Wednesday, December 1, 2010

Lorong kecemasan bukan untuk memotong


PERNAHKAH kenderaan anda mengalami masalah ketika memandu di lebuh raya? Jika situasi ini berlaku, pasti anda akan terus menuju ke lorong kecemasan sebagai tempat yang anda rasakan selamat untuk memeriksa kerosakan pada kenderaan atau menunggu sehingga bantuan tiba.

Inilah fungsi sebenar lorong kecemasan disediakan dan terdapat di lebuh raya. la jelas sekali hanya boleh digunakan sewaktu kecemasan seperti kemalangan atau kerasakan kenderaan sahaja. Selain itu, ia juga dikhaskan untuk kenderaan bantuan kecemasan seperti polis, bomba, dan ambulans melaluinya.

Namun, setiap kali melalui lorong ini anda perlulah menyalakan lampu kecemasan (hazard light) sebagai tanda memberitahu pengguna lebuhraya bahawa anda mengalami kecemasan dan mereka perlu berhati-hati apabila menghampiri kenderaan anda.

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa lorong kecemasan sangat penting dan tiada kompromi penggunaanya melainkan untuk tujuan yang dinyatakan di atas. Seharusnya semua pengguna jalan raya arif dalam isu ini dan memahami fungsi lorong kecemasan.

Bagaimanapun, masih ada segelintir pemandu-pemandu di negara ini masih memandang ringan perkara tersebut. Malah mereka menyalahgunakan lorong kecemasan tersebut untuk memotong terutama ketika berlakunya kesesakan di lebuhraya.

Malah, terdapat segelintir pemandu menggunakan lorong kecemasan untuk menjawab panggilan telefon. la juga satu kesalahan. Sikap `tak apa sekejap sahaja' tidak wajar ada dan diterapkan dalam diri. Sediakan alat kawalan bebas tangan dan gunakannya untuk menjawab sebarang panggilan telefon.

Lazimnya kesesakan yang teruk akan berlaku di lebuh raya sekiranya berlaku kemalangan. Jesteru, jika anda melalui lorong kecemasan ini untuk memotong dalam kesesakan, ia akan meyukarkan bantuan kecemasan seperti ambulan untuk memberi bantuan. Di sinilah antara pentingnya lorong kecemasan.

Sekiranya anda pernah melakukan kesalahan tersebut diharap ia adalah kali terakhir kerana tindakan anda itu akan menggangggu kenderaan yang benar-benar berada dalam kecemasan dan memerlukan bantuan. Sikap yang tidak bertanggungjawab ini boleh mengundang pelbagai masalah.

Jadilah seorang pemandu berhemah dan amalkan etika pemanduan yang tinggi dalam diri. Ikuti peraturan yang ditetapkan kerana peraturan tersebut demi menjamin keselamatan semua. - Majalah Auto Touch

No comments: