Thursday, July 22, 2010

Luahan emosi anak

ADAKAH anda sering memarahi anak jika mereka menconteng dinding? Jika ya, fikirkan semula tindakan itu kerana lukisan atau contengan si kecil itu lebih daripada sekadar kreativiti, sebaliknya itulah luahan isi hati mereka.

Menurut pakar psikologi, lukisan bukan hanya sekadar menjadi saluran kanak-kanak meluahkan perasaan tetapi pintu masuk kehidupan mereka. Malah, sejak sekian lamanya, lukisan dijadikan alat oleh pakar psikologi untuk mendekati kanak-kanak bermasalah seperti mangsa dera, mangsa rogol atau kanak-kanak yang berdepan masalah autisme dan Sindrom Asperger.

Menerusi lukisan, pakar psikologi mengenal pasti masalah dan isu yang melingkari kehidupan kanak-kanak. Setiap hasil seni kanak-kanak itu bercerita, menjadikan seni lukis dan kanak-kanak sangat intim.

Lukisan juga menjadi medium si kecil membina personaliti, memerhati persekitaran, penanda aras pembangunan intelektualnya, kemahiran komunikasi, selain boleh membantu diagnosis ketidakupayaan dirinya dalam pembelajaran. Seni lukis juga cara mereka menterjemah apa yang dirasa dan dilihat.

Justeru, seni lukis sebagai terapi adalah cara efektif untuk kanak-kanak membentuk dan menjelaskan emosi. Ia juga alat paling berkuasa memberi kanak-kanak kebolehan untuk meluahkan pendapat, emosi, ketakutan dalam persekitaran yang selamat. Setiap hasil seni kanak-kanak itu bercerita.

Semua kanak-kanak lahir dengan kecenderungan menconteng. Justeru, kanak- kanak adakalanya melukis apa yang mereka lihat di sekeliling persekitaran. Ada kanak-kanak yang memerhati persekitaran dengan lebih kritikal.

Apabila mendalami hasil lukisan kanak-kanak, perhatikan warna yang dipilihnya. Pakar psikologi percaya, pemilihan warna dalam lukisan juga menjadi pengukur emosinya.

Pada 1975, seorang profesor pendidikan seni di Universiti Pennsylvania State, Viktor Lowenfeld, memperkenalkan teori pembangunan artistik berdasarkan tahap kreativiti dan kognitif yang sistematik.

Umumnya, setiap kanak-kanak yang sihat dan normal akan melalui setiap satu daripada fasa perkembangan ini.

Fasa melukis kanak-kanak

* Menconteng pada usia dua tahun dan kekal hingga usia empat tahun. Ia bermula apabila kanak-kanak mula bijak memegang pensil warna atau krayon dan menconteng buku. Ada kala ia bermula pada usia 18 bulan. Kanak-kanak lebih berminat pada warna yang diconteng di kertas atau dinding. Ada juga kanak-kanak yang kagum pada hasil kerjanya sendiri.

* Pada peringkat ini mereka sudah punya imaginasi sendiri. Bulatan senget, bagi mereka adalah kucing. pada masa lain pula, bulatan senget mungkin mewakili `ayah' atau `ibu.'

Fasa prasimbol

* Bermula pada usia empat tahun atau lebih awal atau lewat bergantung pengalaman artistik dan budaya kanak-kanak itu. Lukisan `anak berudu' sudah berubah menjadi sedikit sempurna. Lukisan ayah atau ibu bertambah baik dengan wajah, tangan ada kala jari kaki tetapi tiada badan. Kadangkala wajah ayah tersenyum lebar. Kepala pula lebih besar daripada tangan atau kaki. Kanak-kanak pada usia ini biasanya belum mampu melukis badan kerana pada kanak-kanak, kepala itu penting kerana mereka makan, bercakap, mendengar menggunakan anggota di bahagian kepala. Mereka juga pada peringkat ini melukis apa yang mereka tahu.

Fasa berjadual


* Bermula usia tujuh tahun dan berterusan hingga usia sembilan tahun. Kanak-kanak membentuk skema spesifik atau simbol untuk orang dan objek dalam persekitarannya dan akan melukis secara konsisten berulang kali. Bentuk manusia dilukis dengan bahagian badan yang sempurna dan bukan lagi orang lidi. Pada usia lapan atau sembilan mereka sudah boleh melukis watak kartun kegemaran mereka atau adiwira kesukaan mereka. Pada fasa ini mereka melukis apa yang mereka lihat.

Fasa realistik

* Bermula pada usia sembilan tahun dan lukisan yang terhasil juga lebih teliti. Jika melukis orang, ia lebih terperinci dan mampu melukis dalam perspektif jauh dan dekat. Mereka lebih sensitif jika ada yang mengkritik lukisan itu.

Info

Maksud warna dilukis kanak-kanak

* Warna hitam dan merah mungkin menjelaskan isyarat dia berdepan masalah. Rona hitam selalunya menggambarkan tekanan, rasa tiada harapan atau tersekat.

* Merah merujuk kemarahan.

* Biru dan hijau adalah warna tenang.

* Warna kuning dan oren menandakan keceriaan.

* Apabila kanak-kanak melukis unsur menakutkan dan warna hitam, kanak- kanak itu sebenarnya berdepan masalah yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.

No comments: