Monday, November 29, 2010

Dapur selesa keluarga gembira



JIKA bertanya kepada wanita dalam banyak tempat di rumah, ruang manakah paling digemari selain bilik tidur, ramai yang menjawab tentulah bahagian dapur.

Dapur begitu penting bagi wanita kerana di sinilah mereka menggunakan kemahiran untuk menghasilkan hidangan istimewa buat keluarga. Malah, bagi suri rumah, kebanyakan daripada masa mereka dihabiskan di dapur.

Umpama petua orang tua...`menawan hati suami melalui perutnya', maka di dapurlah wanita yang bergelar isteri dan ibu menunjukkan kebolehan mereka menyediakan sajian istimewa memikat selera keluarga.

Sebab itulah jika di kampung, kebanyakan rumah mempunyai dapur yang luas kerana banyak masa dihabiskan di sini. Namun, bagi kita di bandar yang memiliki rumah teres tentulah terpaksa akur dengan keluasan rumah yang ditetapkan pemaju. Paling tidak pun, hanya mengubah suai hingga habis ke belakang.

Justeru, bagi mengubahsuai dapur memerlukan ketelitian dan reka bentuk yang sesuai dengan keadaan keluasan tanah yang terhad. Tidak hairanlah jika ada yang memilih untuk mendapatkan khidmat juru hias atau pereka hiasan dalaman bagi menyuntik pembaharuan pada ruang dapur.

Biarpun terpaksa mengeluarkan belanja besar tetapi kepakaran mereka dapat membuatkan ruang dapur cantik, teratur dan menepati cita rasa sekali gus memberikan kepuasan ketika anda berada di dapur.

Bagi mengubahsuai bahagian dapur, pastikan corong asap tidak menghala ke rumah jiran kerana ini boleh mengganggu ketenteraman dan keselesaan kejiranan yang terpaksa menghidu bau setiap masakan anda.

Selain itu, lengkapkan ruang dapur anda dengan tempat penyimpanan yang cukup dan praktikal. Letak peralatan atau perkakas yang diperlukan dan jangan melonggokkan barangan lain di atas permukaan kerja. Apa kata jika anda menyediakan tempat menggantung untuk barangan yang boleh disangkut atau digantung.

Pastikan barang mudah dicapai dan senang disimpan semula.

Jika ruang dapur sempit, anda boleh membuatkannya kelihatan luas secara ilusi dengan mengecat dinding warna putih, gunakan kabinet siap dibeli bentuk kompak. Sebaiknya elakkan menempatkan kabinet siap dipasang kerana pasti memerlukan banyak ruang.

Beruntungnya anda jika memiliki rumah yang ruang dapurnya. Anda boleh mengasingkan kepada dua kegunaan iaitu ruang dapur kering dan basah, wujudkan sudut membaca, sudut kerja atau tempatkan televisyen yang pasti menjadi tempat berkumpul untuk sekeluarga serta cat dindingnya dengan dua tona bersesuaian supaya lebih ceria.

Ruang dapur juga adalah tempat terbaik untuk melakukan kerja sampingan seperti membaca/membalas surat, menjahit baju atau butang, menggunting peraduan dari surat khabar atau menjawab teka silang kata.

Walaupun apapun, jangan hanya memiliki ruang dapur yang luas dan cantik tetapi anda mengabaikan aspek keselamatan. Pastikan wayar perkakas elektrik tidak menjalar atau berselirat di atas meja kerja ataupun permukaan unit dasar serta tidak berkongsi satu punca kuasa elektrik.

Bagi yang bercadang mengubah suai ruang dapur, anda tentu sedang mencari kontraktor atau syarikat hiasan dalaman yang berwibawa.

Jangan susah kerana anda boleh merujuk di dalam 1Klassifieds yang banyak disiarkan iklan kontraktor dan juru hias dalaman yang menawarkan pelbagai perkhidmatan mengubah suai dan menghias rumah.

Sebaik-baiknya anda membuat `survey' dan perbandingan harga di antara syarikat berkenaan bagi mendapatkan harga yang benar-benar memuaskan hati dan perkhidmatan yang berbaloi dengan wang dikeluarkan.

Sumber: Berita Harian - Sat, Nov 27, 2010 - 1Klassifieds

No comments: