kuasa serta tenaga.
Penulis yang menyertai program `Honda Eco Insight Trip' anjuran Honda, baru-baru ini, berpeluang mempelajari teknik membungkus Furoshiki di pusat kebudayaan dan pengembangan Jepun, Kelab Chayu KuMon berpangkalan di Tokyo.
Timbul rasa kagum melihat ramai sukarelawan dan pelajar di situ yang begitu aktif mempromosikan budaya bangsa mereka semata-mata demi menyokong pemuliharaan alam sekitar serta memastikan tradisi mereka tidak berkubur.
Hanako Fujisawa, 43, dan Yukiko Fukaumi, 29, adalah antara tenaga pengajar di kelab berkenaan yang terkenal dengan teknik Ma'musubi dan Syembol (simpul).
Yukiko berkata, kain yang digunakan juga melambangkan individu dan identiti kaum mereka kerana lambang tertentu biasanya milik eksklusif golongan tertentu.
"Penggunaan cukup banyak. Orang dulu sering berdagang, bertandang ke rumah keluarga yang jauh. Sudah tentu mereka akan membawa buah tangan atau hadiah.
"Cara paling baik memastikan barangan kekal elok sepanjang perjalanan ialah membungkusnya dalam Furoshiki kerana ia boleh digalas, diikat pada belakang atau dipegang," katanya.
Kain berbentuk segi empat dengan saiz antara 45 sentimeter (sm) hingga 90 sm itu boleh digunakan untuk membungkus barangan empat segi, botol, buahan tetapi ia akan dibungkus mengikut bentuk asal barang bungkusan akan mempunyai satu hujung ikatan yang mempunyai tempat pemegang membolehkan pemilik membawanya dengan selesa dan tidak terlucut.
Bahkan, menurut Yukiko, kain yang sama boleh digunakan sebagai selimut atau alas tempat tidur kerana kebiasaannya pedagang akan merantau jauh sebelum sampai ke destinasi. Mereka mengeluarkan sementara barangan dan menggunakan furoshiki sebagai pemanas badan.
Namun, menjadi pantang larang orang Jepun, sekiranya memberikan hadiah dalam bungkusan Furoshiki, mereka sesekali tidak akan menerima hadiah `timbal balas' daripada penerimanya.
"Ia dianggap tidak menghormati pemberian ikhlas pemberi. Mereka bukan berdagang, cuma memberikan hadiah dan perlu diterima dengan ikhlas. Kadang-kadang hadiah timbal balas itu boleh dianggap menghina," katanya.
Kini, penggunaan Furoshiki semakin berkembang bahkan penduduk Jepun mula mereka cipta pelbagai corak menjadikannya menarik dan cantik hinggakan ada kedai yang menggunakan dekorasi furoshiki sebagai tarikan ke pusat perniagaan mereka.
Info
Jenis kain Furoshiki moden
* Sutera
* Kapas
* Rayon
* Nilon
* Chirimen
Sumber: Berita Minggu - BM Dua - Oleh Mohd Azis Ngah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
nice entry..maybe kita pon boleh praktikkan disini :D
Sebenarnya susah jugak kalau takde plastik ni... tapi kalau balik dari giant mmg banyak pelastik dalam tong sampah... hahaha... PEACE...
Nadia Abdullah: Kita Boleh!!!
dkama: Sebenarnya takdenya susah takde plastik nih... cara kita sekarang yang membuatkan kita berfikir macam tu. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih, yer tak??? PEACE :D
Post a Comment