Thursday, July 29, 2010

Penyakit korda suara

KITA sering mendengar cerita mengenai penyanyi atau personaliti dinasihatkan 'merehatkan' suara beberapa minggu sebelum boleh mula aktif bercakap semula kerana mengalami masalah peti suara.

Ngeri juga memikirkan jika kita tiba-tiba hilang suara sebaik bangun daripada tidur, terutama bagi individu yang mencari makan dengan menggunakan suara. Adakah suara kita akan kembali atau hilang buat selama-lamanya?

Kehilangan suara akibat masalah peti suara bukan perkara mustahil, tetapi banyak langkah awal untuk mencegahnya. Suara adalah harta penting bukan saja untuk berkomunikasi bahkan bagi hampir semua pekerjaan. Suara setiap orang adalah unik dan berbeza. Ada yang berpendapat suara mencerminkan personaliti seseorang.

Suara yang 'baik' dan mantap menggambarkan keyakinan seseorang ketika berbicara. Ia memberi impak positif kepada pendengar atau individu yang berinteraksi dengannya.

Suara yang merdu dan lunak didengar boleh menghidupkan suasana. Bagaimanapun, suara bukan faktor utama untuk keyakinan kerana keyakinan diri turut dipengaruhi oleh penampilan, emosi, ketenangan fikiran, postur badan dan pengalaman.

Masalah peti suara antara perkara biasa bagi golongan dengan kerjaya yang perlu banyak bercakap seperti juruhebah, guru, pensyarah, peguam, pengacara, telefonis, pegawai yang berurusan dengan orang ramai, pelakon atau penyanyi.

Berdasarkan kajian mahasiswa Pusat Perubatan Universiti Malaya yang tidak diterbitkan ke atas guru sekolah, didapati hampir 24 peratus guru mengalami masalah peti suara dan suara serak dalam setahun. Masalah ini menyebabkan kualiti kerja golongan yang perlu bercakap banyak dalam kerjaya mereka terjejas.

Menurut Ketua Jabatan Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Madya Dr Rahmat Omar, suara adalah bunyi yang terhasil akibat getaran korda suara disebabkan udara yang melalui peti suara (larinks) dan membuatkan dua korda suara menjadi rapat.

Korda suara adalah dua otot kecil berbentuk V yang terletak dalam peti suara dan bertanggungjawab dalam penghasilan suara. Ia terletak di antara pangkal lidah dan saluran tenggorok (pemakanan).

Apabila kita bercakap, korda suara tertutup rapat; terbuka sedikit ketika kita bernafas dan terbuka luas (menjadi bentuk V) apabila kita mencungap (bernafas dengan cepat).

Dalam keadaan normal, korda suara bergetar apabila udara dari saluran pernafasan melaluinya untuk menghasilkan bunyi. Untuk lebih mudah faham, bayangkan korda suara seperti dua tangan kita.

Apabila kita menepuk tangan, kita merapatkan dan merenggangkan dua-dua tapak tangan berulang kali. Kita boleh mendengar beberapa tepukan dalam masa seminit. Kadar tepukan ini boleh cepat atau lambat dan bunyinya pula boleh perlahan atau kuat.

Sama juga dengan korda suara kita. Dua korda suara akan merapat, berlaga dan renggang kembali untuk menghasilkan getaran. Proses ini berlaku dalam satu kitaran yang berulang-ulang. Udara yang keluar dari paru-paru akan melalui korda suara.

Jarak antara dua korda suara yang terbuka adalah sangat kecil iaitu hanya beberapa milimeter. Laluan udara ini akan terganggu akibat getaran korda suara dan menghasilkan bunyi dengan pergerakan mulut, lidah dan gigi.

Bunyi ini akan ditukarkan ke dalam bentuk yang boleh difahami melalui pergerakan lidah, mulut dan gigi dalam satu proses yang dipanggil artikulasi.

Kenyaringan suara bergantung kepada kadar getaran atau frekuensi korda suara yang berbeza mengikut umur dan jantina.

Suara kanak-kanak yang lebih nyaring mempunyai kadar getaran sebanyak 250 Hertz (Hz) atau 250 kali sesaat, wanita dewasa (200 Hz) dan 125 Hz bagi lelaki dewasa.

Apabila umur meningkat, korda suara menjadi semakin kecil dan bergetar lebih perlahan. Ini sebabnya suara orang tua lebih rendah dan garau.

Perubahan peti suara berlaku apabila kanak-kanak lelaki mencapai umur baligh dan menyebabkan suara mereka menjadi matang.

Bagaimanapun, ada segelintir lelaki dewasa yang masih mempunyai suara seperti kanak-kanak atau seperti suara perempuan dan keadaan ini dipanggil 'puber-phonia'.

Jika ini berlaku pada anda atau ahli keluarga anda, jangan risau kerana ia boleh dirawat oleh pakar terapi pertuturan.

Malah wanita juga akan mengalami perubahan suara ketika haid, iaitu suara menjadi lebih kasar berbanding biasa. Bagaimanapun keadaan ini hanya bersifat sementara disebabkan retensi air iaitu ketidakupayaan badan mengeluarkan air berlebihan dari pundi kencing.

Punca dan rawatan

Menurut Dr Rahmat, ada beberapa punca yang boleh masalah pada korda suara tetapi yang paling biasa ialah:

* Keradangan - Ia boleh disebabkan jangkitan virus seperti rhinovirus dan influenza. Ia biasanya berlaku apabila seseorang mendapat jangkitan tekak yang menyebabkan perubahan pada suara.

Suara menjadi serak dan garau. Untuk kes seperti ini, rawatan biasanya bersifat simptomatik iaitu untuk menghilangkan gejala saja.

Lazimnya pesakit dinasihatkan berehat daripada bercakap supaya kecederaan lebih teruk pada korda suara tidak berlaku kerana ia dalam keadaan radang.

Bagi masalah ini, doktor tidak memberi ubat antibiotik kerana antibiotik hanya untuk jangkitan bakteria, bukan virus. Untuk mengurangkan keradangan, pesakit boleh minum perahan lemon yang dicampur madu.

Keradangan juga boleh disebabkan gangguan asid dari perut (refluks laringitis); keadaan di mana asid dari perut mengalir balik (songsang) sehingga sampai ke peti suara.

Ia tidak sama dengan masalah asid refluks (pedih ulu hati) kerana ia tidak menyebabkan gangguan atau keradangan pada korda suara.

"Kebanyakan pesakit mengadu seolah-olah ada benda melekat pada tekak mereka apabila mahu menelan. Mereka juga mengalami gejala lain seperti berkahak, batuk tanpa sebab nyata dan suara menjadi parau.

Peti suara sangat sensitif dan tidak mampu menahan kesan asid perut. Peti suara mengalami keradangan walaupun hanya sekali terkena asid perut dan mengambil masa lama sehingga beberapa minggu untuk pulih.

"Kesan keradangan lebih ketara pada orang yang banyak menggunakan suara ketika bekerja. Ia boleh membuatkan kualiti kerja dan hidup individu berkenaan terjejas.

Masalah ini dirawat dengan memberi antasid selama tiga minggu hingga tiga bulan; bergantung kepada tahap keterukan keradangan korda suara dan tindak balas seseorang terhadap rawatan.

"Dalam sesetengah kes, doktor perlu lakukan endoskopi (memasukkan endoskop iaitu satu alat berkamera) untuk memastikan tiada punca lain menyebabkan keradangan dalam saluran makanan seperti kanser atau kehadiran bakteria Helicobacter pilori kerana ia boleh membuatkan rawatan antasid kurang berkesan.

"Dalam keadaan tertentu, bagi guru contohnya yang mengalami masalah suara, doktor boleh memberi surat kebenaran untuk mereka menggunakan alat pembesar suara ketika mengajar," katanya.

* Ketumbuhan dan kanser

* Kecederaan peti suara

* Kelumpuhan urat saraf pada peti suara - Ia boleh disebabkan trauma atau kecederaan luaran yang mungkin berkaitan jangkitan virus atau pembedahan tertentu pada leher seperti pembedahan tiroid.

Kelumpuhan biasanya berlaku pada sebelah korda suara (dipanggil kelumpuhan aduktor). Ini menyebabkan satu korda yang lumpuh jauh dari korda suara yang normal dan membentuk ruang antara dua korda suara berkenaan. Kesannya, suara pesakit menjadi tidak normal.

"Untuk keadaan ini, doktor biasanya menggunakan pendekatan konservatif iaitu tunggu dan lihat selama enam bulan kerana ada ketikanya korda suara yang normal 'bertolak ansur' dengan berusaha bergerak mendekati korda suara yang lumpuh. Jika ini berlaku, suara boleh pulih.

Bagaimanapun, jika tiada tanda pemulihan, pembedahan mikro dilakukan supaya korda suara yang lumpuh boleh berfungsi semula. Pembedahan biasanya dilakukan segera, khususnya bagi individu yang memerlukan suara untuk bekerja seperti guru.

"Bagaimanapun, kini dengan adanya teknologi baru menggunakan elektromikrografi laringer (EMG laringer), doktor boleh mengenal pasti tahap kelumpuhan korda suara dan peluang untuk pulih. Kaedah baru ini membolehkan pesakit dirawat lebih cepat iaitu dalam tempoh tiga bulan selepas mengalami kelumpuhan korda suara," katanya.

* Berkaitan dengan faktor fungsi dan psikologi

* Penyalahgunaan suara atau penggunaan suara secara berlebihan - Ini adalah keadaan di mana penggunaan suara melebihi kapasiti peti suara dalam jangka masa tertentu. Untuk membolehkan kita bercakap, korda suara bergetar (seperti menepuk tangan) beratus kali sesaat. Namun jika terlalu banyak bercakap, bahagian korda suara yang berlaga mengalami trauma atau keradangan.

Jika keadaan ini berterusan (terus bercakap dengan kuat atau banyak bercakap), keradangan menjadi lebih buruk sehingga boleh menyebabkan perubahan struktur pada korda suara dengan kehadiran nodul (kulit pada korda suara menjadi keras seperti kalus), polip (bintil) atau sista (benjolan yang mengandungi lendir di bawah lapisan peti suara).

Pada peringkat awal, masalah nodul boleh atasi dengan terapi pertuturan tetapi jika masih tidak pulih, pembedahan mikro diperlukan untuk membuang nodul.

Polip boleh 'tumbuh' pada sebelah korda suara dan ia perlu dibuang melalui pembedahan mikro untuk memastikan tiada ketumbuhan lain pada korda suara.

Jika ia kecil, polip ini boleh kecut sendiri jika pesakit merehatkan peti suara mereka. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, pesakit datang apabila keadaan agak teruk.

Kehadiran nodul, polip dan sista mengganggu pergerakan korda suara (ia tidak boleh tertutup dengan baik ketika bercakap). Seperti polip dan nodul, sista perlu dibuang melalui pembedahan mikro kerana jika dibiarkan, ia boleh berulang kembali.

"Selepas pembedahan, pesakit dinasihatkan berehat sepenuhnya daripada bercakap selama tiga hingga tujuh hari. Dalam tempoh ini mereka tidak boleh bercakap dan perlu menggunakan kaedah lain untuk berkomunikasi seperti melalui tulisan atau khidmat pesanan ringkas.

Selepas tujuh hari, pesakit dibenarkan bercakap selama satu jam sehari iaitu pada kadar lima hingga 10 minit saja setiap kali bercakap.

Mereka perlu bercakap pada kadar atau nada biasa, bukan menjerit atau berbisik kerana kedua-duanya memberi tekanan pada korda suara.

"Peraturan ini perlu dipatuhi supaya luka pembedahan benar-benar sembuh. Jika tidak berehat, luka bedah mungkin boleh meninggalkan parut pada korda suara dan suara pesakit akan berubah," katanya.

Cara mengenal pasti masalah suara

Ia boleh dilakukan dengan menjawab beberapa soalan mudah di bawah:

* Adakah suara anda berubah menjadi kasar atau serak?

* Adakah tekak anda sering terasa perit, gatal dan kering?

* Adakah anda perlu berusaha lebih untuk bercakap?

* Adakah anda perlu selalu berdehem untuk melegakan tekak?

* Adakah orang selalu bertanya sama ada anda selesema sedangkan anda sihat?

* Adakah anda sudah tidak boleh menjerit atau bercakap dalam nada tinggi?

Cara menjaga suara

Dr Rahmat berkata, cara paling mudah ialah dengan:

* Mengurangkan bercakap atau bercakap dengan nada biasa. Guna suara secara optimum.

* Minum air secukupnya iaitu sekurang-kurangnya lapan gelas sehari supaya korda suara sentiasa dalam keadaan lembap. Jangan tunggu hingga terasa haus kerana ia tanda akhir yang menunjukkan badan anda kekurangan air.

* Elak minum terlalu banyak kopi kerana ia mempunyai kesan diuretik (kerap buang air kecil) yang menyebabkan anda boleh kekurangan air jika tidak cukup minum.

* Kurangkan atau berhenti merokok atau minum minuman beralkohol. Asap rokok boleh menyebabkan keradangan korda suara.

* Jika terpaksa bercakap dalam keadaan bising, gunakan pembesar suara.

* Elak makanan pedas dan berempah, terutama apabila anda mulai terasa sakit tekak.

* Jika suara serak akibat jangkitan, perlu rehatkan peti suara anda supaya proses pemulihan boleh berlaku lebih cepat.

* Kurangkan berdehem untuk melegakan tekak. Ini kerana berdehem boleh diumpamakan seperti melagakan korda suara dengan kuat dan ia boleh mencederakan korda suara. Cara terbaik untuk melegakan tekak ialah minum sedikit air.

* Jika suara berubah dan tidak pulih dalam tempoh dua hingga tiga minggu, dapatkan pemeriksaan lanjut.

5 comments:

Anonymous said...

salam, penulis blog...sy sgt tertarik dgn entri nih, sbb sy ade sorang kwan lelaki yg mempunyai suara sebijik cm perempuan walaupun dye dah dewasa, jd penyakit lelaki bersuara perempuan mmg wujud eh? boleh dirawat atau tidak?
hrp penulis blog boleyh reply comen ni, sy bharap sgt~ nnti sy akn dtg ziarah lg...

tq =)

sharhanah said...

Salam,
Terima kasih kerana sudi singgah ke sini. Buat pengetahuan saudara, semua artikel ini adalah sumber daripada akhbar kumpulan The New Straits Times Press yang telah dipublishkan ke dalam akhbar. Saya sebagai pekerja di bahagian pusat sumber hanyalah membuat koleksi untuk bacaan saya sama ada ia berkaitan dengan saya ataupun hanya sekadar mengumpul maklumat sahaja untuk diletakkan di dalam blog ini.

Dalam kes ini, mengenai soalan saudara saya boleh menjawab dalam bentuk fakta/sumber yang ada sahaja. Rasanya, saya bukanlah pakar dalam bidang ini.

Punca Puberphonia (kes kawan saudara): Tertunda perkembangan watak seksual sekunder.

Keadaan ini paling baik ditangani dengan terapi suara. Jenis III phonosurgery juga boleh dilakukan yang merangkumi shortening bedah dan relaksasi pita suara.

Untuk maklumat yang lebih lanjut, saudara boleh rujuk kepada pakar Telinga, Hidung dan Tekak/ENT

Anonymous said...

ooo..ok2, terima kasih atas perkongsiannya ye...

Miss NR said...

Adakah pembedahan tiroid boleh mengakibatkan masalah peti suara? Seperti masalah lelaki bersuara seperti perempuan?

Harap reply. Terima kasih..:)

Ini saya punya blog . said...

saya ada masaalah dgn suara.. pelik dgn suara sy ni. slow tp garau... kenapa ya dr? sy tak selesa dengan suara mcm ni dr... tolong la sy. ni mungkin semuanya salah sy.. dulu sy tk bercakap pun dengan org.. tak suka berkawan dan malu nk bersuara. selama 2tahun tu sy tertekan dengan suasana. akhirnya... suara sy jadi berubah, sedikit garau dan kurang sedap.