Thursday, December 23, 2010

Keistimewaan kentang


RASANYA yang enak dan boleh dimasak pelbagai cara menjadikan ubi kentang diterima serta disukai oleh kebanyakan masyarakat dunia. Itulah antara kelebihan ubi kentang yang bukan saja menjadi bahan penting dalam masakan Eropah atau barat tetapi juga popular di Asia.

Lebih menarik, ubi kentang boleh dimasak dengan pelbagai cara termasuk direbus, digoreng, dipanggang dan sebagainya serta sedap jika dicampurkan dalam aneka masakan seperti kari, lemak cili padi, sup, salad dan banyak lagi.

Bukan itu saja, ubi kentang boleh dimanfaatkan sebagai bahan resipi masakan yang membangkitkan selera dan mempelbagaikan cita rasa seperti dilenyek untuk dijadikan krim putar atau menambahkan kepekatan sup, dibuat doh dan dicampur bahan lain supaya boleh dibuat kuih dan pelbagai lagi.

Sementara itu, melalui kepakaran dan pengalaman lebih 14 tahun dalam bidang masakan, Chef Eksekutif, Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Rajesh Kanna menghasilkan 13 resipi baru berasaskan ubi kentang.

Dengan menggunakan tujuh jenis ubi kentang berbeza dari US Potatoes iaitu Blue & Purple, Fingerlings, Round Reds, Round Whites, Yellow Flesh, Long Whites dan Russets, Rajesh mengetengahkan pelbagai gaya masakan yang mana semua dicipta mengikut daya kreativitinya.

Rajesh berkata, ubi kentang memang cukup istimewa, sedap dimakan dan banyak khasiat untuk kesihatan serta boleh dipelbagaikan dalam menghidangkan sesuatu masakan.

"Ubi kentang US Potatoes adalah antara ubi kentang berkualiti tinggi dihasilkan dan ia ada banyak jenis dengan beberapa warna yang jarang dilihat seperti merah dan ungu. Ubi kentang itu bukanlah baru dibawa ke Malaysia tetapi amat jarang digunakan. Lazimnya, ubi kentang dalam warna berbeza itu digunakan dalam menyajikan hidangan bermutu tinggi," katanya ketika ditemui pada seminar All Abour US Tablestock Potatoes di ibu negara, baru-baru ini.

Antara resipi baru yang diperkenalkan Rajesh ialah nasi briyani, Vegetarian Briyani with US Russet Potato Curry, tat, US Round Red Potato and Onion Tart with Nut Chutney, lasagna, US Fingerling Potato Lasagna with Spicy Peanut Butter Tossed Arugula Salad dan aiskrim.

Beliau berkata, mencipta resipi baru itu memberikan cabaran dan pengalaman baru kerana ada di antaranya bukan mudah dihasilkan sebaliknya terpaksa dibuat beberapa kali sehingga berjaya menghasilkan apa yang dikehendaki serta memuaskan hati.

"Untuk mengetahui jenis sesuatu ubi kentang itu sesuai dengan resipi dan cara masakan dipilih, saya perlu mencubanya dan jika tidak menjadi, terpaksalah `eksperimen' dengan jenis ubi kentang yang lain. Ini kerana setiap jenis ubi kentang berkenaan adalah berbeza termasuklah dari rasanya, tekstur dan sebagainya.

Oleh sebab itulah ada di antaranya mungkin sesuai dipanggang atau digoreng tetapi tidak sesuai direbus. Jika direbus juga ia cepat hancur dan akan menghilangkan rasa sedapnya. Contohnya, ubi kentang jenis Russet memang sesuai dan sedap dimasak bersama kari tetapi jika masukkan Blue & Purple, ia boleh jadi lembik," jelasnya.

Rajesh berkata, antara resipi baru disediakan yang menjadi kegemarannya ialah ais krim dan lasagna kerana kedua-dua hidangan itu paling memberikan cabaran dan benar-benar menguji pengalaman serta kemahirannya.

Katanya, pengalaman menghasilkan ais krim asparagus sebelum ini memberinya idea untuk menampilkan resipi ais krim yang menggunakan ubi kentang sebagai bahan utama. Ciri-ciri ais krim yang mudah cair dan terlalu berair apabila ubi kentang dijadikan bahan utama menyebabkan Rajesh terpaksa berulang kali mencuba sebelum berjaya menghasilkan resipi baru berkenaan.

Bagi resipi lasagna, Rajesh cuba menampilkan kelainan dengan menggunakan ubi kentang selain dari penggunaan ayam sebagai bahan utama dan lazim digunakan bagi menyediakan hidangan itu.

Selepas mencuba dan berjaya menghasilkan resipi itu, didapati hidangan lasagna daripada ubi kentang juga tidak kurang sedap rasanya seperti lasagna yang menggunakan ayam.

Untuk yang baru mencubacuba belajar menyediakan hidangan berasaskan ubi kentang dan ingin menikmati rasa yang enak, Rajesh menyarankan mulakan dengan kaedah memasak cara panggang. Bagi menambahkan keenakan, jangan lupa meletakkan garam dan lada hitam.

"Menikmati hidangan berasaskan ubi kentang memang menyelerakan dan bagi menambah kesedapannya, bangkitkan cita rasa hidangan itu dengan mencuba pelbagai gaya atau cara memasak," katanya.

Kentang tidak menggemukkan

MUNGKIN ada yang bimbang untuk memakan atau mengambil ubi kentang dalam menu makanannya kerana ia dikatakan boleh menyebabkan punca kegemukan.

Fakta itu ternyata tidak tepat kerana jumlah lemak ubi kentang adalah di bawah paras 25 peratus dan membekalkan karbohidrat kompleks manakala kandungan kalorinya adalah rendah, malah dikenali sebagai bahan makanan yang bebas kolesterol.

Pakar pemakanan dari Persatuan Dietetik dan Pemakanan Singapura, Kalpana Bhaskaran, berkata ubi kentang adalah sayuran yang sihat dan penuh dengan nilai khasiat yang baik untuk kesihatan.

Beliau berkata, antara khasiat utama ubi kentang ialah kaya dengan potassium, vitamin C (sumber kedua selepas oren) yang mampu menjamin sistem ketahanan badan dan serat atau gentian kepada gula dalam darah serta pengawalan tekanan darah.

"Ubi kentang tidak menggemukkan, sebaliknya mentega atau krim yang dicampurkan ke dalam makanan atau cara kita memasak ubi kentang yang memberikan tanggapan silap bahawa makanan itu boleh membuatkan berat badan," katanya.

Bhaskaran menambah, ubi kentang juga kaya dengan vitamin seperti B1, B2 dan B3 serta sedikit kandungan protein dan zat besi serta tiada sodium. Selain itu mengambil ubi kentang dapat mencegah beberapa penyakit dan membantu dalam pelepasan tenaga dari makanan yang kita makan.

Katanya, khasiat antioksidan dalam ubi kentang memberikan kebaikan untuk melindungi sel daripada radikal bebas. Begitu juga kandungan mineralnya dapat membantu membina tulang dan gigi yang kuat manakala karbohidrat kompleks tinggi terdapat pada ubi kentang adalah sebagai sumber baik untuk tenaga.

"Apabila memakan ubi kentang yang belum dikupas kulitnya ia dapat menambahkan serat dalam pengambilan makanan anda. Mengambil serat dan air dapat mencegah sembelit dan mengurangkan kepedihan rasa lapar," katanya.

Mengenai pengambilan ubi kentang yang boleh terdapat dalam pelbagai warna, termasuk merah, biru, ungu dan perang dalam menu harian Bashkaran berkata, kepelbagaian warna itu dapat meningkatkan kesihatan.

Tambahnya, kepelbagaian warna membuatkan ia mengandungi pigmen anthocyanins yang mana ia adalah antioksidan hebat dan membantu melindungi penyakit. Malah, kajian yang dibuat menunjukkan salah satu sumber kaya antioksida dalam diet manusia adalah ubi kentang.

INFO

Ubi kentang

* Tumbuhan yang berasal dari Bolivia dan Peru ditanam sejak 7,000 tahun dulu.

* Menjadi bahan penting dalam masakan Eropah sejak abad ke-16 apabila orang Sepanyol membawa keluar dari Amerika Selatan itu.

* Ubi kentang adalah lima kelompok besar makanan pokok dunia selain gandum, jagung, beras, dan terigu.

* Ada beratus-ratus jenis ubi kentang yang tumbuh di serata dunia adalah dari keluarga Solanaceac iaitu seperti terung dan tomato.

* Ubi kentang kaya vitamin C dan hanya dengan makan 200gm kentang, keperluan vitamin C sehari dapat dipenuhi.

* Kulit ubi kentang kaya dengan clorogenic polypherol yang dikatakan dapat membantu mengelakkan daripada mutasi sel yang boleh membawa kepada barah.

* Kajian mendapati, hirisan ubi kentang mentah dan juga jusnya dianggap boleh membantu mengurangkan kesakitan penyakit yang menyerang sendi (arthritis) dan radang otot dan sendi (rheumatism).

* Kesakitan biasa seperti salah urat atau tergeliat, luka kecil dan kebakaran ringan dapat dilegakan dengan cara melekapkan hirisan kentang di tempat berkenaan selama 15 minit atau lebih.

* Sos ubi kentang yang digunakan untuk sos salad dikatakan boleh mengurangkan luka, mengelakkan jangkitan dan mengurangkan kesakitan serta pencemaran bakteria.

* Ubi kentang diparut yang ditepekkan pada bahagian mata mampu menghilangkan lingkaran hitam pada mata dan sekiranya dicampur bersama krim putar boleh melambatkan kedutan di muka.

* Ubi kentang lecek (tanpa mentega) boleh memutihkan dan melembutkan tangan. Ini menunjukkan kentang bukan saja bermanfaat untuk tujuan perubatan, malah turut menyumbang dalam bidang kecantikan.

* Ubi kentang juga mempunyai kelemahan kerana indeks glycemia yang cukup tinggi dalamnya dan mengandung solanin boleh menaikkan insulin serta gula dalam darah dengan cepat sehingga mengakibatkan penderita diabetes mual, muntah dan cirit-birit.

* Cara memilih ubi kentang yang baik adalah tidak bertunas dan tidak berlubang, kerana keadaan itu boleh mengakibatkan busuk akibat masuknya mikrob.

* Hindari ubi kentang dengan kehijauan kerana selain rasanya agak pahit kualiti nutrisi sudah menurun.

* Cara menyimpan ubi kentang ialah memasukkannya dalam plastik tertutup di tempat kering dan terlindung dari sinar matahari.

Sumber: Berita Harian - Thu, Dec 23, 2010 - Sentral 
Oleh Nor Affizar Ibrahim

No comments: