NAMA yang sedap didengar akan sentiasa disebut atau berlegar-legar di dalam minda. Nama seperti panggilan Alia, Batrisya, Diana, Sarah atau Putri, dianggap sebagai nama moden dan menjadi pilihan ibu bapa zaman kini.
Rogayah, Halimah, Patimah atau Kalsom kadang kala dieja Kalthom adalah nama yang lebih popular dipilih oleh ibu bapa atau penjaga pada zaman dulu. Sejauh mana kebenarannya, tiada kajian atau pemerhatian khusus dilakukan, sebaliknya aliran semasa menjadi kayu ukur mengenai populariti nama.
Kebenarannya, nama mempunyai maksud tersirat dan tersurat. Tersirat di sini merujuk kepada maksud daripada aspek hukum agama seperti Nur Ain membawa pengertian `cahaya mata' atau ada sesetengah nama adalah gabungan nama ibu bapa.
Merujuk kepada nama klasik, pada satu ketika, nama bunga begitu popular Melor, Jasmin, Mawar dan Cempaka yang dipermodenkan ejaannya menjadi Chempaka atau Yasmeen. Mungkin juga anda pernah mendengar nama Putih, Embun, Burok, Mek, Ngah atau Long.
Zaman beredar dan evolusi tercipta dengan sendiri selaras dengan perkembangan dan peningkatan taraf hidup manusia. Perasan atau tidak, nama Danial dan Danish pernah menjadi kegemaran ibu bapa pada era ini anak mereka yang dilahirkan.
Ada beberapa nama unik yang pernah penulis temui antaranya Safir Alagamidi, Badrulnishamshaifah, Roshishamwaty dan beberapa lagi yang pastinya mempunyai kisah tersendiri di sebalik nama mereka.
Walau apa pun alasan diberikan, nama adalah panggilan kekal yang akan disebut hingga ke saat akhir ketika jasad sehingga ke liang lahat. Baik atau buruk maksudnya, ia adalah perhitungan kita dengan Pencipta dan ibu bapa juga sering disaran menamakan anak dengan nama memberi maksud yang baik.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jainisah Mohd Noor, berkata tiada sebarang syarat atau peraturan khusus dikenakan JPN kepada orang awam yang ingin mendaftar kelahiran anak mereka.
"JPN tidak meletakkan syarat khusus dalam pemberian nama kanak-kanak oleh ibu bapa. Keputusan untuk pemberian nama adalah bergantung kepada ibu bapa itu sendiri atau pemaklum kelahiran sepenuhnya.
"Bagaimanapun, garis panduan pemberian nama kanak-kanak di dalam Sijil Kelahiran yang dikeluarkan JPN melarang meletakkan nama anak atas gelaran atau anugerah diberikan negara, contohnya Tun, Tan Sri, Datuk, Datuk Seri dan Datuk Patinggi atau Sultan," katanya.
Selain nama berkenaan, nama pangkat atau jawatan seperti haji, mufti, kadi, ketua menteri dan kapten; nama profesional, Dr, Ir, Profesor dan Diplomat; nama kepahlawanan contohnya mahaguru, pahlawan, pendekar dan panglima tidak dibenarkan.
"Nama lucah dan yang membawa maksud tidak baik seperti Zina; nama buruk seperti Buruk, Malang, Sial, Pungut, Hapak serta nama initial juga tidak boleh. Jika ibu bapa ingin meletakkan nama lain kepada anak mereka, hanya satu nama saja dibenarkan.
"Nama ringkas atau kependekan daripada nama sebenar juga tidak boleh seperti Mohd (Muhammad), Ab (Abdul), P (Puteri), R (Raja) manakala nama keturunan hanya dibenarkan jika ibu atau bapa kanak-kanak mewarisi nama keturunan dan mempunyai ikatan perkahwinan yang sah saja," katanya.
Beliau berkata, nama kanak-kanak di dalam Sijil Kelahiran boleh diubah sebelum mencapai umur setahun atas sebab yang munasabah. Pemohon perlu mengemukakan sebab yang menyokong permohonan penukaran nama.
"Bilangan permohonan penukaran nama di dalam sijil kelahiran bagi Januari hingga Jun 2010 adalah seperti berikut berdasarkan Statistik Permohonan Seksyen 15 (1). Pada Januari ada lima permohonan penukaran nama, Februari (tujuh), Mac (tiga), April (dua), manakala Mei dan Jun masing-masing (lima) menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 27," katanya.
Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Zamri Abu Hassan, berkata masyarakat Melayu cenderung menamakan anak mengikut keadaan, hari, bulan atau peristiwa tertentu yang akan dilihat serasi dengan anak yang baru dilahirkan.
"Begitupun, ada perbezaan antara menamakan anak selepas dengan sebelum kedatangan Islam di Tanah Melayu. Jika sebelum kedatangan Islam, nama yang diberikan lebih kepada peristiwa yang berlaku semasa kelahiran.
"Contohnya ibu bapa merujuk kepada hari anak dilahirkan. Sebab itu ada yang menamakan anak mereka dengan nama hari seperti Ahad, Sabtu, Jumaat, Khamis dan Rabu malah ada memilih nama bulan," katanya.
Beliau menjelaskan, pada zaman dulu, ramai yang memilih nama sama seperti Ismail, Mohamad, Daud atau Ramli menyebabkan masyarakat menambah gelaran pada bahagian hujung nama untuk mengelakkan kekeliruan.
"Justeru, zaman dulu kita sering dapati ada gelar tertentu di bahagian hujung nama seperti untuk memberi tanda supaya senang dikenali.
"Fenomena lain yang sering dijadikan rujukan untuk menamakan anak adalah individu terdahulu yang kemungkinan mempunyai pengaruh tersendiri. Jika pembawa nama Amirul mempunyai tingkah laku yang tidak elok, nama berkenaan tidak akan diguna pakai oleh ibu bapa yang mengenali si Amirul ini.
"Begitu juga jika nama yang digunakan agak tidak popular, tetapi orangnya mempunyai budi pekerti mulia dan berjasa, tidak mustahil nama itu akan disebut atau dinamakan untuk anak mereka," katanya.
Selepas kedatangan Islam, katanya, banyak nama anak dirujuk kepada nama Arab yang mempunyai maksud tertentu atau membawa maksud baik.
Zamri turut tidak menolak pandangan nama membawa pengaruh besar kepada pemilik. Jika tidak sesuai dengan nama yang diberikan, individu berkenaan mungkin kerap mengalami masalah kesihatan atau hal seumpamanya.
"Sebab itulah pemberian nama itu penting kerana selain keserasian, ia menjadi sebutan sehingga ke akhir hayat. Bagaimanapun, kini banyak nama panjang digunakan ibu bapa untuk menamakan anak mereka yang baru dilahirkan.
"Hal ini kerap berlaku terutama kepada anak sulung. Tidak kira ibu, bapa, datuk dan nenek, semuanya ingin menamakan bayi yang dilahirkan mengikut nama yang mereka pilih. Jadi, si kecil terpaksa menggunakan empat nama kerana memenuhi kehendak orang dewasa," katanya.
Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor, berkata ada nama boleh mencetus kesan tertentu kepada individu terutama kanak-kanak dan remaja.
Selain itu, di kalangan kanak-kanak umpamanya timbul satu fenomena mengenai nama atau panggilan kerana si kecil cenderung memilih rakan mengikut nama yang mereka gemar atau minat dengan panggilan bergantung juga kepada persekitaran.
"Jika diperhatikan, pola pergaulan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk. Satu daripadanya adalah memilih rakan mengikut nama atau rupa.
"Sebab itu, jika dilihat ada kumpulan kanak-kanak semuanya cantik manakala ada kumpulan yang mempunyai nama dianggap paling canggih. Hal ini mempengaruhi keyakinan diri mereka. Kalau berlaku di kalangan remaja, ia tidak membimbangkan kerana mereka sudah boleh memikirkan baik dan buruk," katanya.
"Panggilan gelar atau pangkat juga mempengaruhi kita dan persekitaran. Rantaian nama dalam keluarga seperti cucu perempuan dinamakan dengan nama nenek. Begitu juga dengan nama anak lelaki diberi nama datuknya.
"Keadaan ini akan mewujudkan keadaan penama akan dibandingkan dengan penama terdahulu terutama aspek perangai atau tabiat. Ia boleh juga menimbulkan impak positif kerana orang dewasa pasti menasihatkan berperangai baik-baik seperti nenek atau datuk," katanya.
Tidak rancang nama anak
Bagi Pengamal Perundangan, Nor Aziah Mamat dan suami, Zainuddin Ariffin, kedatangan ahli baru dalam keluarga amat dinantikan, tetapi tidak pernah merancang nama anak terlebih dulu sebaliknya mereka mendapat ilham secara spontan untuk menamakan setiap cahaya mata seramai tujuh orang.
"Saya dan suami memang ada membeli buku panduan menamakan anak, bahkan kami membaca dan merujuk nama yang berkenan di hati, tetapi sering tidak menjadi.
"Apa yang sentiasa berlaku adalah selepas habis tempoh 40 hari, barulah kami mendapat ilham untuk menamakan anak dengan nama yang terlintas di dalam minda," katanya ketika ditemui di kediamannya, baru-baru ini.
Nor Aziah, 39, ibu kepada Mohammad Firdaus Danial, 15; Fatin Amalina Hayati, 14; Muhammad Zaim, 9; Nurina Hasanah, 7; Muhammad Ziyad, 5; Sarah Diana, 4; dan Danisha Qistina (setahun setengah) mengakui beliau hanya memanggil anak dengan panggilan ringkas seperti anak sulung dipanggil `abang' manakala anak sulung perempuan dipanggil `kakak' saja.
"Nama Nurina Hasanah pula kami peroleh melalui mimpi suami. Beliau bermimpi berjumpa dengan seseorang yang menyebut nama Hasanah dan kami tahu `Hasanah' mempunyai makna yang elok.
"Sesudah berbincang, kami sepakat menambah nama Nurina di depan nama Hasanah. Jadi Nurina Hasanah mempunyai dua nama seperti adik-beradiknya yang lain dan tidak akan timbul pertanyaan apabila dia dewasa kelak," katanya.
Sumber: Berita Harian/Sentral - Oleh Shaidah Shafie
1 comment:
nama saya dipilih oleh ayah saya...hehehe cantik saya suka..
Post a Comment